Ahad, Jun 27, 2010

PASCA 3 - Kesederhanaan Dalam Kesedarhinaan

"Kesederhanaan"

Selalunya aku lebih gemar berdiam diri.
Dan aku hanya berkata bila aku rasa aku perlu berkata.
Kebanyakan kata-kata aku yang keluar secara lisan adalah kata-kata yang telah ditapis.
Ditapis oleh otak yang memikirkan terlebih dahulu, wajarkah aku mengatakan apa yang aku hendak katakan?
Kalau ikut perasaan semata-mata, mungkin kata-kata yang keluar boleh jadi kurang sesuai dengan situasi.
Dan kalau terlalu memikirkan sangat apa yang nak dikatakan, boleh jadi memakan dan memudarat diri sendiri juga yang mana akhirnya memberi kesan yang buruk pada orang lain juga.
Apa pun aku tetap percaya setiap orang unik dan punya cara tersendiri untuk hidup.
Dan aku mengambil cara yang aku lebih selesa - berdiam diri, cakap bila perlu, dan bertempat.
Ikut situasi juga lah.
Aku juga lebih gemar mengambil cara hidup yang mengikut konsep kesederhanaan.
Apa-apa sahaja yang berlaku dalam hidup ini, berjalan, berfikir, berlakon, bercakap, bertindak - aku lakukan semuanya secara sederhana.
Di atas pentas juga aku bersederhana. Cuma kadang-kala terhiper atau terover - itu biasalah. Dah nama pun TER dan dalam TEATER pun ada TER. TERsasul, misalnya. Cis.
Besederhana memang selesa lagi menyenangkan.
Tetapi tidak senang. Senangkah?


"Dalam"

Sekarang musim hujan lebat juga di kampung. Tapi tidaklah hari-hari hujan.
Koreklah parit di kampung itu sedalam mana sekalipun. Koreklah dalam-dalam.
Tapi kalau sistem saliran tidak elok juga, tetap akan dilanda banjir.
Tapi aku berpendapat, bukan salah sistem saliran, bukan. Tetapi?

Macam parit dikorek dalam-dalam.
Macam korek hidung dalam-dalam.
Macam nak korek telaga dalam-dalam nak jadikan tempat buang orang.
Sedalam mana pun tidak dapat lawan dalamnya kata-kata yang mendalam.
Kata-kata yang mendalam tidak perlukan jentera pengorek besar gedabak.
Mungkin hanya jari pengorek hidung, dan otak sebesar gerabak, dan lidah di pinggir bibir.
Macam itu jugalah dalam tekak banyak kahak.
Kena sedut kahak guna mesin sebab kahak sudah masuk dekat paru-paru. Bahaya, bahaya.
Sedut kahak guna mesin menyakitkan.
Akan tetapi setiap sesuatu punya harga nilainya. Dan perlukan pengorbanan.
Sanggupkah?



"Kesedarhinaan"

Manusia memang ada kehinaan.
Sisi hina.
Kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah menghina orang lain.
Dan kebetulan pula waktu tu ada cermin separa-satah-separa-lutsinar diturunkan dari atas menggunakan sistem flying bar automatik.
Posisinya pula kebetulan kena di hadapan kita.
Kehinaan bukanlah sesuatu yang sedap macam kuih karipap. Kuih karipap pun tak semua orang pandai buat dan sedap rasanya.
Kehinaan adalah secara imaginarinya, sesuatu yang pahit untuk ditelan oleh tekak orang. Macam ubatlah.
Dan macam ubat juga,ia mampu merawat.
Dan aku juga boleh percaya, kehinaan mampu merawat manusia yang sakit.
Kerana bila adanya kesedaran. Dan dicampur dengan adanya kehinaan.
Maka wujudlah kesedarhinaan.
Dan dalam kesedarhinaan, mampu memupuk jiwa dan hati kecil manusia akan kesederhanaan.
Persoalannya masih, mampukah?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan