Selasa, Februari 22, 2011

PRA 36 - Di Mana Keadilan dalam Mahkamah Lorong Sam Pah Tong?

"Di Mana Keadilan dalam Mahkamah Lorong Sam Pah Tong?"
Sebuah ulasan esklusif pementasan teater karya dan arahan Dr.Shark
Oleh Akin Muhammad


Tronoh Theatre Shop (TTS), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) merupakan sebuah kumpulan yang sangat aktif dalam teater khususnya di Malaysia. Malah, jika hendak dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan teater daripada universiti tempatan lain, tidak salah jika hendak dikatakan bahawa TTS adalah kumpulan teater yang paling aktif sekali di peringkat institut pengajian tinggi di Malaysia.

Pada 19 dan 20 Febuari 2011 yang lalu, Tronoh Theatre Shop (TTS) telah mempersembahkan sebuah pementasan teater berjudul "Mahkamah Lorong" bertempat di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Teater ini juga telah dipentaskan di UiTM Merbok, Kedah pada 11 Febuari 2011 yang lalu dan telah mendapat respon balas yang sangat positif daripada penonton.

Sebelum persembahan teater Mahkamah Lorong ini bermula, para penonton disajikan dengan sebuah teater pendek dan sebuah persembahan mime sebagai pembuka tirai. Teater pendek berjudul "Kau Bawalah" karya SEFA mengisahkan tiga orang manusia yang masing-masing 'bertanding' (untuk mengejar perkara duniawi) di atas pentas (dunia) untuk menjadi manusia yang hebat dan terbaik, akan tetapi kerana terpedaya terhadap godaan duniawi (seperti kekayaan), mereka semua 'tewas' dan akhirnya menerima 'padah' (balasan Allah terhadap dosa dan kesilapan manusia). Namun begitu mesej yang cuba disampaikan ini telah diselindungkan melalui metafora serta perlambangan yang mana tidak semua penonton dapat memahaminya, khususnya penonton yang kurang memahami seni teater itu sendiri. Dari segi lakonan pula berada di tahap biasa sahaja, kecuali kredit harus diberikan kepada watak Nenek Tua yang dilakonkan oleh Syaida Hazira yang telah membawa wataknya dengan baik, lebih-lebih lagi itu merupakan lakonan pentas pertamanya.

Seterusnya penonton dihiburkan dengan sebuah persembahan mime secara 'dual' oleh Asyraf Maskan (Acab) dan Asyraf Nazmie (Ash). Sketsa mime bertemakan cinta dan manusia itu telah berjaya menarik minat para penonton yang terhibur dengan gelagat dan aksi Acab dan Ash. Apa yang dapat dilihat, persembahan mime yang masih jarang lagi di Malaysia ini membuka ruang kreativiti dan imaginasi apabila apa-apa sahaja boleh dilakonkan walaupun perbuatan itu tidak logik dek akal. Cerita yang diolah daripada sketsa mime popular ciptaan Ash sendiri berjudul 'Mencari Cinta' itu memaparkan kisah percintaan tragikomedi antara seorang lelaki dan perempuan, yang mana akhirnya, perempuan itu telah membunuh lelaki itu secara halus kerana hendak mencuri duit lelaki itu. Ini juga merupakan salah satu representasi terhadap situasi realiti aman sekarang. Moralnya, sudah tentu, jangan bercinta kerana hendakkan harta!

Tamatnya persembahan mime, teater Mahkamah Lorong membuka tirainya. Watak-watak haiwan seperti Gagak, Kucing, Kambing, Anjing, serta Kanggaru pun keluar. Berlatarbelakangkan lagu rancak 'Bangau Oh Bangau', watak-watak haiwan itu semua berjoget dengan gaya bebas dan ini merupakan satu langkah bijak bagi menarik 100% minat para penonton untuk menonton teater itu. Ia juga membantu para pelakon untuk mendapatkan langkah awal yang energetik bagi memastikan momentum persembahan itu dapat dikekalkan pada tahap tinggi sehingga tirai ditutup. Namun begitu, alangkah eloknya jika lagu Bangau Oh Bangau itu dapat diolah dan digubah supaya dapat dikaitkan dengan keseluruhan jalan cerita Mahkamah Lorong ini, bukan sekadar dimainkan kerana mahu penonton berseronok. Dan sudah tentu, akan bertambah elok lagi jika para pelakon sendiri yang menyanyikan lagu itu secara langsung. Sebaliknya, para pelakon hanya menyanyikan lagu itu secara miming, dan itu pun ada sesetengah pelakon yang tidak miming dengan betul. Nyanyian yang dapat didengar hanya daripada watak Kucing Kurap dan Gagak. Kurang harmoni - itu yang dapat dikatakan.

Tenaga dan mood rancak serta tinggi daripada babak permulaan tadi tidak digunakan dengan sebaiknya oleh watak Kucing Parsi yang dilakonkan oleh Farah. Kucing Parsi muncul dan sedang memeluk satu lembaga hitam yang membelakangi penonton, membuat penonton tertanya-tanya, siapakah gerangan lembaga hitam itu dan mengharap persoalan itu dapat dijawab di akhir pementasan ini. Ini merupakan satu lagi langkah bijak menarik dan mengekalkan minat penonton. Farah sebagai Kucing Parsi pula boleh memperbaiki lakonannya supaya lebih berkesan. Penggunaan tubuh haiwannya seolah-olah terbatas dek ruang platformnya yang kecil. Keseronokan dan kebanggaannya sebagai kucing kelas atasan dilihat kurang dan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki seperti intonasi serta dinamik lakonannya yang dikira masih mendatar. Namun begitu, pujian harus diberikan kerana butir dialognya jelas dan lontaran suaranya baik bagi seorang pelakon teater wanita.

Cerita diteruskan dengan tampilnya seekor ayam betina, atau digelar 'Mak Ayam' oleh haiwan-haiwan yang lain. Watak Mak Ayam (simbolik kepada 'bapak / mak ayam' dalam realiti kehidupan) yang dilakonkan oleh Mira dikira sebagai berjaya dan berkesan. Lakonannya dikawal rapi dari setiap aspek penuturan dialog, olah tubuh serta emosi. Kesemua aspek penting lakonan teater telah ditunjukkan dengan sekata. Keriangan cerita digamitkan lagi dengan kemunculan watak Kucing Kurap (Ayie), Gagak (SEFA) dan Kambing (Nazrul). Keempat-empat watak haiwan yang mendiami Lorong Sam Pah Tong ini sering kali bertekak, bergurau senda ibarat sebuah keluarga haiwan yang bahagia walaupun masing-masing mempunyai ideologi tersendiri tentang hukum Tuhan serta halal-haram.

Dari segi lakonan pula, Kucing Kurap telah cuba sehabis baik menyerlahkan wataknya sebagai seekor kucing jantan. Kejantanan dan kecomelannya konsisten namun adakalanya penuturan dialognya kurang jelas dan sengaja dilebih-lebihkan pada dialog yang kurang sesuai. Gagak pula dilihat seperti sengaja melebih-lebihkan kesemuanya baik dari segi lontaran dan olahan vokal, gerak tubuh serta emosi. Mungkin sahaja ada motif disebalik pembawaan watak sebegitu yang dapat membantu menguatkan lagi penceritaan. Mungkin kerana perlebih-lebihan itu untuk menekankan pada penonton bahawa Gagak merupakan haiwan yang bersuara lantang dan jujur walaupun buruk dan hodoh. Namun, jika dilihat dari sudut dinamika persembahan, aras tenaga serta mood yang keterlaluan terhadap satu watak sahaja dilihat sebagai ketidakseimbangan watak-watak secaara keseluruhan. Watak yang melebih-lebih akan dilihat oleh penonton secara lebih, watak yang kurang menyerlah dilihat sebagai kurang. Keseimbangan daripada dinamik persembahan juga merupakan satu aspek penting bagi menilai mutu dan kualiti pementasan teater. Teater yang tiada dinamik akan menjadi monoton dan mendatar serta bosan, teater yang terlalu tinggi dan keterlaluan pula akan membuat penonton berasa kurang senang, contohnya, teater yang menjerit-jerit sahaja pelakonnya akan membuat penonton tidak senang duduk dan sakit telinga (dan hati). Yang paling elok dinamiknya adalah yang turun-naik tinggi-rendah yang sesuai dan bertepatan dengan kehendak babak.

Secara peribadi, watak Kambing lakonan Nazrul cukup memikat hati. Gayanya seperti pak lebai dibawakan dengan bersahaja. Lakonannya natural dan betul-betul dilihat sebagai seekor kambing yang sudah tua menjadikan wataknya itu disenangi dan digemari ramai. Tiada ciri-ciri pada diri sebenar Nazrul yang dapat dilihat. Berbanding dengan watak-watak lain, masih kedengaran atau kelihatan lagi ciri-ciri diri pelakon sebenar. Keunikan karakter dan kemampuan pelakon menjadi watak yang berlainan daripada dirinya sendiri adalah satu kejayaan tertinggi dalam lakonan pentas. Namun begitu, aku kurang senang apabila Kambing ada menyebut nama 'Dr.Shark' iaitu pengarah/penulis teater ini di dalam dialognya dengan harapan ia dapat menyuntik elemen lucu. Sejujurnya, ia tidak menjadi. Malah, penonton yang tidak kenal siapa Dr.Shark terpinga-pinga.

Ketegangan cerita bermula apabila Parsi dirogol dan dibunuh oleh Lembaga Hitam. Adegan ini kurang mengancam dan seharusnya boleh jadi lebih bagus dan berkesan. Mungkin adegan itu terlalu sekejap sehingga tidak dapat memberi rasa kepada penonton. Kesilapan teknikal adalah perkara biasa, oleh sebab itu berdasarkan pengalaman penulis sendiri, penonton tidak berapa gemar apabila terlalu banyak 'blackout' yang mengambil tempoh yang lama (lebih 15 saat). Ia mampu mengganggu 'mood' penonton.

Penulis amat memahami citarasa serta gaya Pengarah/Penulis teater ini yang gemar memainkan lagu hindustan di dalam pementasannya dan pelakon akan melakukan sedikit joget bagi memeriahkan suasana panggung. Cara ini digunapakai oleh kebanyakan pengarah bagi memastikan mood pelakon serta penonton dapat dinaikkan selari dengan perkembangan cerita. Keriangan haiwan-haiwan itu berjoget mengikut irama lagu hindustan terhenti apabila menemui bangkai Parsi di sekitar lorong itu.

Apabila Parsi dijumpai telah mati di Lorong Sam Pah Tong itu, Gagak telah dituduh dan ditangkap oleh Anjing Pengesan kerana membunuh Parsi. Anjing Pengesan yang dilakonkan oleh Ammar telah berjaya mencuit hati penulis secara jujur. Wataknya sebagai Anjing menjadi dan wataknya nampak 'animated' dan 'comical' (kartun). Kelakar, vokalnya juga jelas serta sesuai dengan watak Anjing itu. Reaksi spontannya sebagai Anjing juga harus dipuji. Watak Kanggaru sebagai Hakim Smith lakonan Timmy Ong sedikit menghampakan. Timmy tidak menghayati dan membawa wataknya dengan baik sebagai seekor Kanggaru Hakim yang juga 'corrupt'. Lakonannya mendatar dan tidak cukup bertenaga. Namun penulis difahamkan Timmy mengalami masalah kehilangan suara beberapa hari sebelum pementasan. Kesihatan dan keselamatan pelakon juga salah satu aspek yang perlu dijaga dan diambil berat oleh ahli-ahli produksi.

Babak persidangan di mahkamah adalah menarik. Namun begitu blocking agak kurang kemas. Masalah kekemasan blocking adalah biasa apabila ramai pelakon di atas pentas pada satu masa. Sebaiknya, blocking perlu diteliti, dirancang dan dikemaskan supaya adegan itu nampak lebih cantik. Namun apa yang paling menarik dalam babak persidangan ini adalah cara persidangan dijalankan secara 'comical', humor dan tidak serius. Apabila saksi yang disoal Hakim Kanggaru menyatakan bahawa Gagak bersalah membunuh Parsi, lagu sarkis dimainkan, haiwan-haiwan yang menjadi saksi dan juri semua berjoget keriangan sambil mendapat 'habuan' wang daripada Lembu si pak turut Hakim Kanggaru. Namun begitu aksi haiwan-haiwan itu mendapat habuan wang dan 'disuap' kurang jelas dipaparkan. Mungkin kerana blocking yang kurang kemas. Satu lagi yang menarik perhatian adalah eskpresi wajah Gagak apabila pasrah kerana telah dituduh bersalah membunuh Parsi. Sedang haiwan-haiwan lain berjoget keriangan Gagak dituduh bersalah, Gagak hanya mampu pasrah. Aksi dan eskpresi yang tepat!

Klimaks cerita ini berlaku apabila Gagak tidak puas hati dan merusuh serta menyerang haiwan-haiwan lain di dalam mahkamah lorong itu dengan ganas. Haiwan-haiwan yang lain ketakutan dan tiba-tiba semua haiwan itu mati ditembak (Oleh siapa? Itu persoalan yang penonton harus fikirkan) kecuali Mak Ayam yang sempat melarikan diri. Namun begitu, adegan ini dilihat kurang menjadi. Haiwan-haiwan itu tidak nampak seperti mati ditembak. Seolah-olah pelakon mahu adegan itu cepat habis.

Penamat teater ini menunjukkan Mak Ayam berada di sisi Lembaga Hitam menerima wang habuan daripada Lembaga Hitam. Mak Ayam berasa puas kerana Gagak telah dituduh bersalah membunuh Parsi. Penamat ini telah menjelaskan kepada penonton, siapa sebenarnya yang membunuh Parsi. Jadi, siapa sebenarnya yang telah membunuh Parsi? Apa buktinya Gagak membunuh Parsi? Apa buktinya Mak Ayam membunuh Parsi? Oh oh, nampaknya persoalan ini masih belum terungkai.. kerana penamat cerita ini sengaja membuatkan penonton tertanya-tanya dan berfikir, siapa sebenarnya membunuh Parsi? Apa buktinya? Dan.. adakah keadilan telah ditegakkan? Apakah kebenaran telah ditegakkan?

Tiada unsur kekaguman atau Faktor-X dalam teater ini. Faktor-X adalah sesuatu di atas pentas, sama ada adegan, aksi, set atau teknik yang boleh membuatkan penonton berasa kagum sewaktu menonton. Unsur kekaguman yang paling mudah dibuat adalah kekaguman set. Misalnya sebuah set kapal besar keluar dari tepi pentas atau koreografi gerak tari yang membuatkan penonton tidak kelip mata menontonnya. Namun di dalam teater Mahkamah Lorong ini, penulis tidak dapat mengenalpasti apa-apa yang dapat dikatakan sebagai unsur kekaguman.

Secara keseluruhan, para pelakon tidak cukup kebinatangannya, tidak cukup 'animated'. Mungkin pelakon kurang meneliti atau membuat kajian sendiri akan sifat-sifat haiwan yang sebenar bagi watak masing-masing. Keunikan setiap watak binatang harus diserlahkan bukan hanya sekadar pada kostum atau tatarias sahaja, tetapi yang lebih penting adalah sifat kebinatangannya. Emosi cerita ini juga kurang menyerlah. Penonton tidak dapat merasainya. Namun begitu, teater ini cukup untuk menghiburkan penonton.

Keseluruhannya, teater ini adalah teater yang politikal tetapi lebih menonjolkan dakwah Islamiah sebagai mesej utama cerita ini. Secara ringkasnya, penulis dapat menafsir beberapa lapisan maksud tersirat teater ini seperti berikut:

Lapisan #1 : Politik - Lembaga Hitam itu adalah seorang Pemimpin/Ketua dalam sesebuah pentadbiran negara yang mempunyai kuasa dan menggunakan wang ringgit bagi menutup segala kesalahan dirinya. Dengan adanya duit, dengan mudah dia dapat mengupah dan merasuah sesiapa sahaja yang berada dibawahnya untuk menutup kesalahannya itu dengan menuduh orang lain yang tidak bersalah. Pelbagai usaha mencipta dan mereka-reka bahan bukti serta cerita dapat dilakukan dengan duit. Saksi-saksi, juri-juri malah ketua hakim yang 'arif lagi bijaksana' itu pun boleh 'dibayar', 'disuap' dengan wang ringgit. CORRUPTION - adalah kata kuncinya.

Lapisan #2 : Agama - Dilema dan situasi umat Islam pada zaman sekarang. Khusus bagi umat Islam, perkara atau perbuatan yang sudah tahu haram tetapi masih dibuat kerana alasan-alasan yang dicipta sendiri bagi memenuhi kehendak nafsu sendiri. Mungkin kerana dek desakan hidup (digambarkan melalui watak Mak Ayam). Apabila hukum Tuhan tidak diambil peduli, malah dipertikai - sudah tentu dunia ini tidak akan aman. Malah, ahli-ahli agama sendiri pun ada yang turut sama melakukan kebatilan dan kezaliman (digambarkan melalui watak Kambing Lebai).

Lapisan #3 : Kemanusiaan - Allah menjadikan semua manusia sama tarafnya. Tiada manusia yang lebih tinggi taraf atau mulia daripada manusia yang lain. Semuanya sama di sisi Allah - hamba Allah yang wajib patuh dan taat pada perintah Allah. Akan tetapi tak ramai manusia yang menyedari akan hakikat itu. Bagi mereka, manusia jika kaya, berharta, ada pangkat, dianggap lebih baik dan mulia berbanding mereka yang miskin dan tidak punya apa-apa. Hal ini digambarkan melalui watak Parsi yang memandang rendah Kucing Kurap serta haiwan-haiwan yang lain di lorong itu (rakyat marhaen).

Ayat paling bermakna dan 'power' dalam teater ini: "Dunia ini tidak ada yang adil."-Mak Ayam



Rating Teater 'Mahkamah Lorong' oleh Tronoh Theatre Shop:

Keseluruhan - 7/10
Sinografi - 6/10
Lakonan - 6/10
Teknik - 4/10
Tatacahaya - 4/10
Tatabunyi - 5/10
Rekabentuk pentas - 6/10
Tatahias - 8/10
Penceritaan/Skrip - 9/10

Tiada ulasan:

Catat Ulasan