Ahad, Oktober 23, 2011

Satu Titik Plot Kehidupan


Alhamdulillah. Aku telah diijabkabulkan dan kini bergelar suami kepada pasangan pilihan aku.
Mungkin ada sedikit kejutan budaya tetapi ia tidak menjadi masalah jika telah bersedia mental dan fizikal.
Satu lagi titik pusing dalam kehidupan aku, satu lagi titik plot klimaks kehidupan. 
Tetapi tidak terus menuju kepada perleraian jalan cerita kehidupan manusia.
Perleraian cerita ini sudah pasti kematian.

Bagi yang mengenali diri aku, jemput hadir ke majlis perkahwinan aku:

Pada 12 NOVEMBER 2011
Alamat No. 49, Jalan Inai 5, Seksyen BB3, Bukit Beruntung, 48300 Rawang, Selangor.

Pada 19 NOVEMBER 2011
Alamat Pos 19, Kampung Parit Samijan, Parit Raja, 86400 Batu Pahat, Johor.


Selepas berkahwin, tanggungjawab dan komitmen aku semakin bertambah.
Tetapi itu tidak bermakna aku harus berhenti terus daripada berteater. Mungkin masa untuk teater akan berkurang. Tetapi aku masih boleh hasilkan karya aku dan pentaskannya. Kemungkinan besar aku hanya akan jadi penerbit atau pengurus sahaja.

Sudah tentu bila sudah berkahwin aku punya perancangan masa hadapan.
Perkembangan kerjaya dan keluarga adalah yang utama.

Rabu, Ogos 24, 2011

Ekslusif: theXpert

Entri kali ini ekslusif sedikit. Cadangnya aku tidak mahu menulis apa-apa langsung sampai aku selesai dengan perkahwinan aku nanti. Malah aku memang sedang berehat daripada melakukan aktiviti luar selain kerjaya. Fokus aku terhadap diri aku dan perkembangan diri aku.

Waktu aku di sekolah menengah dulu, aku ada 3 orang kawan baik: Adnan, Uzair dan Solehen. Kami menggelarkan diri kami atau geng kami ini sebagai "theXpert" atau singkatannya "TX". Aku tak ingat siapa punya idea bagi nama theXpert tu. theXpert tu sebenarnya melambangkan keyakinan diri kami yang tinggi yang setiap seorang daripada kami ada 'expertise' atau kepakaran tersendiri. Aku pun dah tak pasti apa 'kepakaran-kepakaran' tu. Biasalah, budak-budak baru nak meningkat naik. Syok sendiri saja ni.

Dari kiri: Uzair, Solehen, aku, Adnan

Dalam theXpert, kami ada nama samaran masing-masing. Nama gelaran aku adalah "drkines", Adnan pula "alien46", Uzair pula "whizkid" dan Solehen pula "zint". Tengok gaya lebih kepada nama nickname di mIRC dulu-dulu. Uzair dulu pengawas sekolah, manakala aku, Adnan dan Solehen pula pembimbing rakan sebaya.

Kami jugak ada beli baju-T yang sama. Baju tu aku masih ada dan kadang-kadang aku pakai buat basahan di kampung.

Sebenarnya aku terpanggil untuk menulis tentang kisah ini sebab tahun ini, 3 orang daripada ahli-ahli TX ini menamatkan zaman bujangnya.

Adnan baru sahaja berkahwin pada bulan Jun yang lalu bersama pasangan pilihannya sejak dari sekolah menengah lagi. Alhamdulillah jodoh mereka berdua sampai juga akhirnya. Adnan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari UTHM.

Uzair pula akan berkahwin pada bulan September ini, juga dengan pasangan pilihannya sejak dari sekolah menengah lagi. Alhamdulillah jodoh mereka berdua akan sampai juga akhirnya. Uzair pula graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik / Elektronik (ke Mekatronik? aku tak berapa pasti) dari UTHM.

Aku pula insyaAllah akan berkahwin pada bulan November ini, dengan pasangan pilihan aku yang aku kenal sejak tahun dua pembelajaran aku di UTP. Jadi sekarang memang sedang sibuk dengan persiapan kahwin.  Kami berharap semuanya akan berjalan dengan lancar.

Tahun ini, ketiga-tiga orang dalam gambar ni tidak teruna lagi

Jadi sekarang ini sedang menunggu berita gembira daripada Solehen, yang sekarang masih bercinta dengan pasangan pilihannya sejak dari sekolah. Semoga jodoh mereka akan sampai insyaAllah.

Kepada Adnan dan Uzair (walaupun kebarangkalian besar mereka tidak membaca entri blog ini), tahniah aku ucapkan dan semoga perkahwinan berkekalan hingga ke syurga.


Ahad, Julai 31, 2011

Berehat (Buat Satu Jangka Masa Yang Lama)

Bila kita semakin memiliki kehidupan yang lebih 'real' di 'real life', secara tanpa sedar dan automatis fokus kita tidak lagi pada kehidupan lain yang kurang 'real' atau memang tidak 'real', seperti kehidupan alam maya di internet.

Begitu jugalah yang berlaku kepada aku. Aku akan berhenti dan berehat daripada menulis dan mencatat sesuatu di sini buat satu jangka masa yang lama.

Dan itu adalah ayat terakhir aku sebelum Ramadan esok.
Sekiranya aku tidak muncul-muncul lagi, Salam Ramadan, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Selamat Hari Kemerdekaan, Selamat Hari Malaysia, Selamat Hari Deepavali, Selamat Hari Natal dan apa-apa sahaja hari yang punya makna.

Assalamualaikum.



Sabtu, Julai 02, 2011

PRA 51 - PARAH (PARIAH)

Mulai minggu lepas dan beberapa minggu akan datang, aku sangat sibuk dengan kerja di pejabat. Terpaksa kerja lebih masa hampir setiap hari. Bukan nak kata terpaksa. Tetapi sudah jadi tanggungjawab dan amanah untuk aku siapkan kerja dan tugasan yang diberi dalam masa yang ditetapkan. Kerjaya dalam industri minyak dan gas adalah sesuatu yang realistik dan boleh dirasai dengan perasaan yang jujur, bukan seperti ketika zaman belajar di universiti hanya bermain-main dan berimaginasi dengan teori-teori dan rumusan-rumusan (itu pun kalau belajar lah, ini ada sahaja budak-budak masuk universiti kejuruteraan bukannya belajar sangat tapi pergi main teater HA HA). 

Oleh sebab kerja jurutera memang pakai banyak otak logik, otak aku sudah tidak seimbang. Bila aku rasa begitu, aku harus cari rawatan otak yang aku sendiri gelarkan art treatment supaya aku dapat meneruskan hidup seharian aku dengan berfikiran waras. Dan art treatment aku adalah dengan pergi menonton teater. Dan malam semalam aku telah menonton teater PARAH, ditulis oleh Alfian Saat, diarahkan oleh Jo Kukathas dan dipersembahkan oleh The Instant Cafe Theatre Company di Annexe Gallery, Central Market. Disampaikan dalam Bahasa Malaysia dan teater ini pertama kali dipersembahkan di Drama Centre Black Box, Singapore pada 23-25 Jun 2011 yang lalu dengan judul yang lebih jujur iaitu PARIAH. Tetapi bila dipersembahkan di Malaysia, judulnya ditukar sedikit menjadi PARAH, tetapi tetap memberi maksud yang tepat dan sesuai dengan pengisian cerita.

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, satu perkataan untuk teater PARAH ini: GENIUS!

Cerita PARAH ini adalah sebuah 'mash-up' iaitu gabungan interpretasi penulis daripada filem terakhir Yasmin Ahmad "Talentime" dan juga novel kontroversi Abdullah Hussain "Interlok". Apa yang aku dapat lihat, penulis mengadaptasikan bentuk dan corak cerita daripada Talentime dan isi utamanya pula lebih menjurus kepada isi-isi daripada novel Interlok. Sebagaimana aku amat meminati mash-up seperti yang ditunjukkan dalam drama TV bersiri Glee, aku juga meminati mash-up dalam bentuk teater seperti PARAH ini. Menggabungkan dua buah karya yang mantap akan menghasilkan satu ledakan. Dan PARAH berjaya meledakkan jiwa, menghancurkan tembok perbezaan bangsa yang wujud dalam benak jiwa dan pemikiran masyarakat khususnya di Malaysia. Pendek kata, PARAH mampu mendidik penonton yang hadir supaya tidak menjadi rasis.

Elemen yang menghiburkan dan humor berjaya disuntik secara bersederhana dalam teater ini. Kerana aku percaya bahawa penulis mahu membawa sebuah karya yang berat dengan isu perkauman tetapi tidak mahu ianya jadi terlalu serius, atau tidak mahu ianya jadi terlalu menghiburkan sehingga penonton tidak dapat menggarap idea dan mesej yang harus diserap masuk ke dalam diri kerana asyik terhalang dengan gelak ketawa yang terbahak-bahak berserta air liur yang terpercik-percik. Kerana mahukan keringanan dalam menyampaikan sesuatu yang berat, watak-watak pelajar sekolah menengah ditonjolkan. Kebetulan juga, watak-watak berusia belasan tahun ini memberitahu secara tersirat tentang 'dilema'. Remaja meningkat dewasa sememangnya melalui banyak dilema dalam mencari hala tuju hidup apabila dewasa nanti. Begitu juga dengan isu perkauman di Malaysia ini, melalui banyak dilema sejak dari dahulu lagi dan masih mencari-cari hala tuju, apa akan terjadi pada masa hadapan? Apakah dilema perkauman ini akan terus berpanjangan hingga musnahnya dunia? Atau akan tiba masa di mana tiada lagi perbezaan taraf antara pelbagai bangsa?

Beberapa petikan yang menimbulkan sensitiviti perkauman di dalam novel Interlok telah disebut dan diulang sebut berkali-kali di dalam teater ini sebagai penekanan isi penting cerita ini. Dan sudah tentu, perkataan seperti 'keling' dan 'kasta pariah' ada disebut, tidak kurang juga perkataan 'cina babi'. Realiti kehidupan klise masyarakat seperti Melayu yang tak pandai berniaga dan malas belajar serta tidak pentingkan pendidikan; Cina yang pandai berniaga tetapi tamak harta, kedekut; dan India yang suka buat kacau juga ada disebutkan. Realiti kehidupan sebegini juga dipaparkan pada latarbelakang watak-watak yang telah mengembangkan cerita dan memasukkan emosi ke dalam setiap watak.

(Nak tulis lagi, tetapi aku harus bersiap pergi kerja pada hari Sabtu ini)

Akhir kata, PARAH adalah hasil karya yang jujur dan dipenuhi dengan rasa cinta pada manusia. Aku mengagumi kejujuran serta keberanian pengkarya teater PARAH ini. Pulang dari menonton teater PARAH ini aku telah belajar banyak perkara dan menambahkan lagi input sebagai rujukan aku untuk buat teater pada masa akan datang. Aku tidak mahu berhenti belajar teater. Kerana ilmu aku masih cetek dalam bidang ini. 


Ahad, Jun 26, 2011

Setahun Rasmi Bersama The Qum Actors

Catatan kali ini sedikit peribadi. Dan bercampur baur.

Walaupun The Qum Actors (TQA) sudah ditubuhkan sejak Mac 2009, tetapi TQA hanya mula aktif mulai Oktober 2010 melalui undangan pihak lain, dan baru berupaya menerbitkan produksi sendiri mulai tahun 2011 ini. Berikut adalah show yang telah TQA terlibat:

2009
Miao Miao Sang Arnab, FTKL 2009, Julai 2009
Miao Miao Sang Arnab, The Shark Attack Theatre Tour 2009, Oktober 2009

2010
Nasi Lemak 10 Sen, Pre-Show Bangsawan Tuah Hang Jebat, April 2010
Jiwa Merdeka, L.I.F & Mar-Day, Teater Anugerah Merdeka, Mei 2010
Nasi Lemak 10 Sen, Pre-Show Teater Tuah Hang Jebat, Jun 2010
Aerosoul, Pre-Show, TTS Bundle Show, Oktober 2010
Mime Ash, Lorong Seni Putrajaya, Oktober 2010
Mime Ash, Buy Nothing Day @ MAP, November 2010
Mime Ash, Pekan Frinjan Edisi 15, November 2010
Mime Ash, 1st Malaysian-African Art Tourism, December 2010
Mime In Action + Nasi Lemak 10 Sen Playreading, Art For Grabs X-Mas, December 2010
Mime In Action + Nasi Lemak 10 Sen Playreading, Rantai Art Festival GRAVITY, December 2010

2011
Ash In The Ashes (Promo), theplatform@klpac, Mac 2011
Ash In The Ashes - The Mime Show, Mac 2011 [Produksi pertama terbitan rasmi dan kendalian sendiri]
Qum: Kebangkitan (Mimos) Promo, Pekan Frinjan 21, Jun 2011
Qum: Kebangkitan (Mimos), Jun 2011 [Produksi kedua terbitan rasmi dan kendalian sendiri]


Apa yang aku boleh katakan, sepanjang setahun aku berada dan bekerja dalam The Qum Actors, aku berpeluang merasai cabaran dan halangan yang menguji mental dan fizikal aku. Cabaran utama yang perlu dihadapi oleh TQA (rasanya aku pernah tulis sedikit dulu):

Kekangan Masa
Lepasan TTS juga adalah lepasan UTP dan kebanyakannya ditawarkan peluang pekerjaan dalam industri minyak dan gas yang sangat bertentangan dengan bidang seni teater. Pekerjaan tetap itu menuntut masa setiap hari Isnin hingga Jumaat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang. Walaupun selepas bekerja ada sahaja masa untuk bergiat dalam teater (lebih-lebih lagi Sabtu dan Ahad) tetapi itu bergantung kepada tahap kecekalan dan kemahuan individu. Kebiasaannya, akan berasa letih dan penat dan hanya berehat sahaja di rumah pada waktu malam.

Kekangan Sumber Kewangan
Ini masalah klise dan aku tak nak ulas lanjut. Yang penting, salah satu strategi perancangan aku untuk TQA akan datang adalah untuk bekerja keras mendapatkan penajaan daripada pelbagai pihak.

Kekangan Tenaga Kerja (Pengurusan)
Buat masa sekarang memang TQA tak ada ramai ahli aktif yang tetap yang mahir dalam pengurusan produksi (ramai graduan TTS tetapi tidak semua masih berminat hendak teruskan aktiviti teater lebih-lebih lagi pengurusan produksi). Tapi masalah ini akan dapat diatasi pada masa akan datang dengan bertambahnya bilangan graduan dan alumni TTS dari UTP (itupun kalau ada yang mahir dalam pengurusan produksi). Masalah ini juga akan dapat diatasi nanti dengan menggunakan tenaga kerja dari mereka yang bukan ahli TTS/TQA (rasanya ramai yang minat nak berlakon sahaja, tidak ramai yang minat hendak mengurus produksi).


Jika ketiga-tiga cabaran utama ini dapat diatasi, insyaAllah, TQA akan terus bergerak dan melangkah maju setapak demi setapak. Aku yakin dan percaya bahawa untuk berjaya bukan melalui jalan mudah. Ini juga klise, dan aku tak nak ulas lanjut.

Apa-apa kegiatan seni teater, aku lebih utamakan kepentingan kumpulan, bukan kepentingan diri aku sendiri (rasanya aku pernah tulis juga suatu masa dahulu). Sepanjang semua projek The Qum Actors sebelum ini, aku tak pernah dapat satu sen pun (walaupun aku berhak dan aku pasti akan tuntut hak aku bila-bila masa sahaja nanti), dan aku tak kisah (buat masa sekarang lah). Sebab aku buat untuk kepentingan kumpulan, bukan untuk kepentingan diri sendiri (kalau untuk kepentingan sendiri pun tak jadi masalah, boleh bergerak secara solo dan sessionist, mana-mana yang kita mahu).

Penat.

Satu perkataan yang cukup sesuai untuk diri aku buat masa sekarang. Motivasi aku untuk terus berusaha menggerakkan TQA sekejap turun, sekejap naik. Projek di tempat kerja juga tengah ligat berjalan sekarang ini. Dua projek sekaligus. Dah lama tak menulis puisi. Dah lama tak menulis skrip. Dah makin jarang tengok teater. Hari perkahwinan pula semakin lama semakin hampir. Ilmu agama di dada tak cukup mantap lagi nak jadi suami mithali. Sakit kaki tetap tak pulih-pulih.

Aku malas. Malas hendak melayan kerenah atau perangai kebudak-budakan orang lain. Perangai yang tak matang. Berkata-kata memang mudah untuk nampak matang dan bijak. Tetapi yang membuktikan kematangan sebenar adalah tingkah laku. Bila aku sudah mula malas hendak melayan orang yang berperangai remeh-temeh, aku ambil jalan mudah. Abaikan dan tumpukan perhatian pada orang-orang yang lebih berfaedah untuk dilayan.

Aku hanya tersenyum, dan berdiam, dan mengabaikannya, apabila;

Seseorang itu berkata-kata tentang kesalahan yang kita buat.
Tetapi sekarang dia melakukan sendiri kesalahan itu.
Dan cuba mencari alasan dan kata-kata yang baik untuk menutup malu.

Aku hanya tersenyum, dan berdiam diri, dan mengabaikannya.

Kerana itu lebih baik.

Bukankah bersederhana dalam tutur kata dan tingkah laku itu lebih baik?

Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata, memang buruk padahnya.


Ahad, Jun 19, 2011

Tidak Perlu Ikut Imej Klise

Selesai sudah show kedua terbitan The Qum Actors, Qum: Kebangkitan (Mimos). Terima kasih dan penghargaan kepada pihak Dewan Bahasa dan Pustaka di atas kerjasama rasmi dan memberi peluang kepada kami untuk membuat persembahan di Stor Teater. Terima kasih kepada semua tenaga kerja produksi kali ini yang telah bertungkus lumus bekerja bagi memastikan perjalanan produksi berjalan dengan lancar.

Secara keseluruhannya, produksi ini berjaya mencapai sebahagian kecil daripada misi besar kami iaitu ingin meluaskan pengaruh dan penerimaan seni lakonan mime di samping ingin membuktikan bahawa seni adalah untuk semua, bukan untuk mereka yang hanya mempelajari seni tetapi tetap boleh dilakukan dan dinikmati oleh masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Seni seharusnya tidak dinampakkan sebagai sesuatu yang sukar difahami atau sesuatu yang membosankan. Seni perlu ada dalam setiap diri seorang manusia tidak kira siapa atau apa jenis manusia sekalipun.

Produksi kami kali ini mendapat kunjungan lebih kurang 50 orang penonton berbayar (tidak termasuk penonton tidak berbayar) selama 4 sesi persembahan yang kami adakan dengan purata seramai 12-13 orang pada setiap sesi persembahan. Kami bersyukur dengan peningkatan yang telah ditunjukkan jika dibandingkan dengan produksi pertama kami pada Mac yang lalu yang hanya mendapat kunjungan seramai 23 orang penonton berbayar selama 2 sesi persembahan.

Dari segi kutipan, kami berjaya menampung 80% daripada jumlah kos keseluruhan produksi ini. Walaupun kerugian, kami tetap berasa gembira kerana mendapat maklum balas tentang persembahan kami daripada penonton yang hadir. Sememangnya kami masih baru dalam bidang ini dan sudah pasti banyak lagi yang perlu kami perbaiki dan pelajari. Oleh sebab itu sebarang komen dan kritik amat kami hargai sebagai penanda aras tahap kualiti pementasan kami.

Terima kasih kepada semua yang sudi hadir menonton. Produksi Qum: Kebangkitan (Mimos) ini kemungkinan besar adalah produksi penuh kami yang terakhir bagi tahun 2011 ini. Kami merancang untuk mengukuhkan terlebih dahulu kedudukan kewangan kami dengan menerima jemputan daripada pihak luar untuk membuat persembahan berbayar (jika ada yang sudi). InsyaAllah, kami akan tampil dengan projek yang lebih baharu dan segar dari segi idea dan konsep pada tahun hadapan.

Secara peribadi pula, aku suka bekerja dalam produksi kali ini. Pihak DBP sangat membantu dan memberi kerjasama yang baik. Ahli-ahli produksi juga telah memberikan kerjasama yang baik. Tiada perangai kebudak-budakan atau kerenah yang remeh-temeh daripada ahli produksi. Semuanya telah matang dalam memainkan peranan dan memikul tanggungjawab masing-masing. Untuk attitude itu, aku ucapkan tahniah kepada semua ahli produksi.

Kepada rakan-rakan teater aku yang tidak dapat berpeluang untuk turut sama terlibat dalam produksi kali ini, jangan khuatir. Akan banyak lagi peluang yang ada pada masa akan datang. Ini kerana aku menjangkakan masa depan yang cerah dan peluang yang luas dalam The Qum Actors. Terkini, The Qum Actors baru sahaja mendapat peluang untuk mempertunjukkan persembahan mime sewaktu acara Shell Eco-Marathon Asia 2011 yang akan berlangsung pada 6 Julai 2011 nanti bertempat di Litar Antarabangsa Sepang. Alhamdulillah, semakin banyak pihak yang berminat dengan persembahan mime kami ini.

Walaupun aku menyatakan bahawa produksi Qum: Kebangkitan adalah produksi terakhir kami dalam tahun ini, namun aku sedang memikirkan untuk mempersembahkan sesuatu yang lebih bermanfaat dan lebih Islamik dalam bulan Ramadan ataupun Syawal nanti. Dan sudah tentu, seperti biasa, akan ada show hujung tahun. Kemungkinan besar semuanya akan dilakukan secara percuma.

Aku mungkin akan berhenti bergiat dalam bidang teater bila-bila masa sahaja. Kemungkinan itu ada. Tetapi kemungkinan besar, sudah tentu aku tak akan berhenti bergiat dalam teater. Dah genap setahun juga aku tidak berlakon atas pentas. Kali terakhir adalah pada tahun lepas 15-16 Jun 2010 sewaktu teater Tuah Hang Jebat di KL. Rasanya akan terus tidak berlakon. Ingin menumpukan perhatian dalam kerjaya kejuruteraan aku sehingga aku menjadi Manager dalam bidang Flow Assurance ataupun Process Engineering. Dan bila dah bekeluarga juga nanti aku mahu memimpin seluruh ahli keluarga aku ke arah hidup yang baik dan berjaya. Dan sudah tentu, berjaya itu subjektif kepada dunia dan Akhirat.



Rabu, Jun 08, 2011

Nota Penerbit, Pengurus Produksi dan Pengarah - Teater Kompilasi Qum: Kebangkitan (Mimos)


Dah lama aku tak catatkan sesuatu di sini. Selain sibuk dengan kerja di pejabat (jangan percaya) aku juga sibuk dengan persediaan show yang akan bermula Jumaat ini (yang ini betul). Walaupun sesi latihan tidaklah banyak, hanya setiap hujung minggu selama lebih kurang 6 minggu, tetapi aku tidak perlu risau kerana aku percaya pada kemampuan pelakon-pelakon aku. Semuanya sudah berpengalaman, dan semuanya sudah profesional dalam memegang tanggungjawab sebagai pelakon.

Aku masih tetap membawa karya Nasi Lemak 10 Sen aku yang telah banyak kali dipentaskan, tetapi kali ini tampil dengan pelbagai perubahan. Barisan pelakon aku adalah Din (Pengemis), Nik (Orang Kaya), Nisa (Kak Zee), Khairil (Pengemis 2), Hissam (Pelancong/Korus) dan Zizi (Pelancong/Korus). Suka untuk aku kongsi pendapat dan pandangan aku tentang para pelakon aku ini. Din seorang pelakon yang senang dibentuk kerana kebolehannya menutur dialog dengan intonasi yang bagus dan pelbagai serta tepat dengan mood. Nik pula walaupun dilihat sebagai typecast yang selalu membawa watak antagonis, tetapi dia seorang pelakon yang suka dengan watak yang diberikan padanya dan berusaha bersungguh-sungguh untuk membawa watak itu dengan terbaik dan dia juga ada disiplin pentas. Nisa pula seperti biasa, membawa dirinya sendiri ke dalam watak yang diberikan dan menjadikan watak itu seperti dirinya sendiri. Maksudnya watak Kak Zee itu jadi Nisa. Nisa perlu diberikan watak yang sesuai dengan dirinya sendiri, dan aku harap, watak Kak Zee itu memang sesuai dengan dirinya sendiri. Ha ha ha. Khairil pula seperti biasa, versatile dan boleh membawa apa-apa watak dengan baik. Din, Khairil, Nik dan Nisa semuanya terbuka untuk berkongsi idea dan pendapat mereka dengan aku dan aku juga senang untuk menerima kebanyakan idea mereka. Zizi pula seorang lagi pelakon yang bagus pada tahapnya yang tersendiri, tetapi untuk show Nasi Lemak 10 Sen ini, peranannya kecil dan sudah pasti, akan ada peluang untuk Zizi memegang peranan yang besar satu hari nanti. Hissam pula walaupun masih muda, tetapi kesungguhan yang telah ditunjukkan itu memang perlu dikagumi. Barisan pelakon aku ini semuanya bagus-bagus. Setiap seorang mempunyai kelebihan tersendiri dan aku harap, mereka akan berjaya mementaskan teater yang bagus nanti.

Oh, tidak lupa juga pada Production Assistant (P.A.) aku iaitu Am, yang telah banyak berjasa dalam membantu aku merealisasikan projek pementasan teater kali ini. Dia adalah P.A. terbaik yang pernah bekerja bersama dengan aku dan minta-minta dia akan dapat jadi P.A. aku lagi pada masa hadapan.

Show Nasi Lemak 10 Sen kali ini dipaparkan secara eksperimental. Jadi mungkin ada elemen yang gagal dan ada yang berjaya. Lumrah sebuah eksperimen begitulah. Nasi Lemak 10 Sen kali ini juga ditampilkan dalam watak manusia, bukannya binatang seperti yang telah diarahkan oleh Pacel pada suatu masa yang lalu. Selain itu, ada juga show monolog Pondok Tok Ayah, karya Dr.Shark yang telah dipentaskan di UTP dan ini merupakan pementasan kali pertama di Kuala Lumpur. Aku pun belum pernah tonton show monolog ini. Monolog ini akan dilakonkan oleh Anwar, seorang pelakon veteran yang berpengalaman dan diarahkan oleh Aini, seorang pelakon dan pengarah yang profesional. Selain itu juga, akan ada sebuah show mime selama 30 minit, versi singkat cerita Ash In The Ashes yang telah dipentaskan di Taman Budaya KL pada Mac yang lalu. Dilakonkan oleh Ash dan Acab, selama setengah jam, pelakon tidak akan mengeluarkan sepatah perkataan atau bunyi sekalipun, sebaliknya penonton yang akan mengeluarkan bunyi seperti gelak, teruja dan sebagainya.

Aku sengaja membawa tiga buah cerita sekaligus dalam satu sesi persembahan kerana aku mahu lebih ramai sedikit pelakon yang terlibat, jadi kebarangkalian penonton yang dijangka akan hadir juga lebih tinggi. Berdasarkan pengalaman aku sendiri juga, penonton akan datang apabila kawan mereka ada berlakon, dan jika pelakon yang aku pilih itu memang ramai kawan, semakin ramailah penonton yang akan hadir. Satu lagi bukti berdasarkan pengalaman aku sendiri juga, sewaktu Bangsawan Tuah Hang Jebat tempoh hari, jumlah tenaga produksi seramai 80 orang, dan ada macam-macam elemen persembahan, jadi memang masuk dek akal apabila pementasan itu pecah panggung dan memuatkan lebih kurang 700 orang penonton pada dua malam, tidak termasuk penonton yang kecewa kerana tiket sudah habis. Itu sahaja strategi bagi penggiat teater yang sukar memperoleh sumber kewangan dan bajet yang besar untuk mempromosikan teater mereka: buat show yang melibatkan ramai orang, pilih pelakon yang ramai kawan dan berpengaruh, insyaAllah, ramailah yang akan hadir menonton teater itu.

Satu lagi bukti berdasarkan pengalaman sendiri, show pertama terbitan TQA iaitu Ash In The Ashes tempoh hari tidak mendapat kunjungan ramai penonton kerana pelakon hanya 3 orang dan krew produksi hanya beberapa orang dan semuanya jenis tak ramai kawan yang suka tengok teater! HAHAHAHA!

Harga tiket aku tetapkan RM10 seorang, memikirkan tempat persembahan yang bukannya pentas auditorium tetapi sebuah black box. Lagipun kalau aku letak harga tiket tinggi, mesti tak ramai orang yang sudi nak datang tengok. Dan bagi sesiapa orang dewasa yang ada dan ingin membawa kanak-kanak kecil yang belum bersekolah atau 6 tahun dan ke bawah, harga tiket masuk adalah sebanyak RM5 sahaja. Semoga apa yang anda semua bayar untuk menonton teater ini berbaloi dengan apa yang anda tonton.

Apa pun, aku doakan agar perjalanan show ini lancar dan ucapkan terima kasih kepada semua yang telah bekerjasama dengan aku. Sedikit terkilan kerana tidak dapat bersama-sama pada hari pementasan kerana perlu menghadiri majlis perkahwinan di Batu Pahat.


Penerbit, Pengurus Produksi, Pengarah
Akin Muhammad

Selasa, Mei 17, 2011

PRA 50 - Angan-angan (Bukan) Hanya Angan-angan


Alhamdulillah kegiatan The Qum Actors buat masa sekarang baik-baik sahaja. Sekarang masih dalam fasa mengukuhkan tapak di Kuala Lumpur. Seperti lumrah perjalanan sebuah empayar, bermula daripada pembinaan, kemudian pembangunan, kemudian era kegemilangan dan akhirnya era kejatuhan. Dan dari era kejatuhan itu muncul generasi baru yang akan mengulangi semula kitaran perjalanan itu.

Sekarang ini kami sedang menjalani latihan bagi produksi teater kami yang kedua iaitu Qum: Kebangkitan (Mimos). Tajuk projek ini aku tetapkan sejajar dengan misi kami untuk memperkenalkan dan memperluaskan lagi seni lakonan mime ini. Bukan populariti yang dikejar, tetapi matlamat kami adalah untuk lebih ramai lagi khalayak yang mengenali seni mime yang sebenar ini, bukannya setakat tahu miming Teacher Shida ataupun silent comedy Jambu Maharaja Lawak.

Alhamdulillah The Qum Actors telah diberi peluang untuk menonjolkan sedikit persembahan mime di dalam rancangan Salih Yacob Show - I Follow yang akan ditayangkan di kaca TV di dalam siaran Astro Warna. Diharap dengan adanya peluang ini, lebih ramai orang ramai yang mengenali seni mime ini walaupun ianya bukannya sesuatu yang baru, tetapi ia jarang dilihat di Malaysia ini khususnya dan penggiatnya juga tidak seramai penggiat teater kontemporari yang lain.

Berbalik kepada tajuk asal entri ini, suka untuk aku berkongsi angan-angan yang ada dalam fikiran aku tentang masa depan dan hala tuju The Qum Actors. Aku berpendapat, bahawa The Qum Actors perlu ada perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang di dalam kegiatan produksinya. Tetapi seperti biasa, perancangan manusia tertakluk kepada ketentuan Allah Yang Maha Besar. Kita hanya merancang dan berusaha, semoga usaha kita nanti diberkati dan diredhai Allah.

Antara angan-angan aku dalam The Qum Actors:

  1. Menerbitkan produksi teater di semua panggung dan auditorium yang wujud di Kuala Lumpur, dari Taman Budaya KL (sudah ditakluki), ke Stor Teater DBP (sedang menakluki), ke Auditorium DBKL (akan datang), ke Annexe Gallery (sudah ditakluki), ke Panggung Bandaraya DBKL, Amfiteater MATIC, Mini Auditorium MATIC, Auditorium TAR MATIC, MAP Solaris (sudah ditempah tetapi menunggu duit sewa cukup), ke Auditorium DBP, ke mana-mana lagi auditorium yang ada dan sehinggalah, ke Lambang Sari, Istana Budaya dan akhirnya ke Panggung Sari, Istana Budaya.
  2. Menerbitkan produksi teater di luar kawasan Kuala Lumpur, dimulai dengan kawasan Shah Alam, Putrajaya, dan kawasan-kawasan yang mempunya khalayak penggemar teater yang berpotensi tinggi.
  3. Menerbitkan produksi teater di luar negara, dimulai dengan Singapura, Indonesia, Brunei dan yang berhampiran.
  4. Menerbitkan program rancangan TV yang berdasarkan lakonan mime.
  5. Menguruskan dan mengadakan bengkel-bengkel berasaskan teater kepada murid-murid sekolah dan juga untuk orang dewasa.
  6. Memiliki ruang pejabat sendiri yang boleh juga dijadikan studio atau black box. Akan ada juga beberapa pekerja tetap pejabat di bahagian pengurusan.
  7. (dan macam-macam lagi yang akan difikirkan)


Ini semua angan-angan yang bukan hanya sekadar angan-angan kosong. Mungkin aku akan sempat dan berjaya mencapai sekurang-kurangnya satu daripada senarai angan-angan di atas. Jika tidak sempat pun, aku harap akan ada penerus angan-angan ini nanti.


Rabu, Mei 04, 2011

PRA 48 - Kesempitan KL Sempit

Sebuah persembahan teater yang bagus adalah persembahan yang sampai dan berkesan kepada penonton. Ia dapat difahami, didengari dan dilihat dengan jelas oleh penonton di samping dapat menghiburkan dan memberi pengajaran atau peringatan. Dan teater KL Sempit yang telah berlangsung di Panggung Bandaraya tempoh hari adalah sebuah teater yang bagus.

Disampaikan dalam genre realism, teater KL Sempit yang dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersempena sambutan perayaan Hari Wilayah Persekutuan dan Hari Pekerja 2011 ini berjaya menyuntik pelbagai perasaan sedih dan gembira terhadap realiti kehidupan warga kota Kuala Lumpur pada zaman sekarang. Isi cerita teater ini juga tepat dan hala tuju penceritaan serta pengarahannya jujur serta lurus selari dengan judulnya "KL Sempit". KL Sempit berjaya menunjukkan kesempitan hidup kota dan warganya yang sempit di sebalik kemegahan dan kemajuan.

Seperti biasa, saya ingin mengulas tentang teater ini dari sudut persembahan dan juga interpretasi saya. Secara keseluruhannya, sentuhan sutradara terhadap teater ini 'menyegarkan' lagi genre realism yang masih lagi berada di dalam era kegemilangannya walaupun sekarang ini teater genre muzikal lebih mempengaruhi masyrakat ditambah pula dengan teater bergenre eksperimental yang semakin meningkat naik kembali. Terdapat beberapa elemen persembahan yang menarik, unik dan jarang dibuat oleh mana-mana penggiat teater sepanjang pengalaman saya.

Kebiasaannya, sebelum persembahan teater bermula, akan ada juruacara yang memberi sedikit kata-kata aluan termasuklah beberapa peraturan am panggung. Sepanjang pengalaman saya, tidak banyak juruacara pementasan teater yang betul-betul berkaliber dan mempunyai ciri-ciri seorang juruacara. Ada yang tutur katanya kurang jelas, ada yang tidak mempunyai intonasi juruacara yang menarik dan macam-macam lagi gaya. Tetapi juruacara bagi teater KL Sempit ini lain daripada yang lain. Juruacara yang saya sangkakan seorang DJ radio itu telah berjaya menjalinkan hubungan dua hala yang baik antara pihak produksi dan penonton (rapport) sebelum persembahan bermula. Peranan juruacara juga boleh dilihat penting dan berpengaruh dalam menyambut dan memberikan first impression (pandangan pertama) yang positif daripada penonton.

Sudah tentu perkara utama yang menjadi kayu ukur dalam persembahan drama pentas adalah lakonan. Teater realism menuntut lakonan yang realistik dan natural. Pendapat saya pula, di dalam teater realism, perlebih-lebihan (exaggerate) kurang digalakkan. Dalam teater KL Sempit ini, kelebihan lakonan realism adalah pada dua watak utama Alim (Raja Azrey) dan Ain (Maya Matahari) yang mana kedua-duanya sudah terkenal sebagai pelakon drama. Dan sudah tentu, lakonan dua watak utama ini sangat bagus dan berkesan. Tidak kurang juga watak Rashdan yang dimainkan oleh DJ Pool. Wataknya berjaya mencuit hati para penonton sebagai sidekick kepada Alim. Watak Rashdan ini juga berperanan penting bagi memastikan dinamik persembahan ini sewaktu adegan sedih, dia berjaya menukarkan suasana menjadi adegan gembira dan ia dapat dilihat dengan jelas sepanjang cerita berlangsung.

Watak Lela yang dilakonkan oleh Ieda Moin juga bagus, tetapi adakalanya sedikit melebih-lebih (exaggerate) dan mengharapkan ia akan menjadi lucu di mata penonton. Namun, dia tetap berjaya menjadi sidekick kepada Ain yang mendorong kepada perkembangan watak dan konflik di dalam cerita ini. Watak Cikgu Epy yang dimainkan oleh Izwan Pilus juga masih berada di tahap sederhana kerana itu merupakan lakonan pentasnya yang pertama. Watak Kak Kiah / Laila juga harus diberi perhatian kerana gelagat makciknya yang konsisten dan melucukan. Selebihnya, watak-watak yang lain masih dikira sederhana dari segi lakonan.

Ada satu adegan di mana radio dirumah Alim dibuka dan suara DJ radio dimainkan secara langsung oleh juruacara sebelum pementasan bermula tadi. Ini merupakan satu cara persembahan yang unik dan menarik yang saya belum pernah alami sebelum ini. Pujian harus diberikan terhadap cara penyampaian sebegini.

Konflik rumah tangga Alim dan Ain berjaya menyentuh hati saya. Raja Azrey dan Maya Matahari memang ada ikatan kimianya. Konfrontasi Alim dan Ain berjaya membuatkan seluruh isi panggung tersenyap. Momen senyap inilah yang sangat penting untuk penonton (dan juga pelakon) menghayati babak tersebut. Alim hanya statik dan terpaku mendengar luahan dan keluhan hati bekas isterinya terhadap kisah duka perkahwinan mereka dahulu. Semuanya kerana belas kasihan terhadap kehidupan dan masa hadapan anak perempuannya, Hani. Isu perceraian disebabkan pasangan berkahwin muda juga telah ditunjukkan dengan baik di dalam teater ini.

Jika babak yang saya sebutkan di atas adalah babak sedih pilihan saya, sudah tentu ada babak kelakar yang terbaik pilihan saya. Selepas babak konfrontasi Alim dan Aini tadi, Alim bertemu dengan Mak Cik Kiah / Laila si penjual kerepek yang dari awal lagi asyik keluar-masuk jual kerepek. (Ya, realitinya memang ada mak cik jual kerepek di tempat kediaman aku di KL). Alim dan Mak Cik berborak-borak dan berkenalan. Panggung menjadi hampir pecah dengan gelak tawa apabila lagu Jinbara - Kasihnya Laila dimainkan dan Alim menari dan miming lagu tersebut diiringi dengan Mak Cik Kiah / Laila yang turut sama 'headbanging' lagu rancak itu.

Sebenarnya banyak lagi adegan dan momen lucu yang telah berjaya dipertontonkan. Malah, tidak salah saya katakan lawak-lawak yang cuba disampaikan adalah lawak yang cerdik, dan lebih lucu berbanding lawak-lawak 'paksaan' seperti dalam rancangan Maharaja Lawak. Humor atau tidak sesuatu karya itu bukannya bergantung kepada skrip, tetapi kepada bagaimana ia disampaikan oleh pelakon. Dan saya rasakan, lawak jenaka juga perlu jujur dan ikhlas. Jika pelakon humor mengharapkan penonton akan gelak, maka ia tidak akan sama sekali menjadi.

Adegan kemuncak teater ini menghairankan saya pada mulanya. Asap mula keluar dengan banyaknya dari mesin asap. Lampu mula bertukar-tukar warna. Muzik latarbelakang 'Star Wars' dimainkan. Para pelakon pula bergerak secara slow-motion. Apakah semua ini? Adegan ini berjaya membuatkan saya mengerut dahi. Rupa-rupanya, watak cameo Orang Taman / Macha / Sofi yang akhirnya muncul sebagai Pekerja Penyembur Asap terpaksa bekerja lebih masa walaupun hari itu merupakan cuti hari pekerja. Nah, Penyembur Asap juga menghadapi kesempitan hidup.

Perkembangan cerita ini sangat bagus. Watak-wataknya juga seimbang. Kesempitan hidup setiap watak ditunjukkan dan dijalinkan dengan baik. Selain kesempitan hidup dan konflik suami isteri antara Alim dan Ain, kesempitan hidup dan konflik antara seorang ayah dan anak juga ditunjukkan melalui watak Pak Mat (Dato' Jalaludin Hassan) seorang pengawal keselamatan dan anaknya Sofia. Pak Mat tidak mampu membiayai bayaran tuisyen anaknya Sofia, jadi Sofia meminta bantuan Cikgu Epy untuk mengajarnya Bahasa Inggeris kerana Bahasa Inggeris memang penting untuk anak-anak muda berjaya di masa hadapan. Namun, hal ini dipandang serong oleh Pak Mat tanpa usul periksa menuduh Cikgu Epy cuba mengambil kesempatan ke atas anaknya. Konflik ini juga berjaya membuatkan isi panggung tersenyap. Nampaknya penonton yang hadir sedang berfikir akan kebenaran isu ini.

Walaupun penonton dihumban dengan banyak agedan lucu, terdapat mesej keagamaan tersirat yang cuba disampaikan melalui watak seorang Pak Cik yang setiap kali muncul sewaktu hendak pergi atau pulang dari surau, mengajak Alim, rakan-rakan serumah serta jiran rumahnya supaya ke surau untuk solat berjemaah. Sindiran sosial ini secara halus tapi kasar, secara lantang tapi senyap menyatakan realiti umat Islam di negara kita yang tidak ramai mahu pergi solat berjemaah di surau/masjid. Malah, ia juga realiti umat Islam yang sudah ramai tidak menunaikan kewajipan solat ini khususnya di kota metropolitan KL ini.

Dari segi penatacahayaan dan teknikal juga saya kira dilakukan dengan cukup baik dan bersesuaian dengan kehendak babak dan genre realism itu sendiri. Dari segi set pula, interior dan exterior dua rumah sewa direka dengan cukup kemas dan sekali lagi, bertepatan dengan ciri-ciri sebuah teater realism. Namun sudah tentu, kehendak realism atau naturalism yang 100% sukar hendak ditepati tetapi ianya boleh diperhalusi dengan penambahbaikan dan kerja-kerja lanjutan.

Apa yang saya cukup suka terhadap cerita KL Sempit ini adalah niat murni pengkarya untuk mengangkat realiti kesempitan hidup rakyat marhaen di sebuah kota yang cukup mencabar. Sedangkan rakyat yang bekerja pun bersusah-payah hendak memastikan mereka terus hidup, inikan pula mereka yang tiada kerja yang tetap, mereka yang mengemis dan seumpamanya. Sedangkan mereka yang kaya di KL ini terus makin kaya, dan yang miskin makin terus miskin. Jurang hidup antara yang kaya dan yang miskin semakin jauh. Sama ada permasalahan ini berpunca daripada sistem ekonomi atau politik, kita tidak dapat kenal pasti. Yang pasti, rakyat bawahan yang hidup susah-payah, rakyat golongan atasan hidup mewah.

Teater KL Sempit ini, jika dimasukkan watak berbangsa lain, pasti akan menjadi lebih bagus. Kerana KL adalah ibu negara dan di KL terdapat pelbagai bangsa yang menetap di dalamnya. Ibu kepada negara perlu dijaga dan dihormati oleh semua anak-anak negara supaya anak-anak negara tidak menderhaka kepada ibu negara sendiri. Persoalannya, dimanakah semangat kenegaraan kita? Adakah kita benar-benar cintakan negara kita? Dan mungkin, kerana itu sebelum pementasan bermula, penonton diminta berdiri dan menyanyikan lagu Negaraku.

Seperti biasa, rating teater KL Sempit:

Keseluruhan - 8/10
Sinografi - 8/10
Lakonan - 8/10
Teknik - 7/10
Tatacahaya - 7/10
Tatabunyi - 7/10
Rekabentuk pentas - 7/10
Tatarias - 7/10
Skrip/Pengolahan Cerita - 9/10


p/s: "Negaraku, negarakuku", ujar Namewee dalam slanga rapnya. Mungkin aku harus bekerjasama dengannya untuk menghasilkan filem Nasi Lemak 1 Juta. Nak ke dia?