Khamis, Julai 02, 2009

BM: Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?

Selepas ditanda oleh kawan saya, Saudara Fauzan 'Jebat' Nordin (saya rasa wajar saya jadikan 'Jebat' sebagai nama tengahnya), saya mengambil keputusan untuk menyahut cabaran beliau dengan cuba mengarang dan menjawab soalan-soalan yang diberikan dalam Bahasa Malaysia SAHAJA. Mudah? Nanti kita lihat pula rakan-rakan saya yang akan ditanda oleh saya untuk menyahut cabaran ini.

Saya sudah biasa menulis dalam Bahasa Malaysia jadi tidak menjadi masalah sangat. Namun begitu akibat sudah terlalu biasa menulis dalam Bahasa Malaysia, saya mengalami kesukaran untuk menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik seperti yang saya pernah tulis suatu masa dahulu. Tatabahasa entah ke mana, perbendaharaan kata entah ke mana, peribahasa entah ke mana, perumpamaan entah ke mana.

---

Sila gunakan Bahasa Malaysia sahaja :)

1. Bekas kekasih saya adalah :
Seorang perempuan (kena nyatakan jantina sebab sekarang ni homoseksual sudah berleluasa, jadi saya tidak mahu orang salah faham ha ha) yang saya kenal sewaktu di kem latihan khidmat negara pada awal tahun 2005. Dia cantik, kulitnya cerah, mukanya bersih tidak berjerawat, susuk tubuhnya kecil dan comel, memakai cermin mata, orang Kota Tinggi, dan punya latar belakang agama yang agak kukuh. Mungkin sebab itu dia tinggalkan saya sehingga saya menjadi separuh gila. Tetapi saya tahu, Tuhan menemukan kita dengan orang yang 'salah' terlebih dahulu sebelum bertemu dengan orang yang 'betul' untuk kita supaya kita mendapat pengajaran dalam hidup.

2. Saya sedang mendengar :
Bunyi kipas penyejuk komputer riba pejabat yang kuat ibarat kipas enjin kapal terbang berlatarbelakangkan bunyi deringan telefon di pejabat "trutt trutt trutt.. trutt trutt trutt..". Namun secara internalnya, saya sedang mendengar kata hati saya secara jujur.

3. Mungkin saya patut:
Bersederhana dalam bersosial. Kadang kala terlebih bersosial. Kadang kala terkurang. Mungkin saya patut bersederhana sepanjang masa. Ternyata, menjadi sederhana bukanlah semudah yang saya sangka.

4. Saya suka :
Memakai pakaitan hitam. Ia mewujudkan satu aura keyakinan pada diri saya sewaktu saya memakai pakaian hitam.

5.Sahabat-sahabat baik saya :
Ada beberapa. Memang sahabat baik sukar hendak dicari. Pada pandangan saya, apabila saya berasa selesa dan senang untuk berkongsi segala kisah suka duka hidup saya terhadap seseorang itu secara terbuka, maka dialah sahabat baik saya.

6.Saya tak faham :
Sesetengah manusia yang ada sebuku otak yang sangat berkuasa, tetapi tindakannya tidak logik, tidak masuk dek akal, pendek kata - bodoh. Contohnya, seorang pengarah di sebuah hospital menyuruh semua jururawat menukar kasut putih kepada kasut hitam, dan menyuruh semua jururawat menukar tudung biasa pakaian seragam daripada warna putih kepada tudung (Ariani, alah, yang si Ekin pakai tu) warna hijau.

7.Saya kehilangan :
Cahaya saya. Saya rasa saya perlu buka semula pintu putih yang menyimpan cahaya itu dan cuba menutup sedikit demi sedikit pintu hitam ini. Saya nampak cahaya itu. Tapi saya masih belum bergerak ke arahnya.

8.Ramai yang berkata :
Saya baik. Tetapi saya tidaklah sebegitu baik. Ternyata, pandangan luaran saja tidak cukup untuk membuat kesimpulan terhadap sifat dan sikap seseorang itu.

9.Makna nama saya :
Adalah nama seorang Nabi utusan Allah, Nabi Yusuff.

10.Cinta itu adalah:
Hakikat. Perkara yang dicipta oleh Tuhan untuk makhluk-makhlukNYA.

11.Di suatu tempat, seseorang sedang :
Bersedih kerana kehilangan ibunya yang tercinta. Seseorang lagi di tempat lain sedang berfoya-foya, alpa dan lalai. Seseorang lagi di atas pentas sedang berteater memanusiakan manusia sedang dirinya belum cukup manusia. Ah, ternyata hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui apa yang telah, sedang dan akan berlaku pada seseorang di dunia ini.

12.Saya akan cuba :
Menjadi seorang anak yang baik, suami yang baik, ayah yang baik dan manusia yang baik. Belum cuba, belum tahu. Kalau dah cuba, tak jadi-jadi juga itu saya tak tahu. (Haha)

13.Ayat SELAMANYA membawa maksud :
Sampai bila-bila. Tiada penghujung. Tiada noktah. Yang itu hanya tidak mustahil di alam akhirat sana.

14.Telefon bimbit saya :
Tidak mahal. Saya bukan dari golongan kaya untuk memiliki telefon bimbit canggih dan berkuasa tinggi. Tetapi bila sudah punya wang nanti saya mahu tukar kepada yang pelbagai fungsi dan guna juga. Kita tidak boleh ditinggalkan oleh teknologi. Takut-takut teknologi akan pergi jauh meninggalkan kita lantas kita ketinggalan dan mundur.

15.Bila saya terjaga dari tidur :
Saya rasa saya masih belum cukup tidur. Masih mengantuk. Jadi saya terus sambung tidur walaupun kadang-kala saya sedar bahawa manusia dijagakan dari tidur tiap malam kerana masih diberi peluang olehNYA untukNYA sehinggalah masa yang telah tercatat itu tiba. Sayangnya, manusia memang mudah lupa.

16.Saya paling meluat apabila :
Saya jarang meluat. Meluat ini pada orang lain atau pada benda atau perkara? Tidak pernah pula saya terfikir. Mungkin saya meluat menonton teater yang saja-saja dedah sana dedah sini.

17.Pesta/Parti adalah :
Sesuatu yang pasti menyeronokkan. Satu ruang untuk bersosial. Pesta bagi saya adalah positif. Parti pula bagi saya adalah sebaliknya. Saya tidak pernah buat parti atau pergi ke parti meskipun parti hari jadi. Bukan anti. Tapi tidak gemar. Apa pun, kedua-duanya boleh jadi positif dan negatif.

18.Haiwan yang paling comel yang saya pernah temui ialah :
Kucing lah. Apa lagi. Tidak pernah bela haiwan lain selain kucing. Kolot kah?

19.Peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi saya ialah :
Umur 12-15 tahun. Waktu akil baligh. Waktu baru ada perasaan tengok tubuh wanita. Waktu baru ada perasaan malu bila bergaul dengan budak perempuan. Waktu suka-suka pada perempuan. Waktu itu saya suka seorang budak perempuan yang pandai. Tapi tak lawa pun.

20.Hari ini :
Saya akan bersedia untuk balik kampung pada hari esok.

21.Malam ini saya akan :
Bersama dengan isteri melalui teknologi telefon bimbit, seperti malam-malam kebiasaannya. Mengemas barang untuk pulang ke kampung. Bermain sudoku. Menonton filem-filem yang telah dimuat turun.

22.Esok pula saya akan :
Pergi pejabat seperti biasa. Dan pada pukul 8 malam saya akan menaiki bas ke Batu Pahat.

23.Saya betul-betul inginkan :
Sebuah rumah yang ibarat syurga. Syurga di dunia yang membawa kepada syurga sebenar di akhirat. Walaupun saya ada tafsiran kedua tentang 'syurga dunia' itu. Mungkin orang yang seangkatan dengan saya pun ada tafsiran kedua tersebut.

24.Ketika anda lihat wajah anda di hadapan cermin pagi ini :
Saya berasa biasa. Tiada apa-apa. Rambut tidak begitu kemas walaupun disikat rapi dengan gel rambut dengan kandungan seperti berikut: Air, VP/Methacrylamide/Vinyl Imidazole Copolymer, Polysorbate 20, Propylene Glycol, Triethanolamine, Panthenol, Carboner, Diazolidinyl Urea, Parfum, Trisodium Ethylenediamine Disuccinate, Sodium Methylparaben, Benzophenone-4, Sodium Ethylparaben, CI 60730 (Rasa macam dah langgar peraturan tag ni tapi peduli apa. Itu nama khas. Haha)

25.Pusat membeli-belah atau arked permainan :
Pusat membeli-belah. Kerana itu adalah tempat yang paling elok untuk pasangan bersiar-siar. Kalau pasangan bersiar-siar di tempat yang tak ramai orang, itu yang bahaya. Kalau mahu suasana romantis sekalipun, boleh pergi makan berdua di mana-mana restoran. Arked permainan pula adalah tempat yang sia-sia dan merugikan bagi orang yang tidak hebat bermain permainan arked. Apa pun, bermain permainan Daytona beramai-ramai sehingga 8 orang tetap sesuatu yang mengasyikkan.

26.Makanan Barat atau Jepun :
Makanan Barat. Tidak pernah rasa makanan Jepun. Halal kah?

27.Bilik yang terang atau gelap :
Bilik yang gelap, tetapi tidak terlalu gelap. Malap-malap, barangkali.

28.Makanan segera adalah :
Makanan yang saya tidak dibenarkan makan oleh jururawat peribadi saya. Tapi dia pun makan juga. Alahai.

29.Ayat terakhir yang anda katakan pada seseorang?
"Hm, OK." (Ayat biasa yang keluar dari mulut Bahagian 1 Akin M.)

30.Siapa yang anda nak Tag?
Permaisuri, Perempuan 1, Perempuan 2, Lelaki 1, Lelaki 2.



ps: Sewaktu SPM di sekolah dulu, aku takut aku akan gagal dalam subjek BM. Sebab aku pernah kurang ajar pada cikgu yang ajar BM dulu sehingga aku kena berdiri di luar kelas dan menjadi centre of attraction budak-budak kelas lain. Tapi, saham aku tetap stabil. Itulah untungnya menjadi pelajar contoh di sekolah. (Member sekolah lama dulu, boleh muntah sekarang!)

1 ulasan: