Rabu, Jun 30, 2010

PASCA 6 - Sajak-sajak Sejarah Melayu

Judulnya memang membosankan orang yang tak minat sastera, contohnya aku, yang dulu.
(Tak perlu nak bagi contoh nak mengata fasal orang lain. Diri sendiri lebih dekat. Yang buruk pada diri aku, aku akui. Ini pelajaran aku tahun 2009 untuk tidak denial. Terima kasih pada SEFA dan Salju Putih sebab perkenalkan tentang perihal DENIAL pada aku. Kredit kredit.)


Baru tambah satu lagi koleksi buku genre sastera.
Bukan novel. Aku tak berapa gemar beli dan baca novel.
Aku pernah beli novel tapi tak pernah habis baca.
Malah ada satu novel tu masih berbalut plastik lagi.

Buku yang aku baru beli ni judulnya Sajak-sajak Sejarah Melayu.
Oleh Muhammad Haji Salleh.
Buku terbitan DBP purba kala.
Ini adalah buku sajak/puisi pertama yang aku beli.
Rekabentuk kulitnya telah berjaya menarik minat aku.
Harga asal RM 3.50 tetapi dijual hanya RM 1. Sebab kakak kaunter tu kata buku lama.
Memang patut pun jual murah. Sepatutnya jual dengan harga 10 sen ja.
Buku yang ini adalah cetakan pertama tahun 1981.
Mungkin waktu tu RM 3.50 sangat mahal untuk sebuah buku sajak nipis tu.
Entah. Zaman aku belum lahir.

Kandungannya juga menarik minat aku.
sajak-sajak disusun seolah-olah mengikut plot cerita.
Dari ceretera yang pertama hingga ceretera yang ketiga puluh empat.
Judul bahagian sajak-sajaknya ditulis dengan huruf kecil semuanya.
Seperti puisi Inggeris yang aku dah lupa judulnya dulu waktu sekolah menengah. Tiada satu pun huruf besar. Menunjukkan yang penulis merendah diri.
Dan judulnya menggunakan perkataan penuh bagi menggantikan angka.
Nombor 34 ditulis secara perkataan menjadi ketiga puluh empat.
Menunjukkan penulis betul-betul menghargai dan mencintai bahasa.

Suka untuk aku memetik perenggan awal dan akhir mukadimah buku sajak ini.

"
tuan hamba ialah pujangga,
tugasnya berat, semuanya mesti dijaga,
bahasa dan urutan peristiwa,
kebesaran negeri dan hati kecil manusia,
tapi yang amat agung,
perkatakanlah yang benar,
kerana kebenaran itu isi sejarah,
pembetul raja dan pengingat orang lupa,
petunjuk yang lurus
dan tiada patah di bawah pukulan.


"


"
tulislah,
tulislah dengan segala alatan pujangga tuan hamba
supaya dari peristiwanya akan timbul kebesaran
dari sejarah kita dapat dipelajari kebenaran.


"

Boleh klik dan besarkan kulit buku sajak ini kalau mahu baca ringkasan kandungannya.

Cantik kan kulit buku sajak ni?


Dan waktu aku membelek-belek buku sajak ni, mak aku kata
"Sekarang dah minat sastera ek?"

Ya.

Sewaktu temuduga pula baru-baru ini:

"I think you should majoring in that (theatre)."

Ya.

Ah crap. Kalaulah bidang seni teater sebegini di sini boleh buat kerjaya cari makan. Kalaulah.

Tapi manalah tahu suatu hari nanti?

Ya.

Mahu menulis dan terus menulis. Tak kisah kalau ada ganjaran wang atau pun tidak. Kerana bukan itu niat utamanya. Itu niat keduanya. Ha ha.

Ya lah!

Apa-apa sahaja boleh berlaku dalam waktu pengangguran sekarang ini.

Ahad, Jun 27, 2010

PASCA 5 - I.IV.III

Sempena ulangbulan yang ke-32.
Aku persembahkan.

Konsep minimalism ha ha. Macam biasa, warna hitam merah dan putih warna kesukaan.


Lepas siap buat ni, terus aku teruja nak buat DVD rakaman teater Kerusi, Bangsawan Tuah Hang Jebat dan filem pendek Ciku. Sebab tiga ni saja yang baik kualitinya kalau hendak dijual pun.

PASCA 4 - Kerja Seni Sampai Mati : Folisi, Fosisi, Fulusi, Fofulariti, Fukimakimati

Fukimakimati?

Ya.
Tulisan aku boleh jadi agresif.
Dan aku sendiri pun boleh jadi agresif.
Bukan tak pernah.
Dah memang pernah.
Tapi tak nak lah.

Nak kata aku sibuk berkarya menulis skrip 24 jam sehari tidak juga.
Ada mood menulis baru aku menulis.
Sekarang ini aku sedang mengerjakan penterjemahan skrip teater penuh TERO PING PONG ke dalam Bahasa Inggeris.
Niatnya hendak hantar sebagai penyertaan ke pertandingan menulis skrip International Playwright Forum.
Tapi tarikh tutup dah nak dekat. 30 Jun.
Banyak lagi aku tak alih bahasa ni. Mudah-mudahan sempat. Tak sempat pun tak apalah. Boleh hantar ke mana-mana pertandingan lain lepas ni.
30 Jun juga tarikh tutup penyertaan Short+Sweet Theatre Festival.
Aku dah hantar juga beberapa skrip teater pendek. Semuanya dalam Bahasa Melayu.

Dalam masa yang sama juga hari-hari aku didatangi dengan ilham-ilham teater.
Apa-apa sahaja yang terlintas yang sedang berlaku di sekeliling aku, boleh jadi akan trigger otak seni aku untuk mewujudkannya dalam bentuk play.
Di pekan Parit Raja tempoh hari, ada lorong belakang pasaraya Wellward baru, yang mana aku bayangkan kalau dapat buat street theatre dekat situ pasti mampu menarik ramai orang yang lalu-lalang.
Boleh ke tak agaknya dapatkan kebenaran buat street theatre dekat situ ya. Kalau dapat tahu cara untuk membolehkannya, mungkin aku akan buat suatu hari nanti.

Dr.Shark juga ada mencadangkan satu rancangan jangkamasa panjang untuk projek teater TQA di KL.
Untuk Festival Teater KL 2011. Tahun hadapan.
Dr.Shark ni memang bersemangat dan berpandangan jauh dalam bab-bab festival teater ni. Tak payah cerita panjang lebarlah nanti kena saman pulak sebab dia dah faham baca blog aku sekarang ni. Bahaya, bahaya.
Dia beri cadangan untuk aku kembangkan skrip Nasi Lemak 10 Sen jadi teater penuh, dan ditambah beberapa lagi karakter dengan emosi.
Jadi setelah melalui proses kreatif sekejap pada satu lewat malam itu, aku berjaya mencipta dua watak lagi, yang mampu masuk ke dalam Nasi Lemak 10 Sen yang sudah sedia ada.
Jadi di sini suka untuk aku kongsi watak dan sedikit perwatakan dalam teater penuh NASI LEMAK 10 SEN: (Turut disertakan cadangan pelakon ye...)

1. PENGEMIS - Utama Lelaki - Din
Sudah ada RM 1.40 hasil mengemisnya. Hendak dapatkan 10 sen lagi untuk beli nasi lemak Kak Zee.

2. ORANG KAYA(P) - Pembantu Lelaki - Pacel
Orang kaya tapi kedekut dengan Pengemis. Hari-hari makan nasi lemak Kak Zee.

3. KAK ZEE - Utama Wanita - Aini
Berniaga menjual nasi lemak. Sangat berkira dengan Pengemis. Kena cukup duit tunai dalam tangan baru boleh dapat makan nasi lemaknya.

4. PENGEMIS 2 - Pembantu Wanita - Nisa
Tiba-tiba datang kepada Pengemis kononnya hendak tolong Pengemis dapatkan 10 sen lagi. Tetapi akhirnya dia kebas duit RM 1.40 milik Pengemis.

5. ABANG MAT - Harapan Lelaki - Kerel
Berniaga menjual aiskrim Malaysia 20 sen. Selain itu turut menjual burger, pai epal, apam balik, kebab, aiskrim potong, lolipop, pisang, hotdog. Tetapi dia hanya jual aiskrim Malaysia 20 sen sahaja pada orang ramai. Menu-menu lain hanya dijual pada pelanggan khas yang berdaftar secara tak rasmi. Huh, Abang Mat ni memang jenis suka simpan harta!

6. TUKANG SAPU - Harapan Wanita - Tasha
Makcik tukang sapu. Muda lagi sebenarnya tapi sebab dia kerja tukang sapu, orang tetap panggil makcik tukang sapu. Sangat berpengalaman dalam kerja tukang sapu. Banyak benda yang dia dah sapu. Tapi setakat ni dia hanya sapu dan buang. Belum pernah lagi sapu lepas tu pungut dan simpan buat harta dekat rumah, belum lagi!
Contoh benda yang pernah disapu oleh Tukang Sapu: tahi kucing, tahi ayam, sampah pembungkus nasi lemak, sampah aiskrim Malaysia 20 sen,
Setakat ni tak pernah lagi tersapu tahi anjing, tapi manalah tahu kot-kot lepas habis teater ni ada pula tahi anjing kat atas pentas tu...


Sejujurnya aku suka interpretasi Dr.Shark dan Pacel terhadap play Nasi Lemak 10 Sen aku ni.
Kedua-duanya melihat play ini sebagai sebuah political play.
Pacel ada menerangkan sedikit interpretasinya sebelum mementaskannya buat pertama kali di UTP tempoh hari sebelum pre-show bangsawan THJ.
KAK ZEE dan ORANG KAYA(P) dilihatnya sebagai KERAJAAN dan ORANG KERAJAAN.
PENGEMIS pula dilihatnya sebagai PEKERJA BAWAHAN. Manakala PENGEMIS 2 adalah OPPORTUNIST.
Maka berdasarkan interpretasi tersebut, aku wujudkan karakter ABANG MAT yang aku interpretasikan sebagai suka simpan harta. Siapa dia dan apa interpretasinya secara spesifik itu terpulang pada pembaca nanti.
Kemudian wujud pula TUKANG SAPU yang juga boleh memberikan interpretasi politikal.

Namun begitu, aku lapis-lapiskan teater Nasi Lemak 10 Sen ini. Audiens (pembaca, penonton) boleh fahami dan beri interpretasi yang berbeza-beza.
Tapi sejujurnya, niat penulis pada asalnya hanya satu:
Sebagai cetusan perasaan aku bila melihat banyak pengemis yang sihat tubuh badan tetapi mengemis.
Mudah bukan? Tak.. tak semudah itu rasanya. Ha ha.

PASCA 3 - Kesederhanaan Dalam Kesedarhinaan

"Kesederhanaan"

Selalunya aku lebih gemar berdiam diri.
Dan aku hanya berkata bila aku rasa aku perlu berkata.
Kebanyakan kata-kata aku yang keluar secara lisan adalah kata-kata yang telah ditapis.
Ditapis oleh otak yang memikirkan terlebih dahulu, wajarkah aku mengatakan apa yang aku hendak katakan?
Kalau ikut perasaan semata-mata, mungkin kata-kata yang keluar boleh jadi kurang sesuai dengan situasi.
Dan kalau terlalu memikirkan sangat apa yang nak dikatakan, boleh jadi memakan dan memudarat diri sendiri juga yang mana akhirnya memberi kesan yang buruk pada orang lain juga.
Apa pun aku tetap percaya setiap orang unik dan punya cara tersendiri untuk hidup.
Dan aku mengambil cara yang aku lebih selesa - berdiam diri, cakap bila perlu, dan bertempat.
Ikut situasi juga lah.
Aku juga lebih gemar mengambil cara hidup yang mengikut konsep kesederhanaan.
Apa-apa sahaja yang berlaku dalam hidup ini, berjalan, berfikir, berlakon, bercakap, bertindak - aku lakukan semuanya secara sederhana.
Di atas pentas juga aku bersederhana. Cuma kadang-kala terhiper atau terover - itu biasalah. Dah nama pun TER dan dalam TEATER pun ada TER. TERsasul, misalnya. Cis.
Besederhana memang selesa lagi menyenangkan.
Tetapi tidak senang. Senangkah?


"Dalam"

Sekarang musim hujan lebat juga di kampung. Tapi tidaklah hari-hari hujan.
Koreklah parit di kampung itu sedalam mana sekalipun. Koreklah dalam-dalam.
Tapi kalau sistem saliran tidak elok juga, tetap akan dilanda banjir.
Tapi aku berpendapat, bukan salah sistem saliran, bukan. Tetapi?

Macam parit dikorek dalam-dalam.
Macam korek hidung dalam-dalam.
Macam nak korek telaga dalam-dalam nak jadikan tempat buang orang.
Sedalam mana pun tidak dapat lawan dalamnya kata-kata yang mendalam.
Kata-kata yang mendalam tidak perlukan jentera pengorek besar gedabak.
Mungkin hanya jari pengorek hidung, dan otak sebesar gerabak, dan lidah di pinggir bibir.
Macam itu jugalah dalam tekak banyak kahak.
Kena sedut kahak guna mesin sebab kahak sudah masuk dekat paru-paru. Bahaya, bahaya.
Sedut kahak guna mesin menyakitkan.
Akan tetapi setiap sesuatu punya harga nilainya. Dan perlukan pengorbanan.
Sanggupkah?



"Kesedarhinaan"

Manusia memang ada kehinaan.
Sisi hina.
Kadang-kadang kita tidak sedar yang kita telah menghina orang lain.
Dan kebetulan pula waktu tu ada cermin separa-satah-separa-lutsinar diturunkan dari atas menggunakan sistem flying bar automatik.
Posisinya pula kebetulan kena di hadapan kita.
Kehinaan bukanlah sesuatu yang sedap macam kuih karipap. Kuih karipap pun tak semua orang pandai buat dan sedap rasanya.
Kehinaan adalah secara imaginarinya, sesuatu yang pahit untuk ditelan oleh tekak orang. Macam ubatlah.
Dan macam ubat juga,ia mampu merawat.
Dan aku juga boleh percaya, kehinaan mampu merawat manusia yang sakit.
Kerana bila adanya kesedaran. Dan dicampur dengan adanya kehinaan.
Maka wujudlah kesedarhinaan.
Dan dalam kesedarhinaan, mampu memupuk jiwa dan hati kecil manusia akan kesederhanaan.
Persoalannya masih, mampukah?

Jumaat, Jun 25, 2010

PASCA 2 - Antara (Ruang) Gigi Pentas, Tirai, Batang Gantung & Pinggir Bibir...

Pinggir bibir.
Pinggir di bibir.
Pinggir hanya di bibir.

Gigi kuning.
Gigi berlubang.
Gigi sensitif.
Gigi putih berseri.
Gigi pentas tajam macam gigi manusia juga.
Nampak tak tajam tapi tajam.
Tak adalah tajam pun - tumpul - tapi tindakannya tetap tajam juga.
Jadi, kena berhati-hati dengan ketajaman walaupun ia hanya gigi pentas.
Lagi satu perkaitan, gigi di dalam, bibir di luar.
(Fuh, sakit otak nak faham apa yang aku cuba maksudkan ni, kan..)

Tirai.
Depan tirai, belakang tirai, tepi tirai - kena masuk dalam karakter.

Flying bar.
Batang terbang.
Gara-gara bangsawan sulung, dua batang terbang sudah digantung dan berjuntai di pentas serbaguna itu...

Bibir di pinggir.
Bibir meminggir.
Bibir terpinggir.
Kalau bibir kata bibir dipinggirkan, rasanya bukan bibir yang bersalah.
Siapa tuan punya bibir?
Sila angkat tangan dan cubit bibir anda sendiri.

Khamis, Jun 24, 2010

PASCA 1 - Memang Betul Dulu Ada Nasi Lemak 10 Sen. Dulu Lah...

Hari Ahad. 20 Jun 2010.

Sudah masuk hari ketiga aku meninggalkan pentas auditorium itu.
Sekarang berada di kampung.
Keadaan aman permai.
Kicauan burung-burung di waktu petang begini.
Lewat petang nanti pula diganti dengan bunyi-bunyian harmoni serangga.
Buat masa sekarang ini aku rasakan segalanya sudah selesai.

Tugas teater di kota lumpur tempoh hari memang amat meletihkan kepala otak dan badan aku.
Sepanjang perjalanan pulang di dalam motokar aku hanya tidur.
Sampai saja di kampung aku terus merebahkan diri dan tak sedar-sedar sampai pagi hari esoknya.
Aku sedar aku perlu pulihkan diri.
Untuk pulihkan kembali tenaga yang sudah dikerah.

Aku tak mahu berkata apa-apa tentang pasca pementasan dari sudut persembahan.
Banyak yang telah berlaku di dalam dan di luar, di atas dan di bawah, di kanan dan di kiri - di setiap sudut sekitar aku.
Apa yang telah aku paparkan di atas pentas sewaktu pementasan tempoh hari adalah hasil proses kreatif pengarah, penolong pengarah, pengurus pentas, penolong pengurus pentas, penata teknikal, penata props dan kostum dan cadangan-cadangan daripada para pelakon.
Semua idea yang diajukan daripada setiap seorang diadunkan secara harmoni.
Sebagai pengarah perlu untuk aku ambil kira pendapat daripada pelbagai pihak.
Ini adalah salah satu perkara yang telah aku pelajari. Untuk jadi pengarah - tidak boleh terlalu ego.
Aku pernah melakukan kesilapan ketika menjadi pengarah muda waktu muda-muda dahulu.
Aku rasa aku terlalu ego dengan pangkat pengarah tu. Dan aku memang akui, dulu aku memang seorang pengarah yang celaka.
Namun akhirnya, tugas sebagai pengarah teater Tuah Hang Jebat di KL (dan bangsawan di UTP) tempoh hari telah banyak mengajar aku.
Aku sedar dan sudah faham tugas sebenar pengarah.
Bukan hanya mengarah orang lain, tetapi mengarah diri sendiri untuk menjadi lebih menghargai dan menghormati idea dan pandangan kru-kru produksi yang lain.
Lebih-lebih lagi aku juga turut membawa satu watak dalam teater tempoh hari - menjadikan tugas aku lebih mencabar.
Aku amat bersyukur dan berterima kasih kepada produser Dr Shark kerana telah memberi ruang kepada aku untuk mengarah sebuah teater.
Dan macam biasa, aku akan teruskan minat aku ini untuk menghasilkan teater-teater yang lebih kreatif, lebih berkualiti, lebih bermutu pada masa akan datang.

Produksi teater Tuah Hang Jebat di KL tempoh hari, aku diberikan Am sebagai Stage Manager.
Dan Aini sebagai Assistant Stage Manager yang mana produser telah mencadangkan pada aku untuk melantiknya memandangkan produser tiada sewaktu persiapan, dan aku pula perlu naik pentas sebagai pelakon.
Jadi aku pun bersetuju untuk Aini membantu Am. Lagipun Am kena duduk dalam control room. Jadi keputusan untuk melantik Aini mengurus di belakang pentas adalah yang terbaik.
Stage Management THJ-KL adalah yang terbaik sepanjang sejarah pengarahan aku.
Gandingan mantap Am, Aini, Esah, Nuzul dan Fatina sememangnya menyeronokkan aku untuk bekerja bersama-sama mereka.
Aku dan mereka inilah yang akan tiba di auditorium terawal dan yang terakhir balik dari auditorium.
Tidak lupa juga kru-kru teknikal yang memang cepat belajar - Razol, Izzat dan Aiman.
Aku memang sangat-sangat seronok dikurniakan kau orang semua sebagai stage management produksi ini.

Pandangan aku sebagai pengarah - aku ingin tunjukkan pada seluruh produksi bahawa kru-kru belakang tabir perlu lebih dihargai.
Aku ulang - kru-kru belakang tabir PERLU LEBIH dihargai.
Macam mana pelakon nak hargai kru belakang tabir? Mudah saja. Hanya dengan memberikan kerjasama (tidak main-main sewaktu technical run) dan mengucapkan terima kasih bila lepas habis show kepada yang uruskan props dan kostum.
Kalau nak lebih baik lagi, kostum yang dipakai tu gantungkan pada hanger siap-siap, make-up pula tidak dibiarkan bersepah atau tak ditutup dengan rapi dan kemas.
Semua perkara ini adalah perkara biasa yang mudah untuk dilakukan - tetapi cuma kadang-kadang kita tidak sedar yang kita harus buat benda tu sebagai tanggungjawab manusia untuk saling tolong-menolong.

Akhir kata...
Kalau kita nak buat sesebuah show, kita perlukan pertolongan orang lain juga. Jadi, kerja-kerja teater perlukan kerjasama dari setiap orang. Tapi kalau ada yang tak nak tolong tu tak apalah, mungkin mereka tak sihat, atau mungkin mereka memang tak sudi nak tolong.




p/s: Lepas ni aku nak cuba jadi Pengurus Pentas pulak. Harap-harap ada ruang dan peluang.

p/s: Satu lagi tugas pengarah - adalah untuk 'memuaskan nafsu' produser. HAH!

PASCA 0

Aku perkenalkan...
PASCA.
(Perkataan-perkataan Asimetrik dalam Catatan Akin)

Pasca-pengajian.
Pasca-pementasan.

Aku wujudkan ruang untuk PASCA.
Sebagai mengisi ruang dalam ruang yang kosong.
Sebagai transisi.

Perkataan-perkataan asimetrik dalam catatan-catatan aku.
Catatan yang pasti punya cacatan.
Kerana di mana manusia sempurna seratus peratus?

Asimetrik.
Tidak simetrik.
Tidak seimbang.
Kalau komposisi pelakon atas pentas pun ada simetrik dan asimetrik.
Dan aku memang orang pentas pun, jadi juga wujud simetrik dan asimetrik dalam aku.
Jika perkataan-perkataan yang tercatat tidak seimbang - faham-faham sahajalah.
Masterpiece aku pun baru satu saja. Itu pun pendek saja.
Kalau Dr.Shark punya masterpiece Asylum saja sepanjang hidupnya, dan Hatta Azad Khan punya beberapa masterpiece;
aku boleh kata, ah biasalah tu, bukan mudah nak hasilkan masterpiece.
Satu sepanjang hayat seniman dah dikira berjaya lah tu.
Masterpiece itu karya agung.

Cuba perhatikan gambar RUANG yang aku tunjukkan sebelum ini.
RUANG antara dinding, siling, almari.
Ada banyak sisi yang boleh diambil kira.

Setiap sisi itu mengisi ruang dalam ruang yang kosong.
Dalam setiap sisi juga telah penuh diisi ruang dalam ruang molekul.
Jika secara logik dan 3dimensi, dadu punya 6 sisi dengan setiap sisi punya bilangan titik yang berlainan;
tidak salah untuk aku fikir dan berimaginasi bahawa orang juga sebegitu, ada 6 sisi.
atau kurang
atau lebih

Dan aku punya 2 sisi tapak, 2 sisi mati, 2 sisi enapan dan 1 sisi keji.


Bersambung.

Jumaat, Jun 18, 2010

Ruang.


Ruang.



Ruang.



Ruang.

Akan berkata-kata tentang ruang tidak lama lagi...

Rabu, Jun 09, 2010

CARAPAN

Catatan Rawak Pagi Bulanan


Bila dah habis belajar ni aku lebih mudah bangun pagi dan terus kekal bangun sampai tengah hari.
Mungkin sebab fizikal dan mental tak penat.
Pagi-pagi begini makan sarapan dan layan perasaan seorang diri memang mengasyikkan juga.

Suka untuk aku berkongsi tentang pandangan dan pendapat aku sewaktu temuduga tempoh hari.
Kebanyakan perkara yang aku keutarakan lebih kepada people, orang, manusia, dan humaniti.
Walaupun pendapat-pendapat aku cuba dibidas tetapi aku tetap tekankan perihal manusia dan kemanusiaan.

Aku masih lagi dalam proses kreatif teater Tuah Hang Jebat.
Skrip perlu diubah sedikit. Apa yang berubah? Kena tunggu dan lihat.
Masih ada masa sebelum 11 Jun.
Ada juga sedikit masalah pengurusan disebabkan aku sendiri pun tidak tahu perihal tersebut. Tetapi tak mengapa kerana sudah boleh diselesaikan.

Bila aku bikin sesebuah teater, aku memang tak fikir sangat secara terperinci - proses kreatif lebih kepada mengikut alur rasa yang keluar dari jiwa - tapi kena fikir juga untuk kesesuaian dan adakah apa yang difikirkan itu realistik atau tidak. Boleh guna cuba jaya - cuba untuk wujudkan idea tu atas pentas. Kalau jadi dan boleh buat, buat. Kalau tak jadi, tak payah buat - fikir cara lain.
Ikut rasa.
Dan cara - kena fikir.
Subteks?
Benda ni akan datang kemudian dengan sendirinya.
Tapi memang betul pun.
Subteks cerita yang aku bikin sendiri pun hanya aku dapat lihat selepas aku siap tulis - dan selepas aku baca berulang-ulang kali.
Dan biasanya lepas siap tulis aku akan rasa skrip aku tu sampah.
Dan banyak lagi sampah yang ada dalam tong sampah aku ni.
Tapi jangan buang sampah di merata-rata tempat.
Kalau dah buang pun jangan lupuskan macam tu saja.
Sampah pun tetap ada gunanya.

Nasi Lemak 10 Sen aku akan dipentaskan lagi selama dua malam sewaktu Tuah Hang Jebat itu juga.
Dan ya, Nasi Lemak 10 Sen adalah masterpiece teater pendek aku.
Semoga aku dapat tulis skrip yang lebih berkualiti pada masa akan datang.

Selasa, Jun 08, 2010

Aku (dalam baris yang singkat-singkat)

Aku sudah habis belajar di universiti.
Aku cuma perlu tunggu keputusan semester akhir aku bulan Julai nanti.
Aku sudah juga temuduga berstruktur PETRONAS.
Aku cuma perlu tunggu keputusan temuduga itu.
Aku masih lagi bergelar pelajar UTP sebab aku masih di sini.
Aku ada rehearsal untuk show teater Tuah Hang Jebat minggu ini mula dari 11 sampai 13 Jun.
Aku ada show teater tu pada 16 dan 17 Jun - iaitu minggu depan.
Aku juga sedang mencari kerja sementara di mana saja yang boleh.
Aku juga masih mencari mood untuk menulis skrip - dapat mood memang ligat terus menulis.
Aku belum balik kampung lagi. Kali terakhir - hampir 3 bulan yang lalu. Tak mengapa. Alang-alang mak bapak aku nak datang sini angkut barang-barang.
Aku suka diri aku yang kini. Dan diri aku yang dulu. Cool dan calm dan steady. Tak banyak bunyi - tak banyak cerita. Di bawah pancaran lampu profil rendah - aku masih boleh memandang penonton di hadapan (dah mula nak berbahasa tak faham).
Aku ada banyak perancangan untuk masa hadapan. Cita-cita yang aku hendak kejar dan kecapi.
Aku juga kejar cinta. Hidup semestinya perlu cinta.

Ada seorang kawan aku bertanya, apa impian tertinggi yang aku nak capai dalam bidang seni?
Aku jawab: Aku nak jadi Sasterawan Negara / Seniman Negara.

HAH!

Isnin, Jun 07, 2010

Ekstrak Abstrak LIF

Kita ambil ekstrak sesuatu yang abstrak.
Hidup boleh jadi simple - mudah.
Hidup boleh jadi abstrak - complicated.
Tak apa. Kita ambil sahaja ekstrak daripada sesuatu yang abstrak.
Sebab bukan mudah nak nampak yang abstrak ni.
Nampak sedikit pun dah kira beruntung di dunia.

4 dan 5 Jun yang lalu sudah pun selesai karya L.I.F aku dipentaskan di DBP.
Tak dapat hadir nonton pada malam 4 Jun. Hanya pada 5 Jun sahaja.
Bagi aku ketiga-ketiga pementasan LIF, Jiwa Merdeka dan MAR-day dikira berjaya.
Memang persediaan kurang dan masa suntuk, tapi itu adalah cabaran untuk semua cast dan crew yang terlibat - cabaran untuk menjadi profesional. Memang sekarang belum pro lagi, tapi dengan pengalaman dan penglibatan dalam kerja-kerja produksi teater insyaAllah boleh jadi pro.

Ini ada sedikit gambar-gambar yang ditangkap oleh brader Paan:

 
Baru naik LIF

Borak borak dalam LIF sampai bertekak.

Adegan klimaks - dah mula seram sejuk dah.

'Hantu' Ahh Mad gelak saja.


LIF adalah yang paling minimal lebih-lebih lagi dari segi set.
Boleh saja nak buat pentas set kosong.
Set latar kain hitam itu pun untuk encik Half sorok dekat belakang sebagai suara cakap guna hailer. Dan untuk encik Khairil pergi sorok di belakang kain hitam untuk menghilangkan diri dalam masa yang singkat.
Tahniah pada team LIF khususnya sebab berjaya buat show yang simple tu.
Simple tapi menarik bagi aku. Bagi aku lah. Bagi orang lain mungkin biasa-biasa saja atau memang tak best.
Harap-harap ada orang yang faham idea aku dalam LIF tu.

Jiwa Merdeka dan MAR-day juga tidak kurang hebatnya.
Begitu juga persembahan dari kumpulan lain.
Masing-masing ada idea tersendiri yang unik.