Rabu, Julai 22, 2009

Singgah Sana Seni: Miao Miao Sang Arnab @ FTKL 09

Pada malam 21 Julai 2009 yang lalu, bermulalah show sulung The Qum Actors (TQA). Karya yang dibawa adalah Miao Miao Sang Arnab (MMSA) hasil tulisan Dr Shark.

Sebelum aku mulakan komen dan kritik, ada beberapa perkara yang menjadi pengaruh terhadap sudut pandangan tulisan ini, bahawasanya

  1. Aku juga merupakan salah seorang ahli The Qum Actors. Maaf kalau agak bias tulisan ini.
  2. Aku telah menarik diri daripada produksi MMSA ini atas beberapa sebab yang tak perlu dibebelkan atau dipersoalkan oleh orang lain. Berdiam diri lebih baik dalam hal ini supaya tidak menyakiti hati sesiapa. (Dan sebab itu orang yang banyak cakap selalu sakitkan hati aku, sering persoalkan kenapa aku diam, kenapa aku sombong dan seumpamanya dan ya, ini berbaur personal dan sindiran).
  3. Aku memang datang sebagai penonton semata-mata tetapi tulisan aku tetap akan terbias kerana kumpulan produksi adalah rakan-rakan TTS juga.


Show bermula tepat pukul 9 malam. Awal 4 minit mengikut jam aku.

Apa kata, aku komen secara keseluruhan terlebih dahulu secara ringkas?

Teater ini pada pandangan aku boleh dikatakan lucah dari segi skripnya sahaja, tetapi tidak dari segi lakonan. Tetapi itu pun bergantung kepada tafsiran dialog yang dapat ditangkap oleh penonton. Bagi aku, aku menafsirkan banyak dialognya sebagai lucah. Bagi aku ia tidak ada masalah kerana aku terbuka menerima karya-karya lucah. (Haha, berani punya statement) Selain itu, teater ini komikal. Mewujudkan kemanusiaan dalam haiwan. Ada bran?

Cue pertama sahaja sudah spoiled/kantoi. Nisa sebagai Ros (iaitu pencerita) tidak dengar cue dan terpaksa rushing untuk pergi ke kedudukannya sehingga melanggar Pacel & Koba yang sudah baring di tengah-tengah pentas. (Berdasarkan apa yang Nisa sendiri beritahu selepas show kalau salah, maaf.)
Followspot pula pada awalnya tidak begitu cantik dan kemas. Bila Nisa sudah habis dialognya, sewajarnya followspot terus OFF tanpa ada fading. Namun semakin lama followspot semakin baik kawalannya. Apa yang menjadi masalah adalah apabila followspot tidak ditutup secara terus, ada pelakon yang sudah nak bergerak ke point yang lain untuk adegan seterusnya dan ini tidak begitu kemas pada pandangan aku.

Nisa sebagai Ros adalah sama seperti Nisa sebagai watak-watak lain yang dipegang olehnya. Ada suatu masa dialognya dinyanyikan, tiada variasi. Aku difahamkan yang dia hanya menerima tawaran berlakon seminggu sebelum show sebenar. Dan mungkin juga, penambahan skrip Ros dilakukan dalam waktu yang sama.

Namun apa yang menarik adalah Ros memakai serba hitam dengan sapu tangannya berwarna merah. Hitam sebagai dosa. Merah sebagai dara yang telah dinodai. Ditambah lagi dengan backdrop kain hitam dan putih dan juga permainan Ros apabila meletakkan 'kemanusiaan' di tangan kanan dan 'kebinatangan' di tangan kiri. Satu perkara yang menarik lagi adalah lampu flourescent yang digunakan pada babak awal ketika Mat dijaga dari mimpi.

Karaktor Mat yang gila dan normal bagi aku sudah cukup berkesan. Namun pada pandangan peribadi aku, karaktor gilanya lebih menarik. (Mungkin aku memang suka watak orang gila atau mungkin sebab aku pun ada ciri-ciri orang gila). Watak Mat dipegang oleh Azmi Yaacob yang sudah banyak kali memegang watak yang sama sejak dari zaman kampus dahulu. Jadi, bagi aku tidak ada masalah langsung bagi dirinya memainkan watak itu.

Bagi watak Arnab pula, aku difahamkan bahawa itu adalah kali kedua buat Pacel memegang watak tersebut. Sememangnya watak ini adalah yang paling mencabar dalam teater ini (watak utama, kenalah mencabar kan). Stamina yang tinggi amat perlu kerana Arnab perlu beraksi lincah, hiper, riang, muda dari semua segi, lakonan, gerak tubuh, dialog dan aku rasa mungkin dia kurang sihat pada malam itu. Maklumlah sekarang ini musim selesema, batuk-batuk, demam. Aku pun batuk-batuk dan pening kepala sekarang ni. Dan sememangnya kesihatan boleh menjejaskan performance seorang pelakon. (Kalau dia berlakon jadi Azman yang sakit dalam teater Transit tu tak apa lah)

Pak Tam. Well well. Lutfi Othman yang terkenal dengan lakonan natural dan kaki ad-lib seperti biasa berjaya membawa watak 'kegemarannya' dengan baik dan berkesan. Macam mana nak berlakon dengan natural? Kena percaya apa yang kita sebut dalam dialog itu dan enjoy the lines. Tapi, aku sendiri pun bukan senang hendak capai tahap itu. Adakah perlu latihan intensif atau bakat semulajadi atau perkara yang lain?
Tidak ada apa sangat yang hendak dikomen tentang Pak Tam. Mungkin ada sekali sewaktu dengan Mat, ada sedikit kesilapan blocking. Itu pun kalau perasan lah.

Roy. Watak ini adalah watak yang seharusnya aku pegang sebelum menarik diri dahulu. Watak ini sedikit mudah. Tapi kalau tak kena gaya, tak jadi juga. Lakonan Roy pada malam itu aku kira banyak yang perlu diasah dan diperbaiki dari setiap segi. Menjadi playboy bukan hanya mengenakan pakaian semata-mata. Jiwa playboy perlu dicari dan dirasai. (Ini yang aku risau ni... Aku dah ada calon bini. Nasib baik hari tu aku kawal diri. Huhu. Hanya Allah yang tahu kenapa aku betul-betul tak nak berlakon jadi playboy ni.)
Apa pun, kalau aku jadi playboy aku tidak mahu nampak jahat. Aku mahu jadi playboy yang suka main dengan perempuan-perempuan.
Bahagian yang menarik sewaktu babak Roy dan Mat adalah apabila Roy mengeluarkan sapu tangan Ros berwarna merah itu. Mengingatkan penonton terhadap sapu tangan yang Ros (Nisa) dari awal cerita ini.

Satu perkara yang aku tidak suka apabila ada props yang ditinggalkan di atas pentas dan ia tidak digunakan lagi selepas itu. Roy telah meninggalkan coklat yang diberi kepada Mat di atas kerusi dan pada adegan seterusnya, Mat terpaksa mengalihkannya terlebih dahulu sebelum dapat duduk. Roy boleh saja mengambil kembali coklat tersebut sebelum keluar dari pentas. Itu saja.
Flicker sewaktu adegan Roy membelasah Mat tidak begitu cantik dan kemas. Lambat ON dan lambat OFF. Namun begitu, flicker sewaktu Arnab cuba menjadi manusia adalah cantik dan kemas. Sebut tentang babak klimaks itu, ia cukup berkesan bagi diri aku. (Walaupun tak sehebat penangan kematian Jebat. Haha).

Rasanya itu sahaja yang dapat aku komen di sini. Secara keseluruhannya memang mantap dan sebagai penonton, aku berpuas hati dan perjalanan pergi balik UTP-KL adalah satu perjalanan yang berbaloi. (RM30 habis wo, lari bajet persiapan perkahwinan aku haha)


Kredit:
Pacel, Ketua The Qum Actors, Pengarah MMSA, Arnab.
Kobar, Mat.
Lutfi, Pak Tam.
Saha, Roy.
Nisa, Ros.
Moorthi, Followspot.
Jijol, Lighting.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan