Khamis, Februari 24, 2011

PRA 37 - Berpuisi Grafiti dalam LIF 2 & The Check List - Episode 1

LIF 2
Sebuah installation-art-theatre oleh Akin Muhammad

Cuba bereksperimen menggabungkan konsep installation art ke dalam sebuah pementasan teater pendek, "Berpuisi Grafiti" memberi peluang kepada sesiapa sahaja pelakon atau bukan pelakon untuk meluahkan perasaan hati sama ada secara berpuisi dan mencontengnya pada dinding atau lebih pop lagi, menconteng dinding dan melukis grafiti dengan aerosol. Idea ini tercetus apabila aku melihat luahan perasaan anak-anak muda yang menconteng dinding lif di tempat kediaman aku dengan perkataan seperti "I Love You", "Babi",  "Bodoh", ejekan mak/bapa kawan yang tak disukai, dan banyak lagi.


THE CHECK LIST - Episode 1
Sebuah poor theatre oleh Akin Muhammad

The Check List ini teater khusus untuk dibuat di masjid / surau. Teater peringatan tentang rukun-rukun Islam dan reality check terhadap permasalahan pada zaman sekarang yang akhirnya menjurus kepada persoalan, apakah kita benar-benar seorang Muslim? Namun aku cuba sampaikannya secara tidak terlalu didaktik atau mengajar, sebaliknya dalam cara eksperimental dengan selitan cerita-cerita. Skrip sudah 90% siap. Jika hendak dibuat pun, aku tak mahu apa-apa bayaran. Cukup sekadar menjemput aku dan rakan-rakan aku untuk buat show ini sahaja di masjid, dan dapat diajak orang-orang kampung atau komuniti untuk hadir ke masjid menonton. The Check List - Episode 2 pula adalah checklist dan reality check terhadap rukun-rukun Iman. Episod-episod yang seterusnya pula akan tetap berkisar tentang rukun-rukun dan asas-asas dalam agama.


Selasa, Februari 22, 2011

PRA 36 - Di Mana Keadilan dalam Mahkamah Lorong Sam Pah Tong?

"Di Mana Keadilan dalam Mahkamah Lorong Sam Pah Tong?"
Sebuah ulasan esklusif pementasan teater karya dan arahan Dr.Shark
Oleh Akin Muhammad


Tronoh Theatre Shop (TTS), Universiti Teknologi PETRONAS (UTP) merupakan sebuah kumpulan yang sangat aktif dalam teater khususnya di Malaysia. Malah, jika hendak dibandingkan dengan kumpulan-kumpulan teater daripada universiti tempatan lain, tidak salah jika hendak dikatakan bahawa TTS adalah kumpulan teater yang paling aktif sekali di peringkat institut pengajian tinggi di Malaysia.

Pada 19 dan 20 Febuari 2011 yang lalu, Tronoh Theatre Shop (TTS) telah mempersembahkan sebuah pementasan teater berjudul "Mahkamah Lorong" bertempat di Dewan Serbaguna Universiti Teknologi PETRONAS (UTP). Teater ini juga telah dipentaskan di UiTM Merbok, Kedah pada 11 Febuari 2011 yang lalu dan telah mendapat respon balas yang sangat positif daripada penonton.

Sebelum persembahan teater Mahkamah Lorong ini bermula, para penonton disajikan dengan sebuah teater pendek dan sebuah persembahan mime sebagai pembuka tirai. Teater pendek berjudul "Kau Bawalah" karya SEFA mengisahkan tiga orang manusia yang masing-masing 'bertanding' (untuk mengejar perkara duniawi) di atas pentas (dunia) untuk menjadi manusia yang hebat dan terbaik, akan tetapi kerana terpedaya terhadap godaan duniawi (seperti kekayaan), mereka semua 'tewas' dan akhirnya menerima 'padah' (balasan Allah terhadap dosa dan kesilapan manusia). Namun begitu mesej yang cuba disampaikan ini telah diselindungkan melalui metafora serta perlambangan yang mana tidak semua penonton dapat memahaminya, khususnya penonton yang kurang memahami seni teater itu sendiri. Dari segi lakonan pula berada di tahap biasa sahaja, kecuali kredit harus diberikan kepada watak Nenek Tua yang dilakonkan oleh Syaida Hazira yang telah membawa wataknya dengan baik, lebih-lebih lagi itu merupakan lakonan pentas pertamanya.

Seterusnya penonton dihiburkan dengan sebuah persembahan mime secara 'dual' oleh Asyraf Maskan (Acab) dan Asyraf Nazmie (Ash). Sketsa mime bertemakan cinta dan manusia itu telah berjaya menarik minat para penonton yang terhibur dengan gelagat dan aksi Acab dan Ash. Apa yang dapat dilihat, persembahan mime yang masih jarang lagi di Malaysia ini membuka ruang kreativiti dan imaginasi apabila apa-apa sahaja boleh dilakonkan walaupun perbuatan itu tidak logik dek akal. Cerita yang diolah daripada sketsa mime popular ciptaan Ash sendiri berjudul 'Mencari Cinta' itu memaparkan kisah percintaan tragikomedi antara seorang lelaki dan perempuan, yang mana akhirnya, perempuan itu telah membunuh lelaki itu secara halus kerana hendak mencuri duit lelaki itu. Ini juga merupakan salah satu representasi terhadap situasi realiti aman sekarang. Moralnya, sudah tentu, jangan bercinta kerana hendakkan harta!

Tamatnya persembahan mime, teater Mahkamah Lorong membuka tirainya. Watak-watak haiwan seperti Gagak, Kucing, Kambing, Anjing, serta Kanggaru pun keluar. Berlatarbelakangkan lagu rancak 'Bangau Oh Bangau', watak-watak haiwan itu semua berjoget dengan gaya bebas dan ini merupakan satu langkah bijak bagi menarik 100% minat para penonton untuk menonton teater itu. Ia juga membantu para pelakon untuk mendapatkan langkah awal yang energetik bagi memastikan momentum persembahan itu dapat dikekalkan pada tahap tinggi sehingga tirai ditutup. Namun begitu, alangkah eloknya jika lagu Bangau Oh Bangau itu dapat diolah dan digubah supaya dapat dikaitkan dengan keseluruhan jalan cerita Mahkamah Lorong ini, bukan sekadar dimainkan kerana mahu penonton berseronok. Dan sudah tentu, akan bertambah elok lagi jika para pelakon sendiri yang menyanyikan lagu itu secara langsung. Sebaliknya, para pelakon hanya menyanyikan lagu itu secara miming, dan itu pun ada sesetengah pelakon yang tidak miming dengan betul. Nyanyian yang dapat didengar hanya daripada watak Kucing Kurap dan Gagak. Kurang harmoni - itu yang dapat dikatakan.

Tenaga dan mood rancak serta tinggi daripada babak permulaan tadi tidak digunakan dengan sebaiknya oleh watak Kucing Parsi yang dilakonkan oleh Farah. Kucing Parsi muncul dan sedang memeluk satu lembaga hitam yang membelakangi penonton, membuat penonton tertanya-tanya, siapakah gerangan lembaga hitam itu dan mengharap persoalan itu dapat dijawab di akhir pementasan ini. Ini merupakan satu lagi langkah bijak menarik dan mengekalkan minat penonton. Farah sebagai Kucing Parsi pula boleh memperbaiki lakonannya supaya lebih berkesan. Penggunaan tubuh haiwannya seolah-olah terbatas dek ruang platformnya yang kecil. Keseronokan dan kebanggaannya sebagai kucing kelas atasan dilihat kurang dan masih banyak ruang yang boleh diperbaiki seperti intonasi serta dinamik lakonannya yang dikira masih mendatar. Namun begitu, pujian harus diberikan kerana butir dialognya jelas dan lontaran suaranya baik bagi seorang pelakon teater wanita.

Cerita diteruskan dengan tampilnya seekor ayam betina, atau digelar 'Mak Ayam' oleh haiwan-haiwan yang lain. Watak Mak Ayam (simbolik kepada 'bapak / mak ayam' dalam realiti kehidupan) yang dilakonkan oleh Mira dikira sebagai berjaya dan berkesan. Lakonannya dikawal rapi dari setiap aspek penuturan dialog, olah tubuh serta emosi. Kesemua aspek penting lakonan teater telah ditunjukkan dengan sekata. Keriangan cerita digamitkan lagi dengan kemunculan watak Kucing Kurap (Ayie), Gagak (SEFA) dan Kambing (Nazrul). Keempat-empat watak haiwan yang mendiami Lorong Sam Pah Tong ini sering kali bertekak, bergurau senda ibarat sebuah keluarga haiwan yang bahagia walaupun masing-masing mempunyai ideologi tersendiri tentang hukum Tuhan serta halal-haram.

Dari segi lakonan pula, Kucing Kurap telah cuba sehabis baik menyerlahkan wataknya sebagai seekor kucing jantan. Kejantanan dan kecomelannya konsisten namun adakalanya penuturan dialognya kurang jelas dan sengaja dilebih-lebihkan pada dialog yang kurang sesuai. Gagak pula dilihat seperti sengaja melebih-lebihkan kesemuanya baik dari segi lontaran dan olahan vokal, gerak tubuh serta emosi. Mungkin sahaja ada motif disebalik pembawaan watak sebegitu yang dapat membantu menguatkan lagi penceritaan. Mungkin kerana perlebih-lebihan itu untuk menekankan pada penonton bahawa Gagak merupakan haiwan yang bersuara lantang dan jujur walaupun buruk dan hodoh. Namun, jika dilihat dari sudut dinamika persembahan, aras tenaga serta mood yang keterlaluan terhadap satu watak sahaja dilihat sebagai ketidakseimbangan watak-watak secaara keseluruhan. Watak yang melebih-lebih akan dilihat oleh penonton secara lebih, watak yang kurang menyerlah dilihat sebagai kurang. Keseimbangan daripada dinamik persembahan juga merupakan satu aspek penting bagi menilai mutu dan kualiti pementasan teater. Teater yang tiada dinamik akan menjadi monoton dan mendatar serta bosan, teater yang terlalu tinggi dan keterlaluan pula akan membuat penonton berasa kurang senang, contohnya, teater yang menjerit-jerit sahaja pelakonnya akan membuat penonton tidak senang duduk dan sakit telinga (dan hati). Yang paling elok dinamiknya adalah yang turun-naik tinggi-rendah yang sesuai dan bertepatan dengan kehendak babak.

Secara peribadi, watak Kambing lakonan Nazrul cukup memikat hati. Gayanya seperti pak lebai dibawakan dengan bersahaja. Lakonannya natural dan betul-betul dilihat sebagai seekor kambing yang sudah tua menjadikan wataknya itu disenangi dan digemari ramai. Tiada ciri-ciri pada diri sebenar Nazrul yang dapat dilihat. Berbanding dengan watak-watak lain, masih kedengaran atau kelihatan lagi ciri-ciri diri pelakon sebenar. Keunikan karakter dan kemampuan pelakon menjadi watak yang berlainan daripada dirinya sendiri adalah satu kejayaan tertinggi dalam lakonan pentas. Namun begitu, aku kurang senang apabila Kambing ada menyebut nama 'Dr.Shark' iaitu pengarah/penulis teater ini di dalam dialognya dengan harapan ia dapat menyuntik elemen lucu. Sejujurnya, ia tidak menjadi. Malah, penonton yang tidak kenal siapa Dr.Shark terpinga-pinga.

Ketegangan cerita bermula apabila Parsi dirogol dan dibunuh oleh Lembaga Hitam. Adegan ini kurang mengancam dan seharusnya boleh jadi lebih bagus dan berkesan. Mungkin adegan itu terlalu sekejap sehingga tidak dapat memberi rasa kepada penonton. Kesilapan teknikal adalah perkara biasa, oleh sebab itu berdasarkan pengalaman penulis sendiri, penonton tidak berapa gemar apabila terlalu banyak 'blackout' yang mengambil tempoh yang lama (lebih 15 saat). Ia mampu mengganggu 'mood' penonton.

Penulis amat memahami citarasa serta gaya Pengarah/Penulis teater ini yang gemar memainkan lagu hindustan di dalam pementasannya dan pelakon akan melakukan sedikit joget bagi memeriahkan suasana panggung. Cara ini digunapakai oleh kebanyakan pengarah bagi memastikan mood pelakon serta penonton dapat dinaikkan selari dengan perkembangan cerita. Keriangan haiwan-haiwan itu berjoget mengikut irama lagu hindustan terhenti apabila menemui bangkai Parsi di sekitar lorong itu.

Apabila Parsi dijumpai telah mati di Lorong Sam Pah Tong itu, Gagak telah dituduh dan ditangkap oleh Anjing Pengesan kerana membunuh Parsi. Anjing Pengesan yang dilakonkan oleh Ammar telah berjaya mencuit hati penulis secara jujur. Wataknya sebagai Anjing menjadi dan wataknya nampak 'animated' dan 'comical' (kartun). Kelakar, vokalnya juga jelas serta sesuai dengan watak Anjing itu. Reaksi spontannya sebagai Anjing juga harus dipuji. Watak Kanggaru sebagai Hakim Smith lakonan Timmy Ong sedikit menghampakan. Timmy tidak menghayati dan membawa wataknya dengan baik sebagai seekor Kanggaru Hakim yang juga 'corrupt'. Lakonannya mendatar dan tidak cukup bertenaga. Namun penulis difahamkan Timmy mengalami masalah kehilangan suara beberapa hari sebelum pementasan. Kesihatan dan keselamatan pelakon juga salah satu aspek yang perlu dijaga dan diambil berat oleh ahli-ahli produksi.

Babak persidangan di mahkamah adalah menarik. Namun begitu blocking agak kurang kemas. Masalah kekemasan blocking adalah biasa apabila ramai pelakon di atas pentas pada satu masa. Sebaiknya, blocking perlu diteliti, dirancang dan dikemaskan supaya adegan itu nampak lebih cantik. Namun apa yang paling menarik dalam babak persidangan ini adalah cara persidangan dijalankan secara 'comical', humor dan tidak serius. Apabila saksi yang disoal Hakim Kanggaru menyatakan bahawa Gagak bersalah membunuh Parsi, lagu sarkis dimainkan, haiwan-haiwan yang menjadi saksi dan juri semua berjoget keriangan sambil mendapat 'habuan' wang daripada Lembu si pak turut Hakim Kanggaru. Namun begitu aksi haiwan-haiwan itu mendapat habuan wang dan 'disuap' kurang jelas dipaparkan. Mungkin kerana blocking yang kurang kemas. Satu lagi yang menarik perhatian adalah eskpresi wajah Gagak apabila pasrah kerana telah dituduh bersalah membunuh Parsi. Sedang haiwan-haiwan lain berjoget keriangan Gagak dituduh bersalah, Gagak hanya mampu pasrah. Aksi dan eskpresi yang tepat!

Klimaks cerita ini berlaku apabila Gagak tidak puas hati dan merusuh serta menyerang haiwan-haiwan lain di dalam mahkamah lorong itu dengan ganas. Haiwan-haiwan yang lain ketakutan dan tiba-tiba semua haiwan itu mati ditembak (Oleh siapa? Itu persoalan yang penonton harus fikirkan) kecuali Mak Ayam yang sempat melarikan diri. Namun begitu, adegan ini dilihat kurang menjadi. Haiwan-haiwan itu tidak nampak seperti mati ditembak. Seolah-olah pelakon mahu adegan itu cepat habis.

Penamat teater ini menunjukkan Mak Ayam berada di sisi Lembaga Hitam menerima wang habuan daripada Lembaga Hitam. Mak Ayam berasa puas kerana Gagak telah dituduh bersalah membunuh Parsi. Penamat ini telah menjelaskan kepada penonton, siapa sebenarnya yang membunuh Parsi. Jadi, siapa sebenarnya yang telah membunuh Parsi? Apa buktinya Gagak membunuh Parsi? Apa buktinya Mak Ayam membunuh Parsi? Oh oh, nampaknya persoalan ini masih belum terungkai.. kerana penamat cerita ini sengaja membuatkan penonton tertanya-tanya dan berfikir, siapa sebenarnya membunuh Parsi? Apa buktinya? Dan.. adakah keadilan telah ditegakkan? Apakah kebenaran telah ditegakkan?

Tiada unsur kekaguman atau Faktor-X dalam teater ini. Faktor-X adalah sesuatu di atas pentas, sama ada adegan, aksi, set atau teknik yang boleh membuatkan penonton berasa kagum sewaktu menonton. Unsur kekaguman yang paling mudah dibuat adalah kekaguman set. Misalnya sebuah set kapal besar keluar dari tepi pentas atau koreografi gerak tari yang membuatkan penonton tidak kelip mata menontonnya. Namun di dalam teater Mahkamah Lorong ini, penulis tidak dapat mengenalpasti apa-apa yang dapat dikatakan sebagai unsur kekaguman.

Secara keseluruhan, para pelakon tidak cukup kebinatangannya, tidak cukup 'animated'. Mungkin pelakon kurang meneliti atau membuat kajian sendiri akan sifat-sifat haiwan yang sebenar bagi watak masing-masing. Keunikan setiap watak binatang harus diserlahkan bukan hanya sekadar pada kostum atau tatarias sahaja, tetapi yang lebih penting adalah sifat kebinatangannya. Emosi cerita ini juga kurang menyerlah. Penonton tidak dapat merasainya. Namun begitu, teater ini cukup untuk menghiburkan penonton.

Keseluruhannya, teater ini adalah teater yang politikal tetapi lebih menonjolkan dakwah Islamiah sebagai mesej utama cerita ini. Secara ringkasnya, penulis dapat menafsir beberapa lapisan maksud tersirat teater ini seperti berikut:

Lapisan #1 : Politik - Lembaga Hitam itu adalah seorang Pemimpin/Ketua dalam sesebuah pentadbiran negara yang mempunyai kuasa dan menggunakan wang ringgit bagi menutup segala kesalahan dirinya. Dengan adanya duit, dengan mudah dia dapat mengupah dan merasuah sesiapa sahaja yang berada dibawahnya untuk menutup kesalahannya itu dengan menuduh orang lain yang tidak bersalah. Pelbagai usaha mencipta dan mereka-reka bahan bukti serta cerita dapat dilakukan dengan duit. Saksi-saksi, juri-juri malah ketua hakim yang 'arif lagi bijaksana' itu pun boleh 'dibayar', 'disuap' dengan wang ringgit. CORRUPTION - adalah kata kuncinya.

Lapisan #2 : Agama - Dilema dan situasi umat Islam pada zaman sekarang. Khusus bagi umat Islam, perkara atau perbuatan yang sudah tahu haram tetapi masih dibuat kerana alasan-alasan yang dicipta sendiri bagi memenuhi kehendak nafsu sendiri. Mungkin kerana dek desakan hidup (digambarkan melalui watak Mak Ayam). Apabila hukum Tuhan tidak diambil peduli, malah dipertikai - sudah tentu dunia ini tidak akan aman. Malah, ahli-ahli agama sendiri pun ada yang turut sama melakukan kebatilan dan kezaliman (digambarkan melalui watak Kambing Lebai).

Lapisan #3 : Kemanusiaan - Allah menjadikan semua manusia sama tarafnya. Tiada manusia yang lebih tinggi taraf atau mulia daripada manusia yang lain. Semuanya sama di sisi Allah - hamba Allah yang wajib patuh dan taat pada perintah Allah. Akan tetapi tak ramai manusia yang menyedari akan hakikat itu. Bagi mereka, manusia jika kaya, berharta, ada pangkat, dianggap lebih baik dan mulia berbanding mereka yang miskin dan tidak punya apa-apa. Hal ini digambarkan melalui watak Parsi yang memandang rendah Kucing Kurap serta haiwan-haiwan yang lain di lorong itu (rakyat marhaen).

Ayat paling bermakna dan 'power' dalam teater ini: "Dunia ini tidak ada yang adil."-Mak Ayam



Rating Teater 'Mahkamah Lorong' oleh Tronoh Theatre Shop:

Keseluruhan - 7/10
Sinografi - 6/10
Lakonan - 6/10
Teknik - 4/10
Tatacahaya - 4/10
Tatabunyi - 5/10
Rekabentuk pentas - 6/10
Tatahias - 8/10
Penceritaan/Skrip - 9/10

Jumaat, Februari 18, 2011

PRA 35 - Istiqamah Teater

Bila aku melayari internet, mencari maklumat berkaitan dengan teater di sekitar Malaysia, aku terjumpa banyak juga blog-blog persatuan / kelab / kumpulan / syarikat teater tetapi kebanyakannya sudah tidak diselenggara dan dikemaskini, kerana kegiatan / aktiviti teater dalam kumpulan mereka sendiri sudah tidak aktif - tidak salah kalau aku cakap, sudah bubar.

Situasi ini bukannya baru. Di kalangan penggiat dan aktivis teater, mereka sudah tentu menyedari akan hakikat ini. Kumpulan teater yang sudah bubar / tak bergerak itu bukan sebab mereka tidak suka atau tidak ada passion dalam teater, akan tetapi mereka 'terpaksa' menurut kehendak dan desakan secara tak langsung daripada gaya hidup. Komitmen kerja merupakan satu antara sebab kebubaran. Selain itu juga, komitmen berkeluarga bila sudah berkahwin dan mempunyai anak. Dua faktor ini merupakan faktor utama kenapa kebanyakan kumpulan teater, nak tak nak, terpaksa menghadapi kebubaran.

Dan ini merupakan cabaran yang perlu dilalui oleh The Qum Actors. Pemilik tunggal merangkap pengasas bakal mendirikan rumah tangga tahun ini. Penolongnya (aku lah tu) pun sama. Mampukah kami berdua mengekalkan momentum TQA malah meningkatkannya lagi supaya TQA menjadi lebih kukuh dan stabil dari segi kewangan? (Dan juga pengurusan) Dari segi kewangan lah apa lagi. Kalau ada wang, boleh buat show macam-macam dah (sah-sah lah pelakon pun makin ramai yang tertarik nak turut serta dalam produksi kerana mengjangkakan habuan bayaran).

Ah, tak payah cakap fasal teater kalau nak terkenal, popular dan dapat bayaran yang tinggi. Kami mungkin boleh jadi artis (art) tapi kami bukan selebriti. Kami buat teater sebab kami rasa itu tanggungjawab dan amanah yang dikurniakan oleh Allah untuk berdakwah melalui seni. Kami cakap begini bukan bermakna kami tak buat teater yang tak Islami langsung, malah lebih bagus daripada itu kami buat teater Islami secara jelas, dan juga teater yang universal di mana mesej Islami pun ada, mesej yang umum pun ada.

Berbalik kepada persoalan asal tulisan ini, iaitu istiqamah dalam berteater. Jika semasa dalam TTS dulu aku dan rakan-rakan pentas yang lain selalu memperkatakan dan menekankan pentingnya komitmen dalam teater, dalam TQA, aku tekankan 'istiqamah dalam teater'. Namun aku rasa sekarang lebih baik, di dalam TQA, atau TTS pun boleh terapkan nanti, bahawa kita sebagai ahli dalam kumpulan teater ini tidak kira sama ada pelakon atau krew, perlu merasakan bahawa kita semua sebagai pendakwah. Jangan skeptikal dahulu. Pendakwah tidak semestinya perlu jadi macam ustaz atau ulama' atau ahli surau. Kita ada matlamat utama kita sendiri dalam berteater. Jadi kita sampaikan dakwah (yang bukan fasal hal agama sahaja, hal kemanusiaan dalam erti kata umum pun boleh) melalui medium dan bidang kita - pentas, dan teater.

Aktivis teater harus ada 'jiwa' atau 'roh' dalam teater itu sendiri dan juga di dalam agama. Pegangan agama setiap aktivis teater khususnya dalam The Qum Actors haruslah kukuh. Bila kita hendak pentaskan teater dengan mengikut batasan agama, tidak ada pengecualian atau special treatment terhadap hukum-hukum yang jelas nyata. Pertama, pelakon wanita dan lelaki yang bukan muhrim tidak boleh bersentuhan (hukumnya haram dan berdosa di sisi agama Islam). Pegang-pegang tangan ke, peluk-peluk ke ape ke.. Tiada alasan "Alah, lakonan semata-mata sahaja.. Bukan betul-betul pun..". Kedua, pelakon wanita harus menutup aurat dengan sempurna (pelakon lelaki pun sama). Ketiga, pergaulan antara lelaki dan wanita sewaktu pembikinan di belakang tabir harus mengikut batasan agama. Tiada peluk-peluk. Tiada minum-minum arak. Tiada pergi disko. Asas-asas ini harus dipegang dengan kukuh oleh aktivis teater yang ingin memperjuangkan seni teater demi agama Islam dan kerana Allah.

Aku kurang senang adanya sesetengah penggiat teater yang memperjuangkan seni teater dengan konsep fitrah atau Islami atau 'nampak Islami', akan tetapi asas-asas pegangan agama tidak kukuh. Jika hendak dibicarakan dengan lebih lanjut lagi, isi kandungan karya atau skrip teater itu sendiri juga seharusnya bertepatan dengan batasan agama, dan tidak melampaui batas.

Roh / jiwa dalam teater dan agama inilah yang seharusnya mendorong aktivis teater Islami untuk istiqamah dalam gerak kerja teater. Memang sukar dan mencabar bagi kita yang sibuk dengan kerja. Balik kerja sudah penat, waktu malam memang digunakan untuk berehat. Perlukan pengorbanan masa dan tenaga. Semangat pula kena kuat. Jika lemah semangat, mohon sahaja pada Allah beri kekuatan. Namun, ia harus bermula dari diri kita sendiri juga. Kita kena lawan sifat malas. Kita kena kuat semangat. Perjuangan teater kita bukan kosong tiada berisi atau sia-sia. Perjuangan teater kita berasas. Bukan hanya kerana bangsa, negara, seni atau budaya, tetapi lebih utama lagi, demi agama dan keranaNYA. Kita kena ingat selalu perkara ini.

Kesimpulannya, komitmen dalam teater, sama dengan istiqamah dalam teater (beribadah). The Qum Actors adalah ahli-ahli teater yang 'bangkit' memperjuangkan seni teater kerana Allah selepas berjaya keluar dari TTS yang merupakan training ground / platform awal sebelum keluar melihat kehidupan sebenar yang lebih mencabar.


p/s: Kalau TQA masih tak kukuh dalam masa setahun ini, aku akan cadangkan untuk mengambil dan melantik orang awam yang berkelayakan dan berminat untuk menguruskan hal ehwal pengurusan TQA sepenuh masa.

Khamis, Februari 17, 2011

PRA 34 - Khat

Tiba - tiba aku teringin nak menulis jawi - dan menulis khat. Seni khat Islam / kaligrafi ini pernah menjadi salah satu 'bidang' aku sewaktu aku di bangku sekolah dulu. Bila ada pertandingan tulisan khat / jawi cantik, aku akan jadi wakil sekolah. Tapi pencapaian aku dalam bidang seni khat ini tidak dapat mencapai tahap yang tinggi pun. Sebab aku tak belajar sangat dengan intensif. Ada juga lah ustaz dan ustazah yang ajar tapi itu pun sekali dua sahaja. Aku masih ingat ustaz di sekolah agama petang aku ada bagi satu buku panduan menulis khat. Itu sahajalah rujukan aku. Paling tinggi pencapaian aku pun bukan dalam pertandingan seni khat, tetapi pertandingan tulisan jawi cantik. Peringkat negeri. Aku soerang sahaja murid yang pergi sana. Ustazah Sufiah yang bawa. Entah betul ke tidak nama ustazah tu Sufiah, aku pun dah tak berapa ingat. Tak silap aku pergi sekolah di Kota Tinggi. Dapat juga lah nombor tiga. Bukanlah nak kata tulisan jawi cantik itu bukan khat, tetapi hanya menggunakan khat biasa sahaja iaitu khat nasakh. Lagipun, khat nasakh sahaja yang aku reti. Ada juga lah aku pernah cuba buat Khat Kufi dan Khat Ijazah, tapi macam tak menjadi saja...

Inilah gambaran tulisan khat nasakh. Diambil dari laman web ini: http://jenisjeniskhat.blogspot.com/


Mak aku pun bagi galakan pada aku. Alah, apa sahaja yang mak aku tak bagi galakan? Apa-apa yang elok yang aku buat mesti dia sokong punya. Yang tak elok tu tak payah lah cerita ya? Aku pun manusia. Mesti ada kesilapan. Tapi dari kesilapan itulah kita harus belajar.

Nak menulis khat kena ada pensel khat lah. Ustaz aku bagi aku pensel khat dari batang kayu resam.. atau orang panggil handam (bajet pandai kan, padahal baru saja lepas search kat Google kah kah). Lepas tu kena ada dakwat basah dalam botol tu. Itulah pensel khat pertama yang aku guna. Tapi masa tu aku rasa macam tak berapa best pakai handam tu. Jadi aku beli pen khat yang ada dijual di kedai. Dalam pertandingan pun aku guna pen tu saja. Budak lain semua banyak yang guna handam. Aku yang mengelat. Malas nak celup-celup.

Allah Maha Besar, baru sekarang aku sedar, kenapa aku ditemukan dan sedang berjalan melalui jalan seni ini.. sebab memang dari dulu lagi aku punya sisi dan minat pada seni. Kalau bab ni, aku nak salahkan sistem pendidikan dan persepi masyarakat. Boleh? Tak mengapalah, siapa aku nak salahkan sistem pendidikan dan nak ubah persepsi masyarakat?

Apa pun, aku bersyukur padaMu ya Allah, sebab aku diberikan kesempatan di muka bumi ini untuk merasai nikmat seni (dan memberi semangat seni ini).

Jadi lepas ni aku mungkin nak menulis khat semula. Selain meneruskan penulisan Jawi yang dah lama gila aku tak tulis Jawi (kasihan juga sebab ada sahaja yang tak reti baca atau tulis Jawi) jadi sesiapa yang  nak belajar Jawi nanti, aku boleh bagi tunjuk ajar secara percuma. Kalau ada yang berminat lah.



Selasa, Februari 15, 2011

PRA 33 - Sales Boy Blue

Sejak beberapa minggu yang lalu hingga sekarang, kawasan orang lalu-lalang di stesen LRT Masjid Jamek menjadi himpunan sekumpulan sales boy beruniform biru, menjual perkhidmatan jalur lebar - broaband Celcom. Apa yang aku kurang senang adalah gaya atau lagak budak-budak yang aku kira lepasan sekolah itu yang aku rasa kurang sesuai bagi menjual atau mempromosi sesebuah produk.

Cara budak-budak itu mudah. Menghulurkan sim card broadband kepada orang yang lalu-lalang tanpa berkata sepatah apa pun. Dan bila ada perempuan yang lalu, sales boy tersebut menggunakan taktik mengorat budak sekolah. Ada sekali aku perasan pegawai DBKL sedang bercakap dengan beberapa orang sales boy itu. Barangkali pegawai DBKL itu menegur akan gaya mereka membuat promosi sebegitu di tempat awam.

Sales boy yang ada di situ bukannya seorang dua, tetapi lebih kurang 10 orang di satu kawasan yang sama. Aku yakin, ada seorang atau dua 'kepala' yang melantik mereka menjadi sales boy dan membuat promosi di kawasan itu. Bukannya tidak boleh, tetapi bagi aku, cara tersebut kurang elok dan kurang menyenangkan orang awam. Mungkin kalau dua orang sahaja yang ada di situ dan cara mereka pula mesra pelanggan lebih elok.

Namun begitu, aku rasa, ia lebih baik daripada mengajak orang untuk masuk perniagaan MLM! Hah!


Isnin, Februari 14, 2011

PRA 32 - Nabi


Dengan nama Allah.


hari ini
benak jiwa ini tercuit
aku menangis

aku rindukan jiwa aku yang dahulu - yang lebih tenang
aku ingin menjadi seperti diri aku yang dahulu - yang lebih tenang

dunia ini cukup melalaikan

menangis menginsafi diri
mengingati mati

Ahad, Februari 13, 2011

PRA 31 - Kerja Teater Juga Suatu Ibadah, Bukan?

Alhamdulillah. Rasanya semakin hari aku menuju ke hari pernikahan aku, jiwa aku semakin hampir untuk lebih mendekati Allah. Sesungguhnya persediaan rohani sebegini adalah amat penting bagi aku yang ingin mendirikan rumah tangga menjadi suami dan bapa suatu hari nanti insyaAllah. Kebetulan pula khutbah Jumaat di masjid kampung aku waktu cuti hari tu berkenaan tanggungjawab orang lelaki sebagai pemimpin dan ketua keluarga. Dan yang terbaru hari tu di masjid tempat kediaman aku di KL, khutbahnya tentang Cinta. Memang masuk mood lah. Lagipun sememangnya khutbah Jumaat adalah peringatan kepada kita sebagai orang Islam. Tapi sayangnya masih ramai lagi yang tidak khusyuk mendengar khutbah sehingga ada sahaja yang tertidur. Aku doakan agar kita semua diberikan kekuatan yang lebih bersemangat dalam menjalani kehidupan beragama.

Sebut fasal pernikahan, dan bila merujuk judul tulisan ini, suka untuk aku berkongsi sebuah cerita peribadi aku. Macam biasalah, aku memang suka dan selalu menulis apa-apa fasal teater.

Aku pernah berniat untuk berhenti dari bidang seni teater buat selama-lamanya. Berlaku pada awal tahun 2009. Waktu itu The Qum Actors baru ditubuhkan. Dan sedang menjalani latihan untuk teater Miao Miao Sang Arnab untuk Festival Teater KL 2009. Tetapi aku tarik diri dari memegang watak playboy. Sempat juga lah berlatih dua kali. Sebab aku tak mahu menyusahkan Pacel, aku tarik diri awal-awal. Dan waktu itu aku sedang menjalani latihan industri di KLCC.

Tak ada siapa pun tahu kenapa aku tarik diri. Sudah tentu, ada sebabnya.

Sewaktu itu, aku memang seorang theatregoer yang tegar. Semua show teater yang ada di KL aku pergi tanpa mengambil kira perbelanjaan dan wang. Aku tidak kisah untuk belanjakan wang untuk tiket RM30, CD RM20, buku program RM10 hanya untuk sebuah pementasan sahaja. Dan bukan satu pementasan sahaja yang aku telah pergi menonton. Banyak. Tak terkira. Jadi aku boleh katakan, wang sara hidup pinjaman boleh ubah dan elaun praktikal itu banyak aku habiskan untuk teater sahaja.

Walaupun aku banyak belajar dan terdedah dengan pelbagai jenis gaya pementasan, pada satu masa, di dalam bas, aku bergaduh dengan tunang aku sekarang ini tentang perihal ini; iaitu tentang perangai aku yang terlalu boros dan banyak belanja terhadap teater sahaja. Kami gaduh dalam SMS sahaja sebab kalau gaduh depan-depan kami tak reti, sebab kami akan saling diam dan bermasam muka, sampai kami dua-dua menangis dan bermaafan lepas itu. Geli kan? Sila berhenti baca dan tutup browser anda sekarang.

Satu ayat yang tunang aku katakan pada aku dalam SMS berbunyi lebih kurang begini: "Kadang kala kita tak boleh terlalu ikutkan minat kita. Kita kena korbankan minat kita untuk hidup." Ayatnya itu terus mencengkam jiwa aku. Memang ada benarnya. Dan aku terasa bersalah. Waktu itu memang penuh dengan emosi. Aku berasa sedih kerana memang salah aku pun terlalu boros, tidak pandai urus kewangan. Kerana pergaduhan SMS itu penuh dengan emosi, aku lantas berniat untuk terus berhenti daripada bergiat dalam bidang seni teater ini, supaya wang aku tidak banyak dibelanjakan untuk teater sahaja.

Dan itu sebabnya, aku menarik diri daripada produksi itu. Dan Alhamdulillah, The Qum Actors berjaya mendapat tempat ketiga dengan Pelakon Harapan Lutfi Othman.

Peristiwa itu mengajar aku untuk menjadi seorang lelaki dan bakal suami dan bapa yang lebih baik. Aku menjadi sedar, yang aku perlu urus kewangan aku demi masa depan keluarga aku nanti. Pergaduhan kami biasanya tidak berlarutan dan berpanjangan. Kami memang jarang gaduh, dan bila gaduh pun, sekejap sahaja dah baik semula. Dan selepas peristiwa itu, aku memang dah kurang menonton teater di KL. Dan aku hanya mula terus bergiat aktif semula dalam teater selepas aku pulang dari latihan industri dan menyambung pengajian aku dalam tahun akhir.

Sekarang ini.. Alhamdulillah, aku bersyukur kerana aku sudah reti membuat bajet perbelanjaan bulanan. Sepanjang aku bekerjaya ini, belum pernah lagi aku tidak cukup wang. Dan lagi, aku akan berkahwin tak lama lagi, sudah tentu belanjawan aku kena cukup baik dan stabil. Aku bersyukur, aku ditemukan dengan bakal isteri aku yang kini, yang reti mengurus kewangan, reti menjaga diri dan keluarga, reti memasak, reti mengemas rumah, dan mempunyai latar belakang agama yang baik.

Aku berdoa pada Allah, semoga pernikahan kami nanti dirahmati dan semoga semua urusan berjalan lancar. Semoga kami dikurniakan kesihatan, keselamatan dan kesejahteraan. Tahun ini bakal mencatat sejarah di mana tiga orang ahli Tronoh Theatre Shop & The Qum Actors akan menamatkan zaman bujang dan melayari bahtera rumah tangga. InsyaAllah...

Kepada tunangku dan bakal isteriku... Terima kasih kerana memahami kerja seni teater aku dan terus menyokong minatku ini... Aku tahu, kamu dah buktikannya sewaktu kamu sanggup menemani aku pergi ke Pekan Frinjan Shah Alam tempoh hari, dan ke UTP untuk tengok show Bangsawan Tuah Hang Jebat, memandu kereta ke Taman Budaya KL untuk tengok teater yang sama Tuah Hang Jebat, menemani aku untuk ke majlis penghargaan TTS sewaktu konvokesyen aku tempoh hari.. Dan banyak sangat sokongan moral dan persefahaman kamu terhadap kerja teaterku...

Nurnajwa, terima kasih. Saya sayang kamu!


p/s: Ya, kerja teater juga suatu ibadah, jika benar-benar baik manfaat dan tujuannya, jika benar cara dan gayanya. Ya Allah.. terangkanlah dan bukakanlah sentiasa pintu hatiku dan rakan-rakan seperjuangan teaterku dalam melaksanakan kerja teater ini...