Isnin, Mei 18, 2009

Fashian With Passian

Begitulah tagline yang boleh dilihat pada beg kertas keras berwarna oren yang boleh didapati secara percuma dengan pembelian pakej kain untuk majlis-majlis seperti majlis formal, majlis bertunang, akad nikah dan bersanding. Untuk majlis-majlis khas sebegitu, anda boleh pergi ke Tingkat 3, gedung kain JAKEL.


Kisah Kain Cinta

Akak tukang jahit baju mengukur lilit dada dan pinggang aku, lantas terus memerli dengan cara lembut, "Dada dengan pinggang sama saja, tak ada beza."
Dan sudah pasti, orang yang menemani aku sedang cuba menahan daripada tergelak terbahak-bahak.
Kain Cinta dengan warna tema merah hati dan merah jambu. Hati dan jambu. Sangat lah manis.
Maka, tahun ini aku akan memakai baju Melayu berwarna merah jambu, warna sejati (atau sebenar) seorang lelaki, orang kata. Tidak cukup dengan itu, ada sulaman kain lace berwarna merah hati dan emas, supaya tampak lebih sepadan dengan si perempuan.
Dia kata dia tak suka warna merah.
Aku pula kata aku suka warna merah. Merah menyala lagi lah aku suka.
Jadi, biarlah merah hati menjadi persetujuan kedua-dua belah pihak.


Kisah Cinta Bahasa

Tagline tersebut salah dari segi ejaannya. Sepatutnya "Fashion With Passion".
Tapi, aku rasa si tauke bukanlah kisah sangat pasal logo atau tagline gedung kainnya itu.
Yang dia kisah sudah pasti pasal kain.
Passion dia pada kain. Kisahkan pada kain. Benda lain tak payah kisah sangat.

Jadi, jikalau passion pada teater, kisah lah pada teater. Tak payah kisah benda lain? Boleh ke begitu? Ha ha
Tidak juga, sebab kain ramai orang beli dan pakai.
Teater, tak ramai yang suka layan dan tonton teater (walaupun percuma).
Lagi percuma, lagilah orang tak mahu tonton!


1 MalaySia, 2 MalaySiaSia, 3 MalaySiaSiaSia

Awal petang itu.
Aku imbas kembali tentang satu perkara.

1 Malaysia

Namun kelibat orang Malaysia telah didominasi oleh alien-alien

Populasi: 1,234,567,890

Mana orang Malaysia di ibu negara 1 Malaysia?

(Dan dalam masa yang sama, ada pertandingan mencipta lagu '1 Malaysia')

Lewat petang itu.

Petang itu gelap.
Gelap yang macam lain. Lain macam.
Aku jangkakan hujan akan rebah. Turun dengan lebat selebat rambut ****c yang tak reti-reti nak dicukur oleh empunya.
Gelap langit. Macam nak ribut taufan. Macam nak kiamat.
Bila kiamat? Esok? Lusa?
Di Mastika. 21-12-2012 tarikhnya. Jumaat.
Tuhan ke dia nak ramal-ramal tarikh?

Tuhan ke dia?

Beberapa hari selepas itu.

Angels & Demons.

Malaikat & Syaitan.

Paderi bertanya, "Do you believe in God?"

[Alih bahasa] "Kau percaya pada Tuhan?"

Kembali kepada asas-asas. [Alih bahasa] Back to the basics.

Aqidah.

Aku terimbas kembali tentang satu perkara.
Awal petang itu.

Khamis, Mei 14, 2009

2 Frakmen Bila Tuhan Berbicara

Semester depan aku nak pentaskan teater di UTP, macam biasa. Di tempat lain, kena pakai duit untuk sewa panggung itu ini. Di UTP, panggung kena tempah, turun naik masuk keluar pejabat tunggu tunggu untuk minta cop atau tanda tangan orang yang kadang kala menyebabkan tarikh show berubah-ubah dari masa ke semasa hingga dekat hujung-hujung semester, minggu belajar yang mana waktu itu pelajar-pelajar baru sibuk nak bukak buku atau pergi perpustakaan (untuk belajar bersama pasangan, kumpulan belajar sambil bergosip-gosip, bergurau senda atau bergelak ketawa tanpa menghiraukan papan tanda 'Sila Senyap' oh atau memang tiada papan tanda?) atau fotostat kertas peperiksaan semester lepas. Tapi, masih ada golongan pelajar yang bagus, berdisiplin, rajin dan berdedikasi.

Teater yang aku nak pentaskan tak perlukan ramai orang. Aku ambil skrip Faisal Tehrani (lagi). Kalau ada seorang Doktor ni suka guna skrip HAK, aku pula suka guna skrip FT. Kau orang yang lain suka guna skrip siapa? Skrip sendiri? Terpulanglah.

Aku ambil dari naskhah FT berjudul Bila Tuhan Berbicara. Ia sebuah novel drama. Jadi aku ambil satu-dua (atau mungkin tiga-empat) frakmen yang mampu berdiri sendiri menjadi sebuah cerita yang lengkap (atau mungkin separa lengkap). Setiap satu aku anggarkan dalam 10-15 minit.

Aku akan pilih bulu (50%) dan pilih kasih (25%) dan pilih bakat (25%) semasa casting.
Satu frakmen aku hanya perlukan 2 pemain. Atau paling maksimum, 3 pemain.

Frakmen yang telah aku pilih, baru dua setakat ini:

Frakmen 1:
Cerita tentang seorang vulkanologis yang ingin menjalani pembedahan jantina, tetapi keliru apabila dia merasakan bahawa dunia akan kiamat esok. Kekeliruannya didengari oleh doktornya yang bertanggungjawab dalam psikologinya, sama ada hendak meneruskan pembedahan atau pun tidak.

Cast:
Vulkanologis - Anwar
Doktor - Fauzan


Frakmen 2:
Cerita tentang pasangan suami isteri. Si isteri seorang muslimah yang memahami agama Islam dan menjadikannya sebagai panduan hidup. Si suami pula seorang Islam yang liberal, tidak solat, minum arak dan dayus dalam menjalankan tanggungjawabnya terhadap isteri. Ibu bapa si suami juga tidak menyukai si isteri. Akhirnya, si isteri nekad mahu keluar dari rumah dan berpisah dengan suaminya tetapi suaminya menghalang.

Cast:
Isteri - Aini
Suami - SEFA


Kedua-duanya banyak menyentuh soal hukum-hakam dalam agama.

Aku harap aku dapat pentaskan teater ni.

Mei Mei Sang Pujangga

Minggu hadapan aku akan membentangkan sebuah model simulasi proses di pejabat (akhirnya..)

Sabtu minggu ini pula ada taklimat untuk peserta Festival Teater KL. Nak cabut undi agaknya. Tapi aku tidak dapat hadir kerana kalendar aku sudah diisi lebih awal dengan temu janji lain.

1 Mei adalah Hari Pekerja yang disambut satu dunia. Mungkin ada sesetengah negara yang menyambutnya bukan pada 1 Mei. 1 Mei itu juga adalah tarikh aku dilahirkan. Tapi tarikh pada tahun Masihi.

Aku adalah seorang yang tidak kisah akan tarikh lahir Masihi aku. Inikan pula hendak menyambutnya. Sebaliknya, aku lebih mengiktiraf tarikh lahir Hijrah aku iaitu pada 3 Ramadan 1407. Maka Ramadan 1430 ini usia aku genap 23 tahun. Sesiapa nak ucap selamat, ucapkan selamat kepada aku pada tarikh tersebut.

Selain Hari Pekerja, ada Hari Ibu, Hari Bapa, Hari Jururawat, Hari Guru, Hari Kanak-kanak, Hari Belia dan ada lagi hari sambutan khas yang diraikan pada bulan Mei.

31 Mei ini pula Tok Janggut bakal beraksi di Ipoh. Entah aku pun tak tahu sama ada dapat pergi atau tidak. 1 Jun itu nanti rakan sepraktikal sepejabat ada pembentangan terakhirnya. Memang bukan aku punya. Tapi kalau aku tak datang, sudah pasti supervisor, coach dan lecturer UTP yang datang akan bertanya. Mampus aku nak jawab apa, cuti aku sudah habis digunakan!

Atau.. aku patut DERHAKA pada SV aku?

HAH!

Selasa, Mei 12, 2009

Musim Derhaka II - Monolog Tok Janggut

Sebelum ini saya telah siarkan entri berjudul "Musim Derhaka" yang memuatkan reviu dan pandangan saya terhadap pementasan Jebat oleh Tronoh Theatre Shop (TTS). Tirai pentas Multipurpose Hall (MPH) UTP itu dibuka dengan persembahan monolog Tok Janggut yang merupakan karya asal Salju Putih (Norlina Alfan) dan telah diolah oleh Dr Shark sendiri.

Tentang karya.

Karya ini diambil dari sejarah Tok Janggut yang dilabel secara rasmi sebagai pejuang kemerdekaan, serta pembela agama. Namun, dia juga dikatakan sebagai penderhaka terhadap perintah Sultan.

Isu utama dalam karya ini sudah pasti isu yang menjadi perjuangan Tok Janggut itu. Tentang cukai. Cukai yang dikenakan oleh pihak British. Cukai kepala sebanyak RM 1.00 seorang setahun, cukai pokok buah-buahan sebanyak 3 sen setahun, cukai kelapa sebanyak 3 sen setandan dan cukai sireh sebanyak 5 sen sejunjung. Disebabkan cukai inilah, kekacauan bermula dan seterusnya menjadi prolog kisah perjuangan Tok Janggut.

Isu utama yang lain adalah jihad. Sewaktu Perang Dunia Pertama tercetus, fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya. Dek tersepit dengan perjanjian Inggeris-Kelantan 1910, Kerajaan Kelantan dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu. Sultan pula telah membuat keputusan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniyah. Oleh sebab itu, di dalam karya ini ada disebut berulang kali bahawa Tok Janggut bukan menderhaka pada Sultan, tetapi demi berjihad menentang British.

Tentang persembahan monolog ini.

Ingin saya ingatkan, komen yang saya siarkan di sini adalah berdasarkan apa yang dapat saya ingat sahaj. Persembahan monolog tersebut tidak dirakam, jadi saya tidak dapat memberi komen dengan terperinci.

Apa kata, saya mula dari belakang?

Penamat monolog ini tragis. Babak terakhir menunjukkan Tok Janggut sudah mati di tali gantung dan 'moment' yang diwujudkan hanya selama 2-3 saat. Asalnya, mayat Tok Janggut diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka. Tragedi ini hanya disebut oleh Tok Janggut yang telah mati secara bercerita, tidak ditunjukkan di atas pentas.
Pada hemah saya, babak terakhir tersebut harus dilakukan mengikut sejarah asal dan tidak diubah - digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah. Mungkin agak sukar hendak melakukannya, tetapi teknik boleh difikirkan. Malah, 'moment' yang hendak diwujudkan itu akan menjadi lebih berkesan terhadap penonton.
Kenapa terlalu terikat dengan sejarah? Ini kerana cerita Tok Janggut ini adalah berdasarkan sejarah secara keseluruhannya, jadi jika ada sedikit yang diubah, itu mungkin akan mendatangkan pendapat yang mengatakan kita telah mengubah sejarah. Kesnya berlainan jika Tok Janggut ini diadaptasikan menjadi sebuah cerita yang lain. Mengubah elemen cerita sudah pasti tidak menjadi masalah.
Untuk babak tersebut, 'moment' yang senyap tanpa sebarang audio sudah cukup berkesan. Lagipun, hanya beberapa saat sahaja.

Adegan perang, pasukan Tok Janggut bertempur dengan tentera Inggeris di Kampung Dalam Pupoh. Dalam pertempuran itulah Tok Janggut terbunuh. Adegan tersebut ditunjukkan secara mati dibunuh bergilir-gilir, setiap seorang menggunakan senjata berlainan (parang, kapak, keris) bagi membezakan antara setiap watak. Teknik menggunakan jalur kain berwarna merah untuk menunjukkan darah terpancut keluar dilakukan dengan kemas. Dan akhir sekali ketika Tok Janggut dibunuh, dia sempat menyebut yang dia bukan penderhaka terhadap Sultan yang mana mampu memberi impak pada klimaks cerita tersebut. Tambahan, Dr Shark memegang kain kuning ketika saat Tok Janggut mati merupakan simbolik 'tercemarnya' kedaulatan raja dengan darah merah. Audio bagi babak pertempuran itu bagi saya perlu diteliti lagi kesesuaiannya dengan emosi babak tersebut.

Babak sebelum pertempuran, Sultan Muhammad IV bersama Penasihat British Langham-Carter dan Datuk Bentara Setia bagi saya adalah faktor-X dalam monolog ini. Stail yang saya istilahkan sebagai '3 dalam 1' itu cukup unik dan menarik. Baik dari segi lakonan mahupun rekaan kostumnya, babak ini adalah satu babak di mana perkataan 'WOW' akan terkeluar dari mulut penonton.
Dari segi rekaan kostum, Sultan Muhammad IV adalah yang lebih utama. Topeng separuh muka berwarna kuning, tengkolok Sultan dan vest kuning dikenakan. Manakala bagi watak Langham-Carter, lengan kostum sebelah kanan berwarna hitam dengan topeng berwarna putih. Bagi watak Datuk Bentara Setia pula, lengan sebelah kiri berwarna merah dengan topeng berwarna merah juga. Kedua-dua belah lengan ini kemudiaannya dililit dengan rantai berwarna merah sedikit bebas kepada tubuh Sultan. Permainan simbolik cukup baik di sini.
Namun begitu, permainan lengan bagi kedua-dua belah Langham-Carter dan Datuk Bentara Setia kurang. Adakalanya saya melihat siapakah yang sedang bercakap? Sultan atau Datuk Bentara Setia? Mungkin bagi watak Langham-Carter tidak bermasalah kerana dimainkan dengan loghat orang putih cakap Melayu. Dr Shark memainkan watak Datuk Bentara Setia dengan menukar nada suara tetapi ada ketikanya kurang konsisten.
Namun, babak ini tetap menjadi pilihan saya sebagai babak terbaik dalam monolog ini. Bukan hanya kerana kostum '3 dalam 1' yang menarik itu, tetapi permainan karaktor tiga watak berbeza.
Sebelum mengenakan kostum tersebut, saya rasa lebih baik jika kostum itu ditutup dengan kain putih bagi mengelakkan penonton paling tepi dapat melihat kostum yang disorok di belakang platform pintu berkain hitam itu.

Babak Tok Janggut berkempen menentang cukai. Permainan dalam babak ini juga menarik. Ketika Tok Janggut memanggil dan menjemput masuk Pegawai British (kalau tidak silap saya) dari pintu belakang dewan, penonton benar-benar telah 'tertipu' dan ada sesetengah yang menoleh ke belakang, sama ada benar-benar ada orang akan masuk duduk di depan atau pun tidak. Apa yang bagus di sini adalah lakonan Dr Shark yang benar-benar percaya apa yang disebutnya, lantas turut memberikan kepercayaan kepada penonton.
Dalam babak ini juga, ada adegan Tok Janggut hendak ditangkap oleh Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman dan Dr Shark hanya bermain secara 'mime' sewaktu pistol diacu oleh Sarjan tersebut. Apa yang kurang jelas adakah Tok Janggut membunuh Sarjan tersebut atau Latiff, Pegawai Jajahan Pasir Puteh. Kerana apa yang dapat dilihat, pistol diacu di belah kanan pentas (Sarjan) dan Tok Janggut menghunus keris di belah kiri pentas. Mungkin, bahagian ini dapat dijelaskan lagi.
Apa pun, pengakhir babak ini yang berbunyi "Dasar tali barut British!" cukup berkesan.

Babak sebelum itu, perbincangan bersama Ungku Besar Jeram dan seorang lagi watak yang (Tok Nik Bas, kalau tidak silap saya) tentang bagaimana hendak menentang penindasan British mengutip cukai. Mesyuarat itu dibuat berikutan kekacauan yang berlaku apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil keranahanya ada seorang petugas sahaja hingga menyukarkan orang kampung.
Tiga bangku kecil diletak di sudut paling kiri pentas (dari pandangan penonton) dan pemain menukar-nukar watak dengan mengenakan props yang berbeza pada setiap bangku tersebut. Props bagi Tok Janggut adalah serban yang dililit pada kopiah, bagi Ungku Besar adalah kain serban yang dilepaskan, dan bagi Tok Nik Bas adalah rokok daun. Transition Dr Shark menukar watak dilakukan dengan 'go-through' tanpa ada gap dialog atau menggelapkan pentas, malah menyebut dialog watak yang berikut sambil mengenakan props bagi watak yang berikut itu. Transition sebegini selalu saya lihat bagi mana-mana persembahan monolog. Ini dapat mengelakkan penonton tertunggu-tunggu untuk babak seterusnya.
Sebut tentang transition dan gap ini, baru saya teringat ada dua kali transition di mana pentas digelapkan dan Dr Shark ad-lib dalam gelap sewaktu mengenakan kostum '3 dalam 1' dan menanggalkannya semula yang mana jika kita fikir secara logik memang perlukan masa yang agak lama. Jadi, pada saya ad-lib adalah teknik yang sesuai bagi mengisi gap yang ada. Namun ia agak berisiko kerana kemungkinan ada kesilapan teknikal sewaktu pentas gelap dan akan menyebabkan pemain tidak dapat ad-lib. Maka, penonton tertunggu-tunggu dan sudah pasti sebagai pemain pentas, kita tidak mahu penonton tertunggu-tunggu. Walaupun hanya 10 saat, namun 10 saat tersebut boleh dirasakan begitu lama bagi penonton. Lebih-lebih lagi bila cerita itu sudah bergerak dengan laju ke kemuncak, minat dan semangat penonton tidak boleh disia-siakan dek gap yang membuatkan penonton tertunggu-tunggu. (Sebab itu lah, dalam teater Mahsuri yang lalu, keseluruhan persembahan membosankan. Dek banyak sangat gapnya walaupun diisi dengan menutup pentas dengan curtain, menggelapkan pentas dan memasang lagu pengisi. Tapi tetap bosan.)

Saya hampir terlupa tentang watak Pembaca Utusan. Pembaca Utusan akan memukul gendang ketika hendak membaca utusan dan selepas membacanya. Gendang itu jadi permainannya yang utama. Rasa seronok memukul gendang harus lebih ditunjukkan dan juga ketika membaca utusan, mengepit gendang di celah kelengkang. Selebihnya, tidak ada sangat yang dapat saya komen kerana watak Pembaca Utusan hanya keluar dua kali. Oh, mungkin mood dan emosi pada kali pertama dan kedua keluar boleh berbeza kerana utusan yang dibaca juga berbeza. Barangkali?

Babak sewaktu Tok Janggut mengajar budak-budak kampung mengaji Quran dan kemudian didatangi oleh orang-orang kampung. Babak ini yang saya rasa sesuai bila dilakonkan dengan humor berbanding babak-babak lain. Pada pandangan saya, adalah bagus bila penonton dapat bergelak ketawa habis-habisan pada awal cerita dan suspens pada klimaks cerita dan sedih dengan kematian Tok Janggut, pejuang agama dan bangsa. Saya sebagai penonton telah dapat merasa sebegitu, cuma kalau boleh Dr Shark dapat memberikan lebih lagi sewaktu Festival Teater Perak akan datang.

Intro monolog ini adalah syair. Saya rasa kurang sesuai. Jika hendak melambangkan kekuatan budaya Melayu di Kelantan, wayang kulit, mak yong atau menora boleh dipilih. Tetapi mungkin tidak relevan bila hanya dibuat di awal cerita dan hilang begitu saja. Jika ia dibuat untuk menceritakan Tok Janggut mungkin boleh dipertimbangkan. Tetapi masih kurang relevan bila cerita ini ditamatkan dengan Tok Janggut digantung dan pencerita tadi hilang begitu saja. Cerita boleh terus dimulakan dengan Tok Janggut memperkenalkan dirinya, tetapi saya rasa ia akan mengurangkan rempah dalam resipi monolog ini. Keseluruhan persembahan harus mencerminkan Kelantan; budayanya, rakyatnya, loghatnya, keagamaannya dan ini semua akan melengkapkan cerita Tok Janggut sebagai satu pakej teater monolog yang berpotensi tinggi.

Saya rasa sudah cukup saya memberi komen yang panjang lebar di sini. Secara keseluruhannya, pementasan pada malam pertama tempoh hari lebih bertenaga, beremosi dan 'enjoyable' berbanding malam kedua. Loghat Kelantan Dr Shark juga perlu lebih diperbaiki dan dihalusi setiap patah perkataan. Ada sesekali Dr Shark menggunakan perkataan yang bukan disebut oleh orang Kelantan. Mungkin boleh disemak satu persatu perkataan yang tidak tepat. Namun, sebutan masih perlu dijaga supaya dapat didengari dengan jelas.

Apa pun, saya mengharapkan persembahan yang lebih mantap daripada Dr Shark pada Festival Teater Perak dalam monolog Tok Janggut pada 31 Mei 2009 akan datang. InsyaAllah, saya akan hadir ke pementasan tersebut jika tiada aral melintang.

Isnin, Mei 11, 2009

Unity = 1

Unity = 1

Jebat.

Mesti Hatta Azad Khan (HAK) kembang hidungnya. Tiap kali festival teater, dia punya Jebat pasti ada.

Unity = 1

Jebat.

Bagus sangat kah HAK punya Jebat? Mungkin ada Unity = 1. Cerita Jebat ini semua orang Melayu mesti tahu. Orang bukan Melayu pun tahu. Malah, ada yang berlakon jadi Hang Tuah (kalau kau tahu siapa yang aku maksudkan).

Ambil satu contoh babak. Demonstrasi. Atau tunjuk perasaan seperti yang disebutkan dalam skrip. Dalam skrip tak ada sebut demonstrasi. Oh, pandai, pandai. Sebut tunjuk perasaan. Lebih berlapis-lapis maksudnya.

Demo. Pendemo iaitu orang kampung iaitu rakyat, meminta kebenaran Dato' untuk buat tunjuk perasaan. Baiknya rakyat, nak buat demo minta kebenaran dulu. Minta permisi dulu. Minta permit.

Permintaan pertama. Tak diterima. Runding lagi. Sampai akhirnya. Orang kampung (rakyat) buat demo tutup mulut, ikat tangan dan bawa sepanduk kosong. Nah, sekarang, tunjuk perasaan apa macam tu? Tunjuk perasaan dengan hati? Siapa yang boleh dengar suara hati?

Siapa yang bodoh? Rakyat, atau pemimpin (oh, atau aku perbetulkan, penguasa)?

Nah, baru satu babak. Banyak yang tersirat. Dari politik hinggalah ke agama. Sememangnya, semunya akan berkait dengan agama.

Unity = 1

Jebat.

Jebat boleh jadi ringan, boleh jadi berat malah sangat berat.
Jebat boleh jadi mudah, boleh jadi kompleks malah sangat kompleks.

Unity = 1

Jebat.

Menonton Jebat bukan sekadar ingin melihat watak Jebat menderhaka dan kemudian dibunuh. Bukan, bukan. Itu cerita lama-lama dulu pun dah ada.
Menonton Jebat karya HAK memerlukan kita (malah mengajak kita) berfikir dengan lebih banyak.
Tapi jangan ajak penonton fikir banyak sangat nanti tak terhibur pula.

Perlu seimbang. Lawak bodoh tidak harus ditokok tambah. Lawak pandai harus, barangkali.

Unity = 1

Saksi. Wangi Jadi Saksi. Jebat. Matinya Seorang Pahlawan. Dan banyak lagi yang aku tidak sebutkan.

Unity = 1

Jebat.

Makan Taik

Teh ais tak rasa teh, tak rasa susu, rasa ais
Nasi putih lembik, berketul-ketul
Ayam goreng kunyit bertulang-tulang isi sedikit
Tom yam daging yang masam dan masam

Hidangan yang macam taik
Oh patutlah sebelah tu ada parit

Semua nak bukak gerai
Semua nak niaga makanan
Semua nak niaga kuih-muih
Walaupun makanan macam taik

Oh tak lama lagi bulan Ramadan
Makan besarlah nampaknya kita ya, kata lalat-lalat dan kucing-kucing kurap

Khamis, Mei 07, 2009

Musim Derhaka

Aku tak pandai berlakon, mengarah, mengkritik, menulis.
Ada lagi orang yang pandai dan lebih layak.

Berikut hanya pandangan peribadi sebagai seorang penonton dan bekas pemegang watak Tuah dalam teater JEBAT ini.

Lagi sekali aku katakan, aku bukan sesiapa. Hanya seorang artist wannabe. Yang hanya harapan.

(Merendah diri gila babi. Maklumlah, sekarang musim selesema! Aku rasa aku perlu pakai inhaler)



Malam I
2 Mei 2009.

Babak pertama Pengamuk dan Tuah. Ada yang tak kena. Lebih-lebih lagi ketika Pengamuk menjemput Tuah ke istana untuk ditabalkan sebagai hulubalang. Ekspresi dan reaksi Tuah kurang.

Teknikal (pencahayaan) pada malam itu kurang kemas, terutamanya lampu profile yang perlu dikawal secara manual dari belakang pentas. Teknikal di control room pada aku telah melakukan kerja mereka dengan baik.

Posture dan gesture Anwar sebagai Dato Bendahara amat baik. Begitu juga dengan penghayatan watak, variation dialog, ekspresi muka serta reaksinya. Anwar adalah pelakon lelaki terbaik pada malam pertama ini. Begitu juga dengan Tasha. Pelakon wanita terbaik pada malam tersebut membawa watak Dang Wangi. Cuma perlu berhati-hati apabila ada sesetengah perkataan yang kurang jelas didengari. Aini sebagai peneraju utama teater ini kurang dari segi energi dan emosi, hanya baik ketika babak penghujung setelah Jebat mati. Adegan tersebut amat memberi kesan pada penonton. Aku sebagai penonton turut mengalirkan air mata.

Kebanyakan pelakon kurang memberikan perhatian terhadap punchline dialog masing-masing. Seperti contoh, Sultan ada menyebut 'Segera buangkan si Tuah' dan punchline 'buang' tidak ditekankan, hanya disebut begitu saja secara laju.

Jebat, ketika memanggil orang kampung untuk memberi habuan pada mereka tidak ada energi.

Koreografi Tuah sewaktu adegan seks (dayang-dayang disimbolikkan dengan kain-kain) sudah cantik, tetapi perlu disampaikan dengan lebih menarik lagi. Tuah perlu merasai sendiri seks dan tubuh dayang-dayang secara imaginari.

Orang Kaya (Daus) perlu berhati-hati dengan sebutan dialognya. Ada yang terlalu laju dan tidak dapat didengari.

Gerak tubuh Tuah harus lebih tegap lagi sebagai seorang pendekar. Karisma sudah ada. Suaranya pun sudah ada (cuma perlu lebih Melayu). Cuma perlu dilakonkan dengan lebih baik lagi.

Pencerita ketika babak Jebat hendak dibunuh perlu nampak lebih risau lagi.


Pelakon Lelaki Terbaik: Dato' Bendahara (Anwar)
Pelakon Wanita Terbaik: Dang Wangi (Tasha)


*************************


Malam II
3 Mei 2009.

Malam kedua, JEBAT lebih hebat. Perasaan menontonnya lain daripada semalam. Semalam bosan. Penonton yang datang pun ada cakap bosan.

Lakonan Fauzan sebagai doktor pada babak pertama adalah kekok. Aku tahu, idea dia (Jebat) menjadi doktor adalah idea minit terakhir.

Pencerita (Aini) pada malam ini lebih menyerlah serba-serbi.

Dang Wangi (Tasha) tidak perform seperti malam semalam.

Pengamuk (Nik) terlalu banyak memandang ke bawah. Mungkin itu gaya dia. Tapi penonton nak tengok muka dia. Pengamuk keluar mengamuk terlalu sekejap. Ibarat sekelip mata Pengamuk masuk, kemudian orang kampung terus masuk ke dalam pentas. Ia berlalu begitu saja.

Dalam babak Pengamuk dengan Tuah, Tuah boleh main lebih lagi dengan kapaknya itu. Kelihatan dia memegang kapak tersebut secara statik sampai habis babak.

Blocking sewaktu orang kampung meminta kebenaran Datuk untuk buat demo. Juga ada orang kampung yang 'rileks' (OFF character). Izzi, yang aku perasan.

Sultan tidak menjerit seperti semalam. Memvariasikan dialognya. Tetapi tidak cukup 'sultan' lagi.

Reaksi Tuah semasa berjalan dengan Pengamuk untuk pergi ditabalkan sebagai hulubalang adalah kurang. Seperti tiada perasaan.

Teknikal pada malam ini lebih baik.

Tuah OFF character sewaktu kain-kain yang dibuat main ada benang yang tersangkut. Totally OFF.

Daus sebagai Orang Kaya masih laju melontarkan dialognya.

Babak Jebat mengamuk dan membunuh orang kampung. Ada orang kampung yang menjerit terlalu dekat dengan mic menyebabkan kedengaran suaranya begitu kuat sekali. Kedengarannya sungguh awkward.

Seperti tahun 2007, babak Jebat-Tuah masih tidak berjaya memuaskan hati pengarah. Dalam babak tersebut juga, Jebat jadi lebih meleret malam ini berbanding semalam. Tetapi ada sesetengah point yang baik. Begitu juga dengan Tuah. Sekali lagi, seperti tahun 2007. Jebat dan Tuah dalam babak ini tidak konsisten.

Babak Jebat dibunuh tidak memberi kesan pada aku. Kejap sangat kot?

Dan akhirnya, setelah aku mendengar banyak perkataan KEMANUSIAAN yang disebut oleh Pencerita, aku terfikir untuk menggabungkan KERUSI dengan JEBAT. Jadilah KERUSI JEBAT.


Pelakon Lelaki Terbaik: Dato' Bendahara (Anwar)
Pelakon Wanita Terbaik: Pencerita (Aini)




ps: Eh, adakah aku terlupa nak komen Tok Janggut? Tidak, tidak. Tok Janggut mungkin akan dikomen di dalam satu entri yang lain.

Bila Jerung Berkata

Jerung: Jemput lah datang tengok teater

Aku 1: Ala, malam lah

Aku 2: Ala, lepas kerja nak kena ambil anak di sekolah

Aku 3: Ala, jauh lah

Aku 4: Ala, habis lewat sangat

Aku 5: (Bila buat di universiti) Ala, buat lah kat Ipoh

Aku 6: (Bila buat di Ipoh) Ala, buat lah kat universiti

Aku 7: Ala, hari tu cuti lah

Aku 8: (Kalau free) Mesti tak best kan

Aku 9: (Kalau ada tiket) Kenapa mahal sangat RM 5? Biasa RM 3 saja

Aku 10: (Bila kalah) Mesti tak best kan

Aku 11: (Bila menang) Ala, rugi lah tak tengok

Selasa, Mei 05, 2009

Selasa (Tak) Selesa

Selasa pada minggu ini. Satu titik kecil daripada diri aku telah berada betul-betul di bahagian bawah di pusat sebuah sfera.

Terjaga dari tidur mati pada bermulanya waktu pejabat. Pukul 8 pagi.
Masuk pejabat lewat satu jam setengah. Workstation diduduki staf baru dari Indonesia.
Sebagai trainee yang paling tidak diutamakan. Aku berpindah tempat buat kali ketiga.
Di workstation senior manager. Tetapi tiada apa yang boleh dibuat pagi itu kerana PC yang ada tiada kabel menghubungkan monitor dengan sistem unit. Kabel kena curi.
Sebagai trainee yang tidak begitu disedari akan kewujudannya. Aku keluar mencuri tulang dengan rasa sedikit bersalah. Aku masuk semula ke pejabat dan aku dapati sebuah komputer riba sudah disambungkan di tempat baru aku. Macam rezeki dari langit. Tetapi aku tahu itu realiti.

Kemudian ada seseorang mempertikaikan tentang split personality aku. Karakter aku sebagai orang teater dan karakter aku sebagai seorang yang low profile dan pendiam dipertikaikan. Dipertikaikannya, kenapa?

Aku mungkin seorang loser. Pendiam. Tak pandai bercakap. Dan memang aku dilahirkan sebegitu. Sejak dari kecil lagi aku begitu.
Aku mungkin seorang yang aktif di atas pentas. Dan pemalas di luar pentas.
Aku mungkin seorang loser. Tidak punya ramai kawan. Tidak pandai berkawan. Tidak pandai bersosial.
Aku mungkin seorang yang seni. Aku berjaya membuat orang pening membaca tulisan aku. Dan tulisan serta kata-kata aku hanya sekadar tulisan dan kata-kata. Tidak dapat dilisankan dengan baik.
Aku mungkin tidak dapat A untuk pelajaran aku. Aku mungkin seorang loser. Aku tidak dapat sebarang anugerah. Sebarang pengiktirafan. Aku tidak punya apa-apa.
Aku mungkin seorang loser.

Selesai waktu bekerja. Aku menjalani latihan teater di taman hadapan KLCC. Aku tidak selesa dari awal hari ini. Menjadikan aku tidak selesa sehingga pulang ke rumah.

Aku mungkin seorang loser. Tidak pandai berlakon. Tidak pandai bekerja.

Mungkin saja, aku seorang loser.

Tetapi sepertimana maksud mungkin itu, aku mungkin juga seorang yang cool.


HA HA! Tak akan Akin M. menjadi seorang loser!



ps: Aku masih malas hendak menulis reviu show Jebat dan Tok Janggut.