Khamis, Jun 24, 2010

PASCA 1 - Memang Betul Dulu Ada Nasi Lemak 10 Sen. Dulu Lah...

Hari Ahad. 20 Jun 2010.

Sudah masuk hari ketiga aku meninggalkan pentas auditorium itu.
Sekarang berada di kampung.
Keadaan aman permai.
Kicauan burung-burung di waktu petang begini.
Lewat petang nanti pula diganti dengan bunyi-bunyian harmoni serangga.
Buat masa sekarang ini aku rasakan segalanya sudah selesai.

Tugas teater di kota lumpur tempoh hari memang amat meletihkan kepala otak dan badan aku.
Sepanjang perjalanan pulang di dalam motokar aku hanya tidur.
Sampai saja di kampung aku terus merebahkan diri dan tak sedar-sedar sampai pagi hari esoknya.
Aku sedar aku perlu pulihkan diri.
Untuk pulihkan kembali tenaga yang sudah dikerah.

Aku tak mahu berkata apa-apa tentang pasca pementasan dari sudut persembahan.
Banyak yang telah berlaku di dalam dan di luar, di atas dan di bawah, di kanan dan di kiri - di setiap sudut sekitar aku.
Apa yang telah aku paparkan di atas pentas sewaktu pementasan tempoh hari adalah hasil proses kreatif pengarah, penolong pengarah, pengurus pentas, penolong pengurus pentas, penata teknikal, penata props dan kostum dan cadangan-cadangan daripada para pelakon.
Semua idea yang diajukan daripada setiap seorang diadunkan secara harmoni.
Sebagai pengarah perlu untuk aku ambil kira pendapat daripada pelbagai pihak.
Ini adalah salah satu perkara yang telah aku pelajari. Untuk jadi pengarah - tidak boleh terlalu ego.
Aku pernah melakukan kesilapan ketika menjadi pengarah muda waktu muda-muda dahulu.
Aku rasa aku terlalu ego dengan pangkat pengarah tu. Dan aku memang akui, dulu aku memang seorang pengarah yang celaka.
Namun akhirnya, tugas sebagai pengarah teater Tuah Hang Jebat di KL (dan bangsawan di UTP) tempoh hari telah banyak mengajar aku.
Aku sedar dan sudah faham tugas sebenar pengarah.
Bukan hanya mengarah orang lain, tetapi mengarah diri sendiri untuk menjadi lebih menghargai dan menghormati idea dan pandangan kru-kru produksi yang lain.
Lebih-lebih lagi aku juga turut membawa satu watak dalam teater tempoh hari - menjadikan tugas aku lebih mencabar.
Aku amat bersyukur dan berterima kasih kepada produser Dr Shark kerana telah memberi ruang kepada aku untuk mengarah sebuah teater.
Dan macam biasa, aku akan teruskan minat aku ini untuk menghasilkan teater-teater yang lebih kreatif, lebih berkualiti, lebih bermutu pada masa akan datang.

Produksi teater Tuah Hang Jebat di KL tempoh hari, aku diberikan Am sebagai Stage Manager.
Dan Aini sebagai Assistant Stage Manager yang mana produser telah mencadangkan pada aku untuk melantiknya memandangkan produser tiada sewaktu persiapan, dan aku pula perlu naik pentas sebagai pelakon.
Jadi aku pun bersetuju untuk Aini membantu Am. Lagipun Am kena duduk dalam control room. Jadi keputusan untuk melantik Aini mengurus di belakang pentas adalah yang terbaik.
Stage Management THJ-KL adalah yang terbaik sepanjang sejarah pengarahan aku.
Gandingan mantap Am, Aini, Esah, Nuzul dan Fatina sememangnya menyeronokkan aku untuk bekerja bersama-sama mereka.
Aku dan mereka inilah yang akan tiba di auditorium terawal dan yang terakhir balik dari auditorium.
Tidak lupa juga kru-kru teknikal yang memang cepat belajar - Razol, Izzat dan Aiman.
Aku memang sangat-sangat seronok dikurniakan kau orang semua sebagai stage management produksi ini.

Pandangan aku sebagai pengarah - aku ingin tunjukkan pada seluruh produksi bahawa kru-kru belakang tabir perlu lebih dihargai.
Aku ulang - kru-kru belakang tabir PERLU LEBIH dihargai.
Macam mana pelakon nak hargai kru belakang tabir? Mudah saja. Hanya dengan memberikan kerjasama (tidak main-main sewaktu technical run) dan mengucapkan terima kasih bila lepas habis show kepada yang uruskan props dan kostum.
Kalau nak lebih baik lagi, kostum yang dipakai tu gantungkan pada hanger siap-siap, make-up pula tidak dibiarkan bersepah atau tak ditutup dengan rapi dan kemas.
Semua perkara ini adalah perkara biasa yang mudah untuk dilakukan - tetapi cuma kadang-kadang kita tidak sedar yang kita harus buat benda tu sebagai tanggungjawab manusia untuk saling tolong-menolong.

Akhir kata...
Kalau kita nak buat sesebuah show, kita perlukan pertolongan orang lain juga. Jadi, kerja-kerja teater perlukan kerjasama dari setiap orang. Tapi kalau ada yang tak nak tolong tu tak apalah, mungkin mereka tak sihat, atau mungkin mereka memang tak sudi nak tolong.




p/s: Lepas ni aku nak cuba jadi Pengurus Pentas pulak. Harap-harap ada ruang dan peluang.

p/s: Satu lagi tugas pengarah - adalah untuk 'memuaskan nafsu' produser. HAH!

Tiada ulasan:

Catat Ulasan