Jumaat, Februari 18, 2011

PRA 35 - Istiqamah Teater

Bila aku melayari internet, mencari maklumat berkaitan dengan teater di sekitar Malaysia, aku terjumpa banyak juga blog-blog persatuan / kelab / kumpulan / syarikat teater tetapi kebanyakannya sudah tidak diselenggara dan dikemaskini, kerana kegiatan / aktiviti teater dalam kumpulan mereka sendiri sudah tidak aktif - tidak salah kalau aku cakap, sudah bubar.

Situasi ini bukannya baru. Di kalangan penggiat dan aktivis teater, mereka sudah tentu menyedari akan hakikat ini. Kumpulan teater yang sudah bubar / tak bergerak itu bukan sebab mereka tidak suka atau tidak ada passion dalam teater, akan tetapi mereka 'terpaksa' menurut kehendak dan desakan secara tak langsung daripada gaya hidup. Komitmen kerja merupakan satu antara sebab kebubaran. Selain itu juga, komitmen berkeluarga bila sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dua faktor ini merupakan faktor utama kenapa kebanyakan kumpulan teater, nak tak nak, terpaksa menghadapi kebubaran.

Dan ini merupakan cabaran yang perlu dilalui oleh The Qum Actors. Pemilik tunggal merangkap pengasas bakal mendirikan rumah tangga tahun ini. Penolongnya (aku lah tu) pun sama. Mampukah kami berdua mengekalkan momentum TQA malah meningkatkannya lagi supaya TQA menjadi lebih kukuh dan stabil dari segi kewangan? (Dan juga pengurusan) Dari segi kewangan lah apa lagi. Kalau ada wang, boleh buat show macam-macam dah (sah-sah lah pelakon pun makin ramai yang tertarik nak turut serta dalam produksi kerana mengjangkakan habuan bayaran).

Ah, tak payah cakap fasal teater kalau nak terkenal, popular dan dapat bayaran yang tinggi. Kami mungkin boleh jadi artis (art) tapi kami bukan selebriti. Kami buat teater sebab kami rasa itu tanggungjawab dan amanah yang dikurniakan oleh Allah untuk berdakwah melalui seni. Kami cakap begini bukan bermakna kami tak buat teater yang tak Islami langsung, malah lebih bagus daripada itu kami buat teater Islami secara jelas, dan juga teater yang universal di mana mesej Islami pun ada, mesej yang umum pun ada.

Berbalik kepada persoalan asal tulisan ini, iaitu istiqamah dalam berteater. Jika semasa dalam TTS dulu aku dan rakan-rakan pentas yang lain selalu memperkatakan dan menekankan pentingnya komitmen dalam teater, dalam TQA, aku tekankan 'istiqamah dalam teater'. Namun aku rasa sekarang lebih baik, di dalam TQA, atau TTS pun boleh terapkan nanti, bahawa kita sebagai ahli dalam kumpulan teater ini tidak kira sama ada pelakon atau krew, perlu merasakan bahawa kita semua sebagai pendakwah. Jangan skeptikal dahulu. Pendakwah tidak semestinya perlu jadi macam ustaz atau ulama' atau ahli surau. Kita ada matlamat utama kita sendiri dalam berteater. Jadi kita sampaikan dakwah (yang bukan fasal hal agama sahaja, hal kemanusiaan dalam erti kata umum pun boleh) melalui medium dan bidang kita - pentas, dan teater.

Aktivis teater harus ada 'jiwa' atau 'roh' dalam teater itu sendiri dan juga di dalam agama. Pegangan agama setiap aktivis teater khususnya dalam The Qum Actors haruslah kukuh. Bila kita hendak pentaskan teater dengan mengikut batasan agama, tidak ada pengecualian atau special treatment terhadap hukum-hukum yang jelas nyata. Pertama, pelakon wanita dan lelaki yang bukan muhrim tidak boleh bersentuhan (hukumnya haram dan berdosa di sisi agama Islam). Pegang-pegang tangan ke, peluk-peluk ke ape ke.. Tiada alasan "Alah, lakonan semata-mata sahaja.. Bukan betul-betul pun..". Kedua, pelakon wanita harus menutup aurat dengan sempurna (pelakon lelaki pun sama). Ketiga, pergaulan antara lelaki dan wanita sewaktu pembikinan di belakang tabir harus mengikut batasan agama. Tiada peluk-peluk. Tiada minum-minum arak. Tiada pergi disko. Asas-asas ini harus dipegang dengan kukuh oleh aktivis teater yang ingin memperjuangkan seni teater demi agama Islam dan kerana Allah.

Aku kurang senang adanya sesetengah penggiat teater yang memperjuangkan seni teater dengan konsep fitrah atau Islami atau 'nampak Islami', akan tetapi asas-asas pegangan agama tidak kukuh. Jika hendak dibicarakan dengan lebih lanjut lagi, isi kandungan karya atau skrip teater itu sendiri juga seharusnya bertepatan dengan batasan agama, dan tidak melampaui batas.

Roh / jiwa dalam teater dan agama inilah yang seharusnya mendorong aktivis teater Islami untuk istiqamah dalam gerak kerja teater. Memang sukar dan mencabar bagi kita yang sibuk dengan kerja. Balik kerja sudah penat, waktu malam memang digunakan untuk berehat. Perlukan pengorbanan masa dan tenaga. Semangat pula kena kuat. Jika lemah semangat, mohon sahaja pada Allah beri kekuatan. Namun, ia harus bermula dari diri kita sendiri juga. Kita kena lawan sifat malas. Kita kena kuat semangat. Perjuangan teater kita bukan kosong tiada berisi atau sia-sia. Perjuangan teater kita berasas. Bukan hanya kerana bangsa, negara, seni atau budaya, tetapi lebih utama lagi, demi agama dan keranaNYA. Kita kena ingat selalu perkara ini.

Kesimpulannya, komitmen dalam teater, sama dengan istiqamah dalam teater (beribadah). The Qum Actors adalah ahli-ahli teater yang 'bangkit' memperjuangkan seni teater kerana Allah selepas berjaya keluar dari TTS yang merupakan training ground / platform awal sebelum keluar melihat kehidupan sebenar yang lebih mencabar.


p/s: Kalau TQA masih tak kukuh dalam masa setahun ini, aku akan cadangkan untuk mengambil dan melantik orang awam yang berkelayakan dan berminat untuk menguruskan hal ehwal pengurusan TQA sepenuh masa.

1 ulasan:

  1. Teater harus bertapak sebagai industri kalau nak hidup. Kalau setakat seronok-seronok, jangka hayat kumpulan itu akan seusia dengan jangka hayat orang yang mengendalikannya.

    Topik yang menarik. Panjang lebar kalau nak diulas di sini.

    BalasPadam