Jumaat, November 02, 2007

Suara Akin II - Episod 51 - Shhh... Rahsia!

Rahsia orang lain janganlah dibongkar.
Kasihan kat empunya rahsia.
Boleh jadi rahsia itu aibnya.
Boleh jadi bahan umpatan orang pula.
Boleh jadi pencetus sengketa ummah.
Rahsia disimpan, amanah dipegang.
Pecah amanah, mungkirlah janji.
Mungkir janji, munafiklah diri.

Kadangkala terlalu mudah buat mereka yang sudah terbiasa dengan komplikasi yang dipaparkan, sedang yang diwar-warkan pula hanya seperti kacang tanah.
Lebih mudah lagi apabila kacang tanah direbus.
Sedap dimakan jika rebusan betul dan kena cara.
Nasib kurang baik jika termakan yang rosak, yang busuk.

Baiklah, buat yang sedia ada mengetahui cara membaca petikan kefahaman dengan tepat, biarkan entri penuh rahsia ini punya rahsia hingga tidak terbendung lagi.
Saya tidak pasti atau yakin di luar sana, ramai yang mengharapkan sesuatu yang menguntungkan kehidupan mereka, tetapi apabila yang berlaku adalah sebaliknya, kekecewaan melanda secara tsunami.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit mutiara kata hikmah yang saya petik dari sebuah situs internet, suatu masa dahulu kala:

"Orang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, sampai bila-bilapun dia tidak akan menjadi orang yang berani."

Teringat pula saya selepas menonton filem Indonesia berjudul "Kiamat Sudah Dekat".
Filem ini agak lama juga tersimpan di dalam cakera keras komputer peribadi saya.
Cuma masanya sahaja tidak ada yang mengizinkan.
Apa pun, malam hari terakhir minggu kuliah di sini, saya berjaya menghabiskan terus hingga ke minit terakhir.
Seperti biasa saya suka berkomentar tentang sesebuah cerita.
Ya. Ia sememangnya hanya cerita.
Dan cerita itu direka.
Bukanlah bererti cerita itu rekaan semata-mata.
Kerana ada juga cerita yang diambil kisahnya dari kehidupan sebenar.
Walhal, cerita banyak yang mengisahkan tentang realiti kehidupan manusia sejagat.
Lihat sahaja drama-drama di televisyen.
Pelbagai nama diberikan khusus untuk slot-slot tertentu, khususnya pada waktu prima.

Kiamat Sudah Dekat membangkitkan isu agama Islam yang sudah tidak ada kaitan dengan gaya hidup masyarakat, padahal itu adalah amat salah.
Namun tema utama itu diserapkan pada tema cinta antara anak muda di mana apabila seorang anak muda yang hanya bercopkan Islam semata, jatuh cinta secara takdirnya pada seorang muslimah.
Muslimah juga berputik cinta dalam hatinya.
Namun bukan mudah hendak meraih tempat dalam hidup si muslimah.
Pelbagai syarat dikenakan oleh bapaknya kepada anak muda rocker.
Sudah pasti, syarat agama.
Sehinggalah syarat terakhir ilmu ikhlas yang sukar diukur oleh tanggapan manusia.
Namun apabila cinta itu tulus pada asalnya, keikhlasan sudah pasti tertanam sejak awal-awal, akhirnya cinta direstu, oleh keluarga, dan juga Pencipta dengan izinNYA.

Saya cukup tersentuh dengan babak anak muda rocker dan si muslimah di tempat berasingan bermonolog dan bermohon pada Tuhan, mohon dengan sangat (macam lagu hit single In-Saff pulak - "Mohon Dengan Sangat" kredit kepada Syafiee, Hafidz Gafa, Mekot, Aizad Faliq atas lagu tersebut) dan aksi menitis air mata yang turut membuatkan kelenjar air mata saya terangsang untuk mengeluarkan titisan jernih itu.
Terharu dan sebak dengan konfesi diri pada Pencipta, pada kekuasaanNYA.
Sesungguhnya diri ini khilaf yang banyak tidak diketahui.
Hanya taubat dan ampun yang dipinta bisa membersih segala dosa noda.
Mohonlah dengan sangat, apa sahaja yang baik di sisi Tuhan.
Semoga berkat dan rahmat Allah sentiasa di kurnia.
Bukan mudah sebuah filem mampu membuatkan saya menangis.

Saya bagi rating untuk filem ini secara keseluruhan: 8/10

Kiamat memang makin lama makin hampir.
Tetapi sejauh mana sudah kita bersedia untuk menghadapi kehidupan di hari-hari seterusnya?

Tiada ulasan:

Catat Ulasan