Dah agak lama juga aku tidak bersinggahseni, pergi ke pameran seni untuk menghayati, menghargai dan memahami karya-karya seni serta membuka minda, mata hati dan jiwa. Ah, bosan bukan? Bosan bagi mereka yang tidak minat pada seni secara menyeluruh. Tetapi menarik dan menghiburkan bagi mereka yang meminati seni secara mendalam. Apa pun, aku tetap mahu berkongsi pengalaman aku dalam bersinggahseni petang semalam di pameran "Bicara Sifu" di Galeri Petronas, KLCC.
Klik link ini untuk maklumat lanjut mengenai pameran ini http://www.galeripetronas.com.my/galeri/gp-programmes.nsf/3a9c60d689a9fa8b48256db400296cd9/204385a6f657f412c825786600473a12?OpenDocument |
Hasil-hasil karya seni yang dipamerkan di Galeri Petronas biasanya tidak gagal untuk membuatkan aku menyebut ucapan Subhanallah secara spontan kerana kagum dengan keindahan alam yang ditunjukkan melalui medium seni tampak ini. Dan seperti biasa sedang kebanyakan orang lain hanya mengambil masa kurang 30 saat untuk menatap satu karya seni (malah ada sahaja yang hanya berjalan-jalan tanpa melihat - bagi aku itu satu penghinaan kepada seni, kalau kau tak suka seni dan tak nak tengok hasil seni itu lebih baik kau tak payah masuk galeri tu), aku boleh mengambil seberapa masa yang aku mahu untuk mentap satu karya seni itu, bergantung kepada tahap complexity sehingga aku bertemu 'jawapan' - apa yang cuba disampaikan melalui karya seni itu. Bila aku sudah temu jawapannya, aku puas dan baru aku berganjak menatap ke karya seni yang lain.
Dalam pameran seni tampak sebegini, biasanya aku akan mengenalpasti hasil seni yang mempunyai maksud yang sampai ke jiwa aku. Ada juga sesetengah hasil seni yang hanya sekadar difahami oleh si pengkarya sahaja (senang kata, syok sendiri) namun seperti sifat seni itu sendiri yang subjektif, tidak semestinya jika aku tidak dapat menangkap maksud karya seni itu bermakna karya itu kosong tanpa erti. Bergantung juga kepada interpretasi individu.
Secara keseluruhannya, pameran Bicara Sifu ini kebanyakannya menampilkan karya-karya seni moden dan pasca-moden (sudah pasti secara kontemporari) yang meluahkan perasaan anak-anak muda mengenai zaman sekarang dan gambaran zaman akan datang. Tema yang pelbagai baik dari alam sekitar, agama, politik, bangsa, dan budaya telah ditonjolkan dengan berkesan, tidak terlalu kompleks ataupun abstrak sehingga orang tidak dapat faham langsung.
Suka untuk aku berkongsi karya-karya seni yang menjadi pilihan jiwa aku kerana berjaya menyentuh perasaan.
Semua gambar-gambar karya seni di bawah diambil daripada:
"Untitled", Hasnul Jamal Saidon, USM. |
"Pendita", Zulkifli Yusoff |
"We Wish" |
"Tentang Kehidupan" juga menarik. Ia nampak sahaja tidak kompleks, tetapi aku perlukan masa yang lama juga untuk mencari makna karya ini. Dengan menggunakan beg kertas bungkusan makanan berwarna coklat, kita mungkin akan berasa pelik kenapa tiba-tiba ada beg kertas coklat yang diwarnakan sedikit dengan warna hijau? Itulah keunikan karya ini yang mencetuskan penonton untuk berfikir di luar kotak (semua karya seni di sini membantu kita untuk berfikir di luar kotak!). Jika karya seni itu dilihat dari sudut pandang atas, ia seolah-olah seperti sebuah hamparan rumput yang mana hampir semua rumput-rumput sudah kering dan mati, tinggal sedikit sahaja lagi yang masih hijau. Ia mungkin simbolik kepada kehidupan manusia yang sudah berusia, atau mungkin sahaja ia tentang kehidupan manusia zaman sekarang yang banyak 'sudah mati' (rosak, tidak jujur, dan seumpamanya), atau ia mungkin tentang kehidupan Bumi ini yang semakin mati.
"Inner - Scape", M. Nasir Baharuddin |
"Inner - Scape" adalah karya seni installasi yang paling Wow! sekali pada pandangan aku. Walaupun isinya mungkin kurang kuat / kurang jelas, namun dengan menggunakan 6000 bekas tupperware makanan (kalau kedai makan di UTP kena tambah 20-30 sen untuk satu bekas, 6000 x RM 0.30 = RM 1800 boleh dapat kalau dijual. Cahaya lampu fluorescent turut diselitkan di sebalik bekas-bekas itu yang diisi oleh cecair pelbagai warna. Apa yang cuba disampaikan melalui karya ini pun aku tak berapa pasti, mungkin boleh baca latar belakang kajiannya di sini: http://www.visualcrackers.com/2011/04/inner-scape-installation-at-petronas.html Sangat abstrak - aku tak faham.
Antara karya-karya seni yang lain menarik perhatian adalah:
Nyut, Nyut, Nyut, Nyut Nyut...
Mohd Fuad Md Aris, UiTM
Sebuah video statik muka seorang lelaki - yang bergerak-gerak hanya keningnya. Sangat abstrak - aku tak faham.
The White Issues
Zakoyah Hassan, UiTM
Menggunakan pelbagai bahan buangan domestik seperti polisterin, bekas cawan HDPE, sudu dan garfu plastik, penutup hidung makmal, kertas-kertas yang mana semuanya berwarna asas putih. Setiap kategori bahan buangan domestik itu dilekatkan pada satu kanvas berasingan, dan ada satu kanvas di tengah-tengah yang dilekatkan dengan ranting kayu, yang ada sebahagiannya dicat berwarna merah. The White Issues cuba bermain-main dengan isu politik bangsa berkulit putih yang sukar hendak menerima bangsa luar sehingga sanggup bertempuran darah. Berat, karya ini.
Our House: Modern Contemporary Malaysia Lifestyle
Faculty Art Design, UiTM
Sebuah rekaan dalaman rumah moden yang menggabungkan pelbagai jenis media tetapi berasaskan outline hitam yang dilukis pada dinding putih.
Begitulah serba sedikit perkongsian aku dalam singgahseni aku ke pameran Bicara Sifu ini. Bagi sesiapa yang berminat boleh kunjungi pameran ini yang sedang berlangsung sehinggalah 19 Jun 2011.
tugas yabg bagus untuk unit pameran galeri petronas
BalasPadam