Rabu, Julai 29, 2009

Watak Idaman

Masa aku dengar debat
Masa aku dalam kelas dengar pensyarah mengajar
Ilham datang

Aku rasa aku tak pernah cakap pada sesiapa
betapa aku teringin nak guna cermin satah panjang sebagai salah satu objek yang subjektif
betapa aku teringin nak pecahkan tabung uji ke atas pentas
betapa aku teringin nak bagi watak split personality pada pelakun wanita
dan macam-macam lagi perihal pentas yang sering berlegar dalam fikiran

Watak idaman aku adalah apa yang aku selalu fikirkan

Biar aku bagi contoh-contoh satu bagi lelaki, satu perempuan:

Watak Tun yang dipegang oleh Hasnul Rahmat dalam filem KL Menjerit 1 (Bade Hj Azmi)
(Walaupun audiens Malaysia ramai yang tak suka dan tak kenal dia)

Watak Luna Lovegood dalam Harry Potter

Secara ringkas, watak yang insane tapi in a good way.
Dah aku memang suka kegilaan. Kan.

Watak yang aku tolak bulat-bulat adalah mak nyah. Ha ha. (Sorry, Dr.)

Cukup dengan idaman.

Tadi adalah malam pertama pencarian bakat-bakat baru.
Seperti biasa, berdasarkan rekod, jumlah yang hadir adalah mengikut puratanya.
Seramai 8 orang.
Masih ada dua malam lagi.
Kali ini punya audition lebih sistematik, rasanya.
Semoga semua berjalan lancar dan pelakun baru akan dapat merasa manis, masam, masin, pahit, pedas produksi besar Asylum di UTP (2 malam), Ipoh (2 malam), dan KL (2 malam).
Walaupun dah sejuta kali Asylum dipentaskan, tapi perasaannya tetap berbeza.
Ada Asylum yang GAGAL.
Ada Asylum yang MANTAP.
Ada Asylum yang SO-SO.
Ada Asylum yang TAK JADI.
Ada Asylum yang GILA MEMANG BETUL-BETUL GILA.
Lagipun pelakunnya bertukar ganti.
Mat Merah tiada dalam karya asal.
Jadi, terpulang pada tuan direktor nanti.

Aku ada tiga skrip 10 minit.
Lif, Bab I dan Nasi Lemak 10Sen.
Untuk tujuan show internal, aku sudah tolak keluar Lif.
Sedang pertimbangkan antara dua yang baki itu.
Atau, ada sesiapa mahu jadi direktor satu skrip aku itu?


Watak-watak:

BAB I
"Tidak diciptakan sesuatu kalau tidak ada maksud."
  1. Cikgu
  2. Burhan Amirul bin Imran (B.A.B.I)
  3. Nur Yatie Amani Muhamad Uzair Karim (N.Y.A.M.U.K)
  4. Vanida Imran Rosli Umar Shah (V.I.R.U.S)


NASI LEMAK 10SEN
"Adakah orang kaya lebih mulia daripada orang miskin? Dan, adakah orang miskin lebih mulia daripada orang kaya?"
  1. Pengemis
  2. Pengemis 2
  3. Orang Kaya(P)
  4. Kak Zee

Sekian.
Aku terima sebarang pendapat dan komen.

Selasa, Julai 28, 2009

Reaktor

RE AKTOR.

Hanya bayangkan sebuah reaktor. Kau, aktor, masuk dalam reaktor tu.
Atau hanya berdiri dekat dengan reaktor tu.

Okay.

Reaktor itu meletup.

Adakah kau, aktor, juga akan meletup?






Klu: Empathy.

Ha ha.

Ahad, Julai 26, 2009

Strok

http://www.bernama.com.my/bernama/v5/newsgeneral.php?id=428052

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0726&pub=Utusan_Malaysia&sec=Muka_Hadapan&pg=mh_04.htm

http://www.murai.com.my/article/default.asp?article_id=4529&c=1&s=1


Tidak. STROK, bukan tajuk teater. Tapi boleh saja buat kalau nak.

Jadi hari minggu ini aku nak berkongsi pengalaman sebenar misi aku yang bekerja dalam wad neuromedikal, yang menempatkan pesakit-pesakit kronik seperti strok, kes yang paling banyak berlaku.

Di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), pesakit dalam wad tersebut kebanyakkannya berbangsa Cina. Kenapa? Itu memerlukan KBKK. Kemahiran Berfikir Kritis & Kreatif, kalau kau orang masih ingat lagi.

Misi aku menjaga dan menguruskan pesakit yang tak mampu bergerak. Ada yang terganggu psikologi sebab dia tak boleh bergerak. Aku dengar saja pun dah boleh bayangkan bagaimana seseorang pesakit itu boleh meracau-racau dalam wad tengah-tengah malam buta.

Baru-baru ini, ada seorang pesakit strok Cina yang meminta hendak pergi tandas pada waktu tengah malam. Dan selepas itu pesakit itu berdiri di belakang misi aku dengan pandangan yang psiko. Namun, misi aku terus memarahi pesakit itu dan menyuruh untuk pergi ke katilnya.

Bila kita sakit, faktor psikologi adalah penting. Bila sudah sakit kronik macam tu kemudian tidak dapat mengawal psikologinya, boleh memudaratkan lagi kondisinya sehingga sampai satu tahap otak sudah tidak betul dan boleh jadi sawan juga. Neurologi, sudah pasti tentang saraf.

Untuk semua pembaca sekalian, adalah eloknya kita menjaga kesihatan kita dari segi pemakanan. Buat mereka yang selalu makan fast food, eloklah kiranya jika dikurangkan. Memang ajal maut itu di tangan Tuhan. Tetapi kita sebagai manusia perlu menjaga dan menggunakan nikmat tubuh badan ini sebaik mungkin.

Untuk semua artis pula, adalah eloknya kita munasabah diri kita. Adakah kita benar-benar berlakon mengikut cara yang dibenarkan? Kenapa, kenapa aku selalu persoalkan hal ini? Sebab momentum perlu dikekalkan.

Kalau artis yang sempat bertaubat sebelum mati, syukur.
Kalau yang mati sebelum sempat bertaubat...
Apa pun, bukan artis sahaja ya. Semua.

Selamat hari minggu!

Sabtu, Julai 25, 2009

"Kalau hidup manusia itu sentiasa indah dan lancar, apakah itu namanya SEBUAH kehidupan?"

Makin lama aku sudah tidak setegar dulu menulis dalam 3S ini.
Malah memang sudah pernah menghentikan operasinya.
Mungkin sudah kurang berjalan-jalan.
Sudah kurang singgah sana sini.
Jadi tiada apa sangat yang menarik untuk dikongsi bersama.
Sekarang hanya terperuk dalam ruang vakum.
Menjana idea tak waras.

Aku dilahirkan sebagai manusia yang memang tak banyak cakap.
Ikut kejadian aku.
Sewaktu kecil pula aku tidak berbual kosong dengan rakan-rakan sekelas.
Aku hanya bercakap bila perlu, bila belajar, bila menjawab soalan cikgu dan seumpamanya.
Selebihnya, aku berdiam diri.
Namun lumrah alam, ada yang tidak suka akan sifat aku ini.
Aku diejek. Dikatakan sebagai bisu. Dan banyak lagi cercaan yang menyakitkan hati.
Sehingga sampai tahap aku menyimpan dendam terhadap seorang budak perempuan yang memang hampir setiap hari mengejek dan memperlekehkan aku selama 6 tahun bersekolah rendah.
Namun bila makin dewasa, dendam itu sudah tidak kesumat. Malah ia sudah bertukar menjadi sebuah kenangan pahit dalam hidup aku.

Walaupun aku sebegitu, nampak tak berdaya, nampak lemah, nampak seperti seorang loser, tetapi aku bukan loser. Aku telah buktikan yang aku bukan loser. Aku berjaya menjadi satu-satunya murid yang berjaya mendapat keputusan cemerlang sepanjang sejarah sekolah itu.
Sebab itulah, karya aku, "Aku Bukan Loser" itu terilham daripada kisah hidup aku sendiri. (Tapi ceritanya fiksyen lah)

Perkara yang sama berlaku hinggalah sekarang.
Walaupun aku nampak loser dan seumpamanya, tetapi aku telah buktikan yang aku bukan loser.

"Kalau hidup manusia itu sentiasa indah dan lancar, apakah itu namanya SEBUAH kehidupan?"

Buat pembaca semua,
lagi sekali aku ingatkan,
tidak boleh kita menilai seseorang itu hanya berdasarkan luarannya.
Dan,
janganlah mengumpat orang lain.


ps: Sedang cuba berusaha mencari identiti teater tersendiri, tidak mahu terpengaruh dengan apa yang telah diserapkan selama 3 tahun yang lalu.

Rabu, Julai 22, 2009

Ekstra MMSA

Seingat aku

dulu

nak guna kerusi sebijik ja

pakai hitam dan putih saja

kosong tiada bunyi

tup tup

ada platform

ada kain latar

ada sofa

ada karpet

ada bunyi pembuka penutup dan ding dong




eh oh eh eh ada orang aswara laa

Singgah Sana Seni: Miao Miao Sang Arnab @ FTKL 09

Pada malam 21 Julai 2009 yang lalu, bermulalah show sulung The Qum Actors (TQA). Karya yang dibawa adalah Miao Miao Sang Arnab (MMSA) hasil tulisan Dr Shark.

Sebelum aku mulakan komen dan kritik, ada beberapa perkara yang menjadi pengaruh terhadap sudut pandangan tulisan ini, bahawasanya

  1. Aku juga merupakan salah seorang ahli The Qum Actors. Maaf kalau agak bias tulisan ini.
  2. Aku telah menarik diri daripada produksi MMSA ini atas beberapa sebab yang tak perlu dibebelkan atau dipersoalkan oleh orang lain. Berdiam diri lebih baik dalam hal ini supaya tidak menyakiti hati sesiapa. (Dan sebab itu orang yang banyak cakap selalu sakitkan hati aku, sering persoalkan kenapa aku diam, kenapa aku sombong dan seumpamanya dan ya, ini berbaur personal dan sindiran).
  3. Aku memang datang sebagai penonton semata-mata tetapi tulisan aku tetap akan terbias kerana kumpulan produksi adalah rakan-rakan TTS juga.


Show bermula tepat pukul 9 malam. Awal 4 minit mengikut jam aku.

Apa kata, aku komen secara keseluruhan terlebih dahulu secara ringkas?

Teater ini pada pandangan aku boleh dikatakan lucah dari segi skripnya sahaja, tetapi tidak dari segi lakonan. Tetapi itu pun bergantung kepada tafsiran dialog yang dapat ditangkap oleh penonton. Bagi aku, aku menafsirkan banyak dialognya sebagai lucah. Bagi aku ia tidak ada masalah kerana aku terbuka menerima karya-karya lucah. (Haha, berani punya statement) Selain itu, teater ini komikal. Mewujudkan kemanusiaan dalam haiwan. Ada bran?

Cue pertama sahaja sudah spoiled/kantoi. Nisa sebagai Ros (iaitu pencerita) tidak dengar cue dan terpaksa rushing untuk pergi ke kedudukannya sehingga melanggar Pacel & Koba yang sudah baring di tengah-tengah pentas. (Berdasarkan apa yang Nisa sendiri beritahu selepas show kalau salah, maaf.)
Followspot pula pada awalnya tidak begitu cantik dan kemas. Bila Nisa sudah habis dialognya, sewajarnya followspot terus OFF tanpa ada fading. Namun semakin lama followspot semakin baik kawalannya. Apa yang menjadi masalah adalah apabila followspot tidak ditutup secara terus, ada pelakon yang sudah nak bergerak ke point yang lain untuk adegan seterusnya dan ini tidak begitu kemas pada pandangan aku.

Nisa sebagai Ros adalah sama seperti Nisa sebagai watak-watak lain yang dipegang olehnya. Ada suatu masa dialognya dinyanyikan, tiada variasi. Aku difahamkan yang dia hanya menerima tawaran berlakon seminggu sebelum show sebenar. Dan mungkin juga, penambahan skrip Ros dilakukan dalam waktu yang sama.

Namun apa yang menarik adalah Ros memakai serba hitam dengan sapu tangannya berwarna merah. Hitam sebagai dosa. Merah sebagai dara yang telah dinodai. Ditambah lagi dengan backdrop kain hitam dan putih dan juga permainan Ros apabila meletakkan 'kemanusiaan' di tangan kanan dan 'kebinatangan' di tangan kiri. Satu perkara yang menarik lagi adalah lampu flourescent yang digunakan pada babak awal ketika Mat dijaga dari mimpi.

Karaktor Mat yang gila dan normal bagi aku sudah cukup berkesan. Namun pada pandangan peribadi aku, karaktor gilanya lebih menarik. (Mungkin aku memang suka watak orang gila atau mungkin sebab aku pun ada ciri-ciri orang gila). Watak Mat dipegang oleh Azmi Yaacob yang sudah banyak kali memegang watak yang sama sejak dari zaman kampus dahulu. Jadi, bagi aku tidak ada masalah langsung bagi dirinya memainkan watak itu.

Bagi watak Arnab pula, aku difahamkan bahawa itu adalah kali kedua buat Pacel memegang watak tersebut. Sememangnya watak ini adalah yang paling mencabar dalam teater ini (watak utama, kenalah mencabar kan). Stamina yang tinggi amat perlu kerana Arnab perlu beraksi lincah, hiper, riang, muda dari semua segi, lakonan, gerak tubuh, dialog dan aku rasa mungkin dia kurang sihat pada malam itu. Maklumlah sekarang ini musim selesema, batuk-batuk, demam. Aku pun batuk-batuk dan pening kepala sekarang ni. Dan sememangnya kesihatan boleh menjejaskan performance seorang pelakon. (Kalau dia berlakon jadi Azman yang sakit dalam teater Transit tu tak apa lah)

Pak Tam. Well well. Lutfi Othman yang terkenal dengan lakonan natural dan kaki ad-lib seperti biasa berjaya membawa watak 'kegemarannya' dengan baik dan berkesan. Macam mana nak berlakon dengan natural? Kena percaya apa yang kita sebut dalam dialog itu dan enjoy the lines. Tapi, aku sendiri pun bukan senang hendak capai tahap itu. Adakah perlu latihan intensif atau bakat semulajadi atau perkara yang lain?
Tidak ada apa sangat yang hendak dikomen tentang Pak Tam. Mungkin ada sekali sewaktu dengan Mat, ada sedikit kesilapan blocking. Itu pun kalau perasan lah.

Roy. Watak ini adalah watak yang seharusnya aku pegang sebelum menarik diri dahulu. Watak ini sedikit mudah. Tapi kalau tak kena gaya, tak jadi juga. Lakonan Roy pada malam itu aku kira banyak yang perlu diasah dan diperbaiki dari setiap segi. Menjadi playboy bukan hanya mengenakan pakaian semata-mata. Jiwa playboy perlu dicari dan dirasai. (Ini yang aku risau ni... Aku dah ada calon bini. Nasib baik hari tu aku kawal diri. Huhu. Hanya Allah yang tahu kenapa aku betul-betul tak nak berlakon jadi playboy ni.)
Apa pun, kalau aku jadi playboy aku tidak mahu nampak jahat. Aku mahu jadi playboy yang suka main dengan perempuan-perempuan.
Bahagian yang menarik sewaktu babak Roy dan Mat adalah apabila Roy mengeluarkan sapu tangan Ros berwarna merah itu. Mengingatkan penonton terhadap sapu tangan yang Ros (Nisa) dari awal cerita ini.

Satu perkara yang aku tidak suka apabila ada props yang ditinggalkan di atas pentas dan ia tidak digunakan lagi selepas itu. Roy telah meninggalkan coklat yang diberi kepada Mat di atas kerusi dan pada adegan seterusnya, Mat terpaksa mengalihkannya terlebih dahulu sebelum dapat duduk. Roy boleh saja mengambil kembali coklat tersebut sebelum keluar dari pentas. Itu saja.
Flicker sewaktu adegan Roy membelasah Mat tidak begitu cantik dan kemas. Lambat ON dan lambat OFF. Namun begitu, flicker sewaktu Arnab cuba menjadi manusia adalah cantik dan kemas. Sebut tentang babak klimaks itu, ia cukup berkesan bagi diri aku. (Walaupun tak sehebat penangan kematian Jebat. Haha).

Rasanya itu sahaja yang dapat aku komen di sini. Secara keseluruhannya memang mantap dan sebagai penonton, aku berpuas hati dan perjalanan pergi balik UTP-KL adalah satu perjalanan yang berbaloi. (RM30 habis wo, lari bajet persiapan perkahwinan aku haha)


Kredit:
Pacel, Ketua The Qum Actors, Pengarah MMSA, Arnab.
Kobar, Mat.
Lutfi, Pak Tam.
Saha, Roy.
Nisa, Ros.
Moorthi, Followspot.
Jijol, Lighting.

Isnin, Julai 20, 2009

akin.muhammad@e-go.my

jika dalam tivi ada e-toyol.com, aku pasti
dalam diri ada e-go.my (ego masing-masing)

lelaki sinonim dengan egonya
tipu kalau ada orang menyatakan dirinya tiada ego

salah satu ego yang paling perlu bagi seorang lelaki
adalah ego untuk mengaku dirinya sedih dan menangis

oleh sebab itu
apa kata aku ambil kesempatan kali ini untuk mengucapkan selamat tinggal

selamat tinggal
menara satu
selamat tinggal
blok D-14-11
selamat tinggal
bandar baru
selamat tinggal
istana budaya
selamat tinggal
panggung bandaraya
selamat tinggal
taman budaya
selamat tinggal
annexe central market
selamat tinggal
stor teater
selamat tinggal
matic
(terima kasih dan minta halal guna internet percuma)

selamat tinggal
pudu raya a.k.a the worst damned hell in malaysia
(dem. tunggu ada kereta lah baru boleh bye bye pudu raya!)

selamat tinggal
dan jumpa lagi


ps: panggung-panggung lain yang tidak tersenarai belum disinggah oleh aku

Ahad, Julai 12, 2009

Keranda

Entri ini sepatutnya sudah tersiar pada satu minggu yang lalu.


Latihan Industri (stail pakai set istilah IPTA ni) di PETRONAS sudah berakhir.
Terus, aku kena kemas barang-barang aku di KL untuk dibawa terus ke universiti.
Kemudian pulang dan berada di kampung selama seminggu.

Dengan sedikit 'ilmu' dan 'kuasa' yang ada, aku akan 'perlahankan' masa.
Maka satu minggu itu akan menjadi satu bulan untuk aku bercuti bersama keluarga.
Mustahil? Tidak.

Sains dan Matematik.
Muka hadapan akhbar.
Kembali kepada BM.

Merujuk entri BM: Bahasa Malaysia atau Bahasa Melayu.
Sudut pandangan aku menganggap.
Orang Melayu ramai yang tidak pakar dalam bahasa mereka sendiri.

Adakah M itu untuk Melayu?
Dan adakah M itu juga untuk Malas?
Maka adakah Melayu itu Malas?

Pernah dengar tentang roh Islam?
Darah yang mengalir dalam tubuh orang Islam?
Adakah darah hanya sel-sel?

Aku pernah menghidap penyakit anti-Melayu.
Aku anti drama Melayu, lagu Melayu, bahan bacaan Melayu.
Aku lebih mengagungkan Inggeris.

Namun jiwa yang unik ini kian membesar dan meningkat dewasa.
Jiwa yang memberontak disemarakkan lagi dengan jiwa orang muda.
Nyata, jiwa Inggeris tidak mampu menjajah dengan lebih lama.

Akan tetapi seperti merdekanya negara kita.
Tidak bermaksud seratus peratus merdeka.
Kerana minda masih dijajah oleh mereka yang belum merdeka.

Dengan sedikit 'ilmu' dan 'kuasa' yang ada, aku akan 'perlahankan' masa.
Maka satu minggu itu akan menjadi satu bulan untuk aku bercuti bersama keluarga.
Mustahil? Tidak.

Tidak diciptakan sesuatu kalau tiada maksud.

Itu slogan karya terbaru aku berjudul "Bab I" (disebut sebagai Bab Satu).
Karya "Lif" juga sedang diperbaiki.
Dalam masa yang sama cuba menyiapkan karya "Nasi Lemak Seposen" yang menjadi pilihan aku dari segi cerita.
Namun bila baca banyak banyak kali jadi macam tak best pula.
Macam...
...ada sesuatu yang tak kena.

Sudah agak lama aku berehat daripada bergiat dalam teater.
Sudah tiba masanya aku kembali.
Berkongsi pengalaman (kuning) yang diperoleh sewaktu berada di Kota Lumpur ini.

Kota Lumpur memang popular kerana sesak.
Sebab ia sesak adalah kerana ia popular.
Lalu populariti boleh aku sifatkan sebagai sesak.

Maka tidak perlulah terlalu mengejar populariti takut-takut diri sendiri yang tidak tahan sesak.
Takut-takut juga bila sudah sesak tidak dapat bernafas dengan betul dan tenang kembali.
Lantas mati.

Ke keranda.
Ke liang lahad.

Selasa, Julai 07, 2009

Khas: Cebisan Catatan Picisan

Belek-belek khazanah lama. Jumpa ini.


Entri ini khas. Keratan secebis nota catatan harian.

Khamis, Julai 02, 2009

BM: Bahasa Melayu atau Bahasa Malaysia?

Selepas ditanda oleh kawan saya, Saudara Fauzan 'Jebat' Nordin (saya rasa wajar saya jadikan 'Jebat' sebagai nama tengahnya), saya mengambil keputusan untuk menyahut cabaran beliau dengan cuba mengarang dan menjawab soalan-soalan yang diberikan dalam Bahasa Malaysia SAHAJA. Mudah? Nanti kita lihat pula rakan-rakan saya yang akan ditanda oleh saya untuk menyahut cabaran ini.

Saya sudah biasa menulis dalam Bahasa Malaysia jadi tidak menjadi masalah sangat. Namun begitu akibat sudah terlalu biasa menulis dalam Bahasa Malaysia, saya mengalami kesukaran untuk menulis dalam Bahasa Inggeris dengan baik seperti yang saya pernah tulis suatu masa dahulu. Tatabahasa entah ke mana, perbendaharaan kata entah ke mana, peribahasa entah ke mana, perumpamaan entah ke mana.

---

Sila gunakan Bahasa Malaysia sahaja :)

1. Bekas kekasih saya adalah :
Seorang perempuan (kena nyatakan jantina sebab sekarang ni homoseksual sudah berleluasa, jadi saya tidak mahu orang salah faham ha ha) yang saya kenal sewaktu di kem latihan khidmat negara pada awal tahun 2005. Dia cantik, kulitnya cerah, mukanya bersih tidak berjerawat, susuk tubuhnya kecil dan comel, memakai cermin mata, orang Kota Tinggi, dan punya latar belakang agama yang agak kukuh. Mungkin sebab itu dia tinggalkan saya sehingga saya menjadi separuh gila. Tetapi saya tahu, Tuhan menemukan kita dengan orang yang 'salah' terlebih dahulu sebelum bertemu dengan orang yang 'betul' untuk kita supaya kita mendapat pengajaran dalam hidup.

2. Saya sedang mendengar :
Bunyi kipas penyejuk komputer riba pejabat yang kuat ibarat kipas enjin kapal terbang berlatarbelakangkan bunyi deringan telefon di pejabat "trutt trutt trutt.. trutt trutt trutt..". Namun secara internalnya, saya sedang mendengar kata hati saya secara jujur.

3. Mungkin saya patut:
Bersederhana dalam bersosial. Kadang kala terlebih bersosial. Kadang kala terkurang. Mungkin saya patut bersederhana sepanjang masa. Ternyata, menjadi sederhana bukanlah semudah yang saya sangka.

4. Saya suka :
Memakai pakaitan hitam. Ia mewujudkan satu aura keyakinan pada diri saya sewaktu saya memakai pakaian hitam.

5.Sahabat-sahabat baik saya :
Ada beberapa. Memang sahabat baik sukar hendak dicari. Pada pandangan saya, apabila saya berasa selesa dan senang untuk berkongsi segala kisah suka duka hidup saya terhadap seseorang itu secara terbuka, maka dialah sahabat baik saya.

6.Saya tak faham :
Sesetengah manusia yang ada sebuku otak yang sangat berkuasa, tetapi tindakannya tidak logik, tidak masuk dek akal, pendek kata - bodoh. Contohnya, seorang pengarah di sebuah hospital menyuruh semua jururawat menukar kasut putih kepada kasut hitam, dan menyuruh semua jururawat menukar tudung biasa pakaian seragam daripada warna putih kepada tudung (Ariani, alah, yang si Ekin pakai tu) warna hijau.

7.Saya kehilangan :
Cahaya saya. Saya rasa saya perlu buka semula pintu putih yang menyimpan cahaya itu dan cuba menutup sedikit demi sedikit pintu hitam ini. Saya nampak cahaya itu. Tapi saya masih belum bergerak ke arahnya.

8.Ramai yang berkata :
Saya baik. Tetapi saya tidaklah sebegitu baik. Ternyata, pandangan luaran saja tidak cukup untuk membuat kesimpulan terhadap sifat dan sikap seseorang itu.

9.Makna nama saya :
Adalah nama seorang Nabi utusan Allah, Nabi Yusuff.

10.Cinta itu adalah:
Hakikat. Perkara yang dicipta oleh Tuhan untuk makhluk-makhlukNYA.

11.Di suatu tempat, seseorang sedang :
Bersedih kerana kehilangan ibunya yang tercinta. Seseorang lagi di tempat lain sedang berfoya-foya, alpa dan lalai. Seseorang lagi di atas pentas sedang berteater memanusiakan manusia sedang dirinya belum cukup manusia. Ah, ternyata hanya Tuhan saja yang Maha Mengetahui apa yang telah, sedang dan akan berlaku pada seseorang di dunia ini.

12.Saya akan cuba :
Menjadi seorang anak yang baik, suami yang baik, ayah yang baik dan manusia yang baik. Belum cuba, belum tahu. Kalau dah cuba, tak jadi-jadi juga itu saya tak tahu. (Haha)

13.Ayat SELAMANYA membawa maksud :
Sampai bila-bila. Tiada penghujung. Tiada noktah. Yang itu hanya tidak mustahil di alam akhirat sana.

14.Telefon bimbit saya :
Tidak mahal. Saya bukan dari golongan kaya untuk memiliki telefon bimbit canggih dan berkuasa tinggi. Tetapi bila sudah punya wang nanti saya mahu tukar kepada yang pelbagai fungsi dan guna juga. Kita tidak boleh ditinggalkan oleh teknologi. Takut-takut teknologi akan pergi jauh meninggalkan kita lantas kita ketinggalan dan mundur.

15.Bila saya terjaga dari tidur :
Saya rasa saya masih belum cukup tidur. Masih mengantuk. Jadi saya terus sambung tidur walaupun kadang-kala saya sedar bahawa manusia dijagakan dari tidur tiap malam kerana masih diberi peluang olehNYA untukNYA sehinggalah masa yang telah tercatat itu tiba. Sayangnya, manusia memang mudah lupa.

16.Saya paling meluat apabila :
Saya jarang meluat. Meluat ini pada orang lain atau pada benda atau perkara? Tidak pernah pula saya terfikir. Mungkin saya meluat menonton teater yang saja-saja dedah sana dedah sini.

17.Pesta/Parti adalah :
Sesuatu yang pasti menyeronokkan. Satu ruang untuk bersosial. Pesta bagi saya adalah positif. Parti pula bagi saya adalah sebaliknya. Saya tidak pernah buat parti atau pergi ke parti meskipun parti hari jadi. Bukan anti. Tapi tidak gemar. Apa pun, kedua-duanya boleh jadi positif dan negatif.

18.Haiwan yang paling comel yang saya pernah temui ialah :
Kucing lah. Apa lagi. Tidak pernah bela haiwan lain selain kucing. Kolot kah?

19.Peringkat umur yang paling menyeronokkan bagi saya ialah :
Umur 12-15 tahun. Waktu akil baligh. Waktu baru ada perasaan tengok tubuh wanita. Waktu baru ada perasaan malu bila bergaul dengan budak perempuan. Waktu suka-suka pada perempuan. Waktu itu saya suka seorang budak perempuan yang pandai. Tapi tak lawa pun.

20.Hari ini :
Saya akan bersedia untuk balik kampung pada hari esok.

21.Malam ini saya akan :
Bersama dengan isteri melalui teknologi telefon bimbit, seperti malam-malam kebiasaannya. Mengemas barang untuk pulang ke kampung. Bermain sudoku. Menonton filem-filem yang telah dimuat turun.

22.Esok pula saya akan :
Pergi pejabat seperti biasa. Dan pada pukul 8 malam saya akan menaiki bas ke Batu Pahat.

23.Saya betul-betul inginkan :
Sebuah rumah yang ibarat syurga. Syurga di dunia yang membawa kepada syurga sebenar di akhirat. Walaupun saya ada tafsiran kedua tentang 'syurga dunia' itu. Mungkin orang yang seangkatan dengan saya pun ada tafsiran kedua tersebut.

24.Ketika anda lihat wajah anda di hadapan cermin pagi ini :
Saya berasa biasa. Tiada apa-apa. Rambut tidak begitu kemas walaupun disikat rapi dengan gel rambut dengan kandungan seperti berikut: Air, VP/Methacrylamide/Vinyl Imidazole Copolymer, Polysorbate 20, Propylene Glycol, Triethanolamine, Panthenol, Carboner, Diazolidinyl Urea, Parfum, Trisodium Ethylenediamine Disuccinate, Sodium Methylparaben, Benzophenone-4, Sodium Ethylparaben, CI 60730 (Rasa macam dah langgar peraturan tag ni tapi peduli apa. Itu nama khas. Haha)

25.Pusat membeli-belah atau arked permainan :
Pusat membeli-belah. Kerana itu adalah tempat yang paling elok untuk pasangan bersiar-siar. Kalau pasangan bersiar-siar di tempat yang tak ramai orang, itu yang bahaya. Kalau mahu suasana romantis sekalipun, boleh pergi makan berdua di mana-mana restoran. Arked permainan pula adalah tempat yang sia-sia dan merugikan bagi orang yang tidak hebat bermain permainan arked. Apa pun, bermain permainan Daytona beramai-ramai sehingga 8 orang tetap sesuatu yang mengasyikkan.

26.Makanan Barat atau Jepun :
Makanan Barat. Tidak pernah rasa makanan Jepun. Halal kah?

27.Bilik yang terang atau gelap :
Bilik yang gelap, tetapi tidak terlalu gelap. Malap-malap, barangkali.

28.Makanan segera adalah :
Makanan yang saya tidak dibenarkan makan oleh jururawat peribadi saya. Tapi dia pun makan juga. Alahai.

29.Ayat terakhir yang anda katakan pada seseorang?
"Hm, OK." (Ayat biasa yang keluar dari mulut Bahagian 1 Akin M.)

30.Siapa yang anda nak Tag?
Permaisuri, Perempuan 1, Perempuan 2, Lelaki 1, Lelaki 2.



ps: Sewaktu SPM di sekolah dulu, aku takut aku akan gagal dalam subjek BM. Sebab aku pernah kurang ajar pada cikgu yang ajar BM dulu sehingga aku kena berdiri di luar kelas dan menjadi centre of attraction budak-budak kelas lain. Tapi, saham aku tetap stabil. Itulah untungnya menjadi pelajar contoh di sekolah. (Member sekolah lama dulu, boleh muntah sekarang!)