Khamis, April 21, 2011

PRA 46 - Penjenamaan Semula

Ada sebab kenapa sesebuah syarikat perlu buat penjenamaan semula. Salah satu sebabnya, syarikat tak laku. Ha!

Aku dari dulu memang suka rekabentuk yang ringkas tetapi menarik, berkualiti dan bermaksud. Mungkin sebab itu aku telah terpancing dengan gaya rekabentuk The Prestige, dan mereka akan menjadi jurugambar rasmi Majlis Perkahwinan aku nanti.

Logo The Qum Actors yang baru.

Plan B. Ha ha!

Kalau dahulu aku memang giat menulis di dalam blog dengan bahasa yang penuh kiasan dan bunga-bunga. Sehingga orang yang aku kutuk atau sindir baca pun dia tak sedar dia telah disindir. Namun, manusia berubah. Semua manusia berubah. Jadi manusia yang lain juga perlu menerima perubahan pada diri sendiri atau orang lain. Jadi sekarang ini aku memang lebih mudah menulis tentang perkara yang mudah dan remeh-temeh yang mudah dibaca dan difahami. Mungkin kadang-kala sahaja bila aku menulis puisi bahasanya sedikit tersorok dalam gua bawah tanah. Kalau dulu aku rasa aku berjaya bila ada orang baca blog aku dan komen: tak faham.

Logo Tronoh Theatre Shop masih belum habis sumpahannya. Belum habis 7 keturunan. Bermula daripada Dewalogos Mekot (logo TTS sekarang logo dia buat lah, gila lagenda!) satu keturunan, kemudian keturunan Ameng, Bani & Zai, kemudian keturunan Half & Acab (Acab tak graduate TTS lagi, jadi belum habis keturunan ni lagi), lepas tu mungkin keturunan Mizan. Lama lagilah jawabnya. Akan tetapi ini semua karut. Semuanya ini akan terbatal dengan tujahan idea dari minda yang kreatif dan inovatif. Entah siapa yang akan berjaya? Aku doakan akan ada orang yang bertuah itu.

Sedikit berita terkini tentang The Qum Actors (TQA).


SATU:

TQA akan menerbitkan sebuah produksi teater yang kedua iaitu Qum: Kebangkitan atau lebih kebaratan lagi, Qum: Rise of The Primas. The Primas (kena letak trademark nanti) pula adalah projek jangka masa panjang yang aku rangkakan khusus untuk menghimpunkan para-para pelakon senior yang sekarang ini ada yang sudah 'lelap' dan tidak bergiat dalam teater lagi, dan ada yang semakin menghampiri detik-detik itu. Tujuan aku mudah. Ingin mengembalikan semangat (dengan izin Allah) untuk terus berteater walau sesibuk mana pun mereka di muka Bumi yang fana ini.

Apa pun Qum: Kebangkitan ini adalah kompilasi tiga bentuk teater daripada tiga orang pengkarya yang berlainan pandangan dan hala tuju. Seorang lebih kepada pementasan berhala tuju kesopanan dan kesusilaan serta kualiti. Seorang lagi lebih kepada pementasan yang separa hedonis. Seorang lagi pula lebih kepada pergolakan jiwa muda yang tidak suka dipuji dan disanjung sebaliknya lebih suka dibenci, dicaci dan dimaki oleh dirinya sendiri dan orang lain.

Maklumat lanjut mengenai Projek Qum: Kebangkitan ini akan aku siarkan kemudian.


DUA:

Dengan memanfaatkan masa yang terluang dan terbuang dalam longkang, aku telah siapkan Pelan Pemasaran untuk The Qum Actors memohon simpati dan belas ihsan syarikat-syarikat yang kaya-raya untuk memberi bantuan dan sokongan berbentuk wang duit ataupun barang-barang pentas. Jika anda individu dan menyumbang pada kami juga anda akan diberikan manfaat serta faedah yang tak seberapa. Misalnya seorang individu bernama HH menyumbang RM 100, HH sudah layak mendapat faedah dan penghargaan seperti disenaraikan sebagai Penaja di dalam Buku Program rekaan aku yang tak seberapa juga itu, dan mendapat Sijil Penghargaan rasmi dengan cop mohor The Qum Actors yang pun tak seberapa.


Begitulah kemaskini ringkas mengenai The Qum Actors.

Hujung minggu ini banyak aktiviti menarik. Semoga akan terisi dengan aktiviti yang berfaedah insyaAllah!



p/s: Aku ada masalah menulis dalam Bahasa Inggeris (padahal dulu cemerlang dengan segala mak nenek idioms apa jadah semua tu) sekarang ini minta maaflah, aku lebih cintakan Bahasa Melayu - tapi kalau boleh ada sesiapa yang boleh tulis dalam Bahasa Inggeris bolehlah jadi Jurubahasa untuk kemaskini blog rasmi The Qum Actors dalam Bahasa Inggeris!

1 ulasan: