Ahad, Oktober 31, 2010

PRA 12 - Menelusuri Lubang Arnab : Interpretasi Pada Persepsi & Situasi Nasi Lemak Seposen

Ada ubi kayu pada sebuah ruang
Ada tin perak berhampiran
Aku adalah orang
Aku juga adalah ubi kayu
Tin perak itu patung orang
Tin perak itu tiba-tiba bergolek bising
Walaupun ubi kayu tiada berbuat apa

Ubi kayu yang kayu 
yang tiada berbunyi kuat 
bila jatuh dilenyek
atau terpenyek dipijak 
kaki berlapik getah moden




Aku sudah mula buat rujukan untuk Nasi Lemak Seposen aku. Itu pun sebab aku tak ada mood nak edit skripnya. Tak ada mood nak edit skrip, mood untuk buat benda lain mesti ada. Asalnya aku saja-saja mahu cari hasil kekata kunci "nasi lemak seposen" atau "nasi lemak sepuluh sen" atau "nasi lemak 10 sen" tapi akhirnya ada elok juga aku jadikan hasil carian Google ini sebagai salah satu sumber rujukan aku untuk Nasi Lemak Seposen aku nanti.

Walaupun tajuk entri ini dah macam tajuk tesis, entri hanya sekadar sesuatu yang ringan. Aku akan paparkan imbasan skrin dalam hasil carian aku tersebut. Kesasihan pernyataan dalam hasil carian ini mungkin benar mungkin salah. Dan, jangan fikir negatif sangat. Fikiran negatif mendorong cas-cas negatif untuk melekat pada sel-sel otak lantas membuatkan kita seorang yang negatif. Orang yang negatif tak boleh dekat dengan orang yang negatif satu lagi. Nanti masing-masing berlawan. (Orang keras kepala / degil tak boleh duduk dekat dan borak-borak pasal sesuatu perkara yang provokatif nanti dua-dua bergaduh bertikam lidah bertekak bertengkar berkelahi seumpamanya.) Orang negatif akan dekat dan rapat dengan orang positif. Dan ini adalah salah satu teori aku dalam sesebuah hubungan suami isteri. Maaf jika tulisan aku sejak kebelakangan ni dan pada masa akan datang lebih berbunyi kepada sesorang lelaki yang mahu jadi suami yang mengahwini bakal isteri aku yang kini. Aku bangga dengan bakal isteri aku dan menyanjunginya sebagai seorang wanita yang tidak dapat tidak, memerlukan seorang lelaki yang tepat untuk dirinya sebagai teman hidup dunia akhirat.

Itu sedikit tentang negatif dan positif. Dan kali ini aku tidak merapu, memang ada kaitan dengan paparan gambar-gambar di bawah.
























Maka tidak mustahil adanya isi teater Nasi Lemak Seposen (NSL) berkenaan isu sosial dan ekonomi yang juga menjurus kepada hal politik walaupun ia hanya cerita tentang seorang pengemis. Pada masa hadapan, aku mahu ada seseorang yang tak masuk akal untuk buat kajian karya aku ini. Teater NSL boleh jadi lucah, boleh jadi sadis, boleh jadi serius, boleh jadi kelakar.


p/s: Ada tali nafsu setan di dalam ini.

Selasa, Oktober 26, 2010

Teaser Nasi Lemak Seposen

Secara tak rasminya, kerja produksi The Qum Actors sebagai persediaan untuk Festival Teater Kuala Lumpur 2011 akan datang sudah pun bermula. Ia masih tidak rasmi sebab masih belum diumumkan pun tentang festival teater tersebut. Tapi kalau tak ada festival teater sekalipun tahun depan, TQA tetap akan menjalankan sebuah produksi teater secara sendiri tanpa perlu menggunakan nama TTS untuk mendapatkan ruang show secara percuma.

Bagi pihak aku pula, aku sedang menyunting skrip Nasi Lemak Seposen yang aku akan pertaruhkan dalam festival itu. Ini pun atas saranan Dr.Shark sendiri. Mungkin juga ada ahli TQA yang kurang yakin untuk membawa skrip aku itu. Mungkin ia tidak mampu menghiburkan penonton sebagaimana karya-karya Dr.Shark. Mungkin juga ia sukar difahami kerana gaya tulisan aku sendiri yang tidak bagus dan tunggang langgang. Atau mungkin kerana ada yang takut-takut. Atau mungkin juga kerana 'gagalnya' Aerosoul tempoh hari? (Gagal kah? Aku pun tak menontonnya.) Ya, Aerosoul gagal jika ia hanya dibikin seperti melepaskan batuk di atas tangga.

Apa pun, Dr.Shark juga menyarankan aku sendiri yang mengarah karya aku sendiri. Dan mungkin itu yang lebih baik. Dan memang itu pun yang aku rasa lebih baik. Sudah tentu aku lebih memahami karya aku sendiri berbanding orang lain.

Skrip aku memang bosan lagi membosankan. Akan tetapi skrip yang menghiburkan pun boleh jadi bosan, dan skrip yang bosan boleh jadi menghiburkan. Kerana kerja teater ini menyeluruh. Daripada penulisan skrip, pembinaan karakter oleh pelakon, pengarahan dan sebagainya.

Untuk Nasi Lemak Seposen kali ini, aku tidak mahu buat kerja sambil lewa atau cincai-cincai. Skrip akan aku baca dan semak berkali-kali dan sunting berkali-kali sampai betul-betul cantik. Hanya selepas aku yakin dengan kekemasan karya aku itu, baru aku akan edarkannya pada Dr.Shark untuk suntingan terakhir dan seterusnya pada para pelakon untuk script reading.

Kerja pengarahan aku juga bermula selari dengan penulisan skrip. Apa-apa lintasan idea aku akan terus tulis dan masukkan dalam skrip. Aku juga sudah dapat gambaran konsep yang aku ingin bawa dalam Nasi Lemak Seposen. Berdasarkan konsep ini, baru aku yakin untuk teruskan kerja pengarahan aku secara terperinci dan membuat rujukan serta rangka pementasan dalam kepala otak mahupun kertas. Konsep Nasi Lemak Seposen setakat ini adalah experimentalism-suggestive-realism. Dan mungkin aku masih mahu teruskan idea sebelum ini untuk mewujudkan watak-watak dalam karakter binatang. Dalam Nasi Lemak Seposen ini juga aku mahu tampilkan stail KORUS dan teater-dalam-teater. Tidak dilupa juga cubaan untuk menampilkan scene grabber dan X-factor.

Aku mahukan watak jahat itu betul-betul jahat sampai orang tengok kau rasa macam nak bunuh kau. Dan aku mahu watak hina itu betul-betul nampak hina sampai kau tak sampai hati nak tengok kalau kau tak tolong apa-apa. Nah, ini sahaja yang akan aku pesan nanti sebaik selepas script reading dan sebermulanya latihan lakon.

Sebagai teaser, ingin aku senaraikan mukasurat pertama dan kedua skrip penuh Nasi Lemak Seposen aku.




Uploaded with ImageShack.us



Dan sekarang, aku perlu kira bajet untuk aku beli stok paracetamol.

Ahad, Oktober 24, 2010

PRA 11 - Puisi "Menara Debu Tinggi"

menara debu itu tinggi
debu yang keras diawet
langit tercakar luka oleh hujung telunjuk menara
ada yang terpacak sendiri
ada yang berkembar berpasangan berpegangan tangan
ada yang bergaduh bertengkar
ada yang berbaik-baik
masing-masing gah dengan ego
walau bertubi-tubi pesawat merempuh
tetap tegak terpacak
tidak seperti lalang ditiup angin lalu
kali ini kuku besi tidak cair pada suhu tiga ribu darjah sekalipun
kebal dan tidak lut dengan apa-apa serangan
kecuali air

debu tewas lemah dengan air
menara debu itu tinggi dan keras
hancur lebur musnah dan amat rendah
apabila air menyembur

tapi zaman itu air diperangi
air tulen sudah tiada lagi
yang ada hanya air palsu
makhluk-makhluk yang memakai air itu pun jadi palsu
dunia itu penuh dengan kepalsuan
dari rambut palsu hingga ke hidung palsu
mata palsu nampak pocong
mulut lidah palsu kena pancung
tangan palsu kena potong
kaki palsu kena potong

dari debu berterbangan ditiup angin lalu
lalang-lalang kini senyum kegembiraan

Rabu, Oktober 20, 2010

PRA X - PRA Perkahwinan, Bangsawan Shakespeare, Woyzeck Yang Sakit Jiwa, Piala Mad Haris II

Syukur.
Segala puji-pujian kepada Allah.

Ini Entri X.
Ini entri khas.

Chin Chin telah membelah rotan kepada sembilan ratus kerat lebih.
Tapi itu tidak cukup hebat kerana Allah sahaja Yang Maha Hebat.

Terima kasih kepada ahli keluarga.
Dan para tetamu yang dihormati yang hadir.

Pertunangan suatu persetujuan kedua belah pihak.
Juga bukti komitmen kedua belah pihak.

Sesama manusia mendoakan kebaikan.
Itu sahaja yang manusia mampu pohon pada Tuhan.
Doa.

Aku masih bujang.
Mungkin suku bujang.
Mungkin separuh bujang.
Mungkin tiga suku.. bujang.
Dan akhirnya aku tidak bujang.

Bujang lapok adalah satu isu sosial.
Lihat betapa geniusnya P.Ramlee dalam berkarya.
Isunya sampai sekarang masih relevan.
Kerana sekarang ini orang lelaki dilihat sebagai makin susah hendak kahwin.. kalau tak ada duit.
Duit dilihat sebagai penghalang utama.
Walaupun sebenarnya tidak.

Tiada tragedi Oktober.
Hanya lakaran memori manis nan indah pada langit kehidupan membiru.
Pra-perkahwinan.
Konvokesyen.
Ulang tahun ke-3 kami.
Dan diakhiri dengan tamatnya tempoh percubaan aku sebagai jurutera muda.
Semoga semuanya baik-baik belaka.
Buat semua manusia.

Bulan Oktober ini juga meriah dengan teater.
Inilah aku. Asyik-asyik teater.
Teater, teater, teater.
Tak jemu-jemu.

Kalau dah minat yang mendalam memang tak jemu.
Hari-hari mesti ada fikir pasal teater.
Nasi Lemak Seposen versi panjang aku dah siap.
Memang kena sunting banyak banyak kali nanti.
Tak nak panjang-panjang sangat.
Ngam-ngam satu jam paling lama pun.

Apa pun, aku ada beberapa kritikan teater yang aku hendak buat tapi tak sempat lagi!
Bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam" adaptasi A Midsummer Night's Dream, dan
Teater adaptasi "Woyzeck".
Dan teater-teater pendek dalam Piala Mad Haris II.

Oh mungkin aku patut tulis kritik ringkas sekarang?
Hal tangguh tangguh memang tak jadi.
Nak buat, buat terus.
Masa tak akan menunggu kita.
Macam lelaki nak kahwin lah.
Nak kahwin, kahwin je.
Ah sudah, terus dengan kritik.



KRITIK 1
Bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam"

Macam biasa, ada pandangan secara keseluruhan. Ada pecahan mengikut turutan babak-babak.

Sayang sekali, aku tak pernah baca lagi karya Shakespeare "A Midsummer Night's Dream". Jika tidak tentu ulasan ini boleh jadi lebih bagus. Oleh sebab itu selepas menonton bangsawan ini, aku tanamkan azam untuk baca paling kurang satu karya Shakespeare sebelum tahun 2010 ini berakhir. Mungkin aku patut mula dengan karyanya yang paling pendek antara banyak, dan yang paling popular. Mungkin aku patut sahaja baca A Midsummer Night's Dream dapat aku faham sedikit walaupun aku hanya menonton adaptasi bangsawannya sahaja.

Secara keseluruhannya, pementasan bangsawan ini sudah tentu telah menonjolkan elemen-elemen penting dalam bangsawan. Yang paling utama adalah lengguk bahasanya. Atau ada seorang kawan baik Dr.Shark kata, 'kiuk'. Aku memang geram dengan bangsawan yang lengguk bahasanya memang berkiuk-kiuk. Terasa sangat indah mendengarnya. Mungkin itu seni dalam bangsawan yang paling indah selain keindahan latar-latarnya. Mungkin kena berguru baru boleh dapat ilmu kiuk itu. Memang kalau nak menuntut ilmu, kena ada sifu juga. Tak boleh menuntut ilmu dari buku atau bahan pelajaran lain sahaja tanpa ada guru yang menunjuk ajar.

Itu yang pertama, kiuknya yang sangat terbukti kekiukkannya pada watak Raja dan Menteri dan watak-watak yang seharusnya berketurunan bangsawan. Bagi watak-watak bukan dari golongan istana, lengguk bahasanya pula lebih kepada kebiasaan. Ini berdasarkan pandangan aku selepas menonton beberapa bangsawan. Mungkin pandangan aku ini salah. Mungkin semua watak dalam bangsawan harus mengikut kiuk bangsawan. Aku kata harus sahaja. Tak semestinya perlu atau wajib. Kerana seni itu sendiri adalah luas, mendalam, indah dan SUBJEKTIF.

Yang kedua yang paling menonjol dalam bangsawan ini adalah kekuatan muziknya yang sangat indah dan mengasyikkan. Tiada ketukan cymbal banyak banyak kali cheng cheng cheng cheng cheng cheng mungkin tempoh hari bangsawan Laksamana Cheng Ho banyak sebab nama pun Cheng Ho kenalah Cheng Cheng Cheng Ho ho ho. Apa pun, pemain muziknya sangat mantap. Dibantu dengan sistem audio panggung bandaraya yang kedap bunyi, sudah pasti mampu membuat peha kaki aku bergoyang-goyang. (Sejuk pun ya jugak sampai rasa nak terkencing tergoyang-goyang peha kaki.)

Ketiga, banyak tasmat. Inilah yang biasanya yang aku cari-cari dalam sebuah pementasan bangsawan. Tasmat. Yang aku kira sebagai penyumbang kepada WOW-Factor.


Babak 1 - Istana Raja
Semuanya biasa sahaja. Cuma ada seorang watak yang seperti tidak masuk ke dalam dunia cerita itu. Mungkin kerana kiuknya yang tidak sekata dengan watak-watak lain.

Babak 2 - Kamar Puteri Raja
Ternyata bangsawan sememangnya teater kaya. Letaklah set cantik-cantik, besar-besar atas pentas. Dan semuanya itu tidak digunakan dengan baik. Set tidak dimanfaatkan dengan baik. Sama sahaja perihalnya sewaktu aku mengarah Bangsawan Tuah Hang Jebat dulu. Banyak set yang hanya sekadar menghiaskan rupa paras pementasan itu semata-mata, tanpa dipergunakan oleh para pelakon.

Babak 3 - Kediaman Raja Pari-pari
WOW Factor 1 : Raja Pari-pari muncul dengan fizikal yang tinggi. Dia berdiri di atas pembantunya dan diangkut. Dari segi keselamatan pentas agak membahayakan kalau-kalau Raja Pari-pari itu terjatuh. Akan tetapi dengan kemahiran dan teknik sudah tentu dapat dilakukan, asalkan tidak terlalu membahayakan pelakon.
Watak pembantu Raja Pari-pari iaitu Kundang pula adalah menarik dengan olah suara dan tubuh yang animated. Banyak kali juga penonton merasakan gaya Kundang itu kelakar, dan memang Kundang tidak banyak bermain dengan emosi, sesuai dengan karakternya sebagai seorang makhluk suruhan.
Latar bagi babak ini juga mampu memberikan mood para penonton untuk turut sama berimaginasi dan masuk ke dalam dunia pari-pari. Ditambah lagi dengan muzik ambient yang kena, sudah tentu bangsawan ini menepati piawai bangsawan moden. Ya, ini adalah bangsawan moden.

Babak 4 - Hutan (1)
Tasmat utama yang aku tunggu-tunggu iaitu bunga sakti cinta malam keluar akhirnya pada babak ini dari atas. Bunganya besar tetapi hanya satu kuntum yang dipetik oleh Kundang.

Babak 5 - Hutan (2)
Ada adegan pementasan di dalam pementasan. Ada sekumpulan pemuda yang menjalani rehearsal untuk pementasan mereka di hadapan Raja sempena perkahwinan Raja nanti. Pementasan itu dinamakan Pungguk Rindukan Bulan.
Pementasan kecil ini menarik kerana kegilaan dan keghairahan kesemua karakter yang ada.
Satu lagi tasmat adalah kepala keldai yang dipasang sebagai head gear. Lebih elok jikalau head gear itu tidak menampakkan muka pelakon dan suara pelakon pun berubah menjadi suara seperti seekor keldai.

Babak 6 - Istana Raja
Babak penamat ini menonjolkan emosi Memanda Menteri yang sangat mantap. Emosi sedihnya disampaikan dengan penuh jiwa dan eskpresi sehingga menyentuh jiwa penonton. Watak Raja pula seperti sudah semakin hilang, mungkin kerana pelakonnya juga baru sahaja berlakon babak pementasan dalam pementasan tadi yang gila-gila, tiba-tiba pula di babak ini dia menjadi Raja. Pertukaran watak memang ada risiko kehilangan karakter.

Apa pun, ulasan ini tidak begitu bagus sebab ia sudah agak lama terperuk dalam ingatan aku. Seharusnya lepas balik menonton aku terus tulis.



KRITIK 2
Teater adaptasi "Woyzeck"
Karya George Buchner

Secara keseluruhannya, gaya pementasan di bawah arahan Roselina Khir ini membuatkan aku terbayang-bayang akan persamaannya sedikit dengan gaya pementasan Dr.Shark. Mungkin juga benar kerana Dr.Shark sendiri pernah berada di bawah arahan Roselina Khir.
Ini kerana;

(1)
Banyak kali blackout setiap pertukaran adegan. (HA HA) Blackout itu juga agak lama tempohnya. Memandangkan berdasarkan pengalaman aku dan komen balas daripada penonton terhadap show TTS selama ni, penonton tidak suka blackout banyak kali sangat dan lama sangat. Dan terbukti benar apabila sewaktu pementasan Woyzeck ini, penonton berasa kurang senang dan gelisah apabila asyik blackout, dan tempoh blackout itu lama.

(2)
Akan ada campur aduk antara sesuatu yang abstrak dan sesuatu yang langsung tampaknya. Ada elemen eksperimental bercampur dengan realism.

(3)
Nak minimal, tapi taklah minimal sangat. Ini ditunjukkan melalui set yang digunakan ala-ala teater Bedah yang juga baru dipentaskan.

Permulaan teater ini menarik minat aku dengan audio muzik berbahasa German sebagai latar adegan latihan kawad tentera-tentera German dan pengenalan watak utama Woyzeck yang nampak lurus bendul dan naif serta loser. Pengenalan watak ini cukup berkesan walaupun hanya aksi-aksi sahaja yang ditunjukkan tanpa perlu dialog.

Kedua yang menarik bagi aku adalah watak Doktor yang aku rasa dimainkan oleh orang Sabah atau Sarawak? Aku pun tak berapa pasti. Slang yang dimilikinya itu digunakan dan dimanfaatkan oleh pelakon untuk membentuk karakter yang unik dan tersendiri.

Watak Kapten juga sebenarnya seperti sengaja dimainkan sebegitu rupa, atau mungkin juga pelakonnya tidak pandai berlakon. Tapi pada pandangan awal aku, pelakon watak Kapten itu tidak pandai berlakon. Monoton. Emosi kosong. Mungkin sengaja dibuat sebegitu.

Woyzeck pula kedengaran seperti pelakon terkenal Shaheizy Sam (popular dalam Adnan Sempit). Permainan karakternya baik. Emosinya berkembang dari awal hingga akhir cerita. Kekacauan jiwanya berkesan membuatkan penonton tidak senang menonton dan ingin teater ini cepat habis.

Ada adegan mabuk-mabuk dan berpelukan lelaki perempuan. Walaupun yang terlibat berpelukan itu berbangsa Cina dan India, tetapi aku tetap tidak setuju adegan tersebut dilakukan. Kecuali jika pelakon itu suami isteri yang betul berpelukan.

Watak utama perempuan tak sedap suaranya sewaktu menyanyi. Kalau aku jadi pengarah, aku tak akan bagi pelakon itu menyanyi kalau tak sedap suaranya. Lakonannya juga menjengkelkan. Begitu juga dengan seorang lagi watak pembantu perempuan. Tak pandai berlakon dan gagal dalam semua aspek asas lakonan teater. Yang aku maksudkan bila 'tak pandai berlakon' ini adalah apabila aku tak percaya yang pelakon tu maksudkan dialog yang dikatakannya.

Teater ini secara keseluruhannya berada di paras sederhana. Aku tiada masalah dengan skrip dan isu yang disampaikan walaupun skrip itu sebenarnya asalnya hanyalah fragmen-fragmen yang tidak disusun malah tak disiapkan pun oleh penulis.

Apa pun, satu cubaan yang bagus kerana ini adalah teater adaptasi German pertama yang aku tonton.




KRITIK 3
Pertandingan Teater 10 Minit Piala Mad Haris - Musim Kedua


"Ini Tak Boleh, Ni!"
Karya Rosheen Fatima

Karya ini memang cukup menarik serba-serbinya. Oleh sebab itu aku akuinya sebagai pemenang Kakiscript 2. Dengan tema utamanya berteraskan konflik, cerita ini mudah dan sangat dekat dengan masyarakat. Isu khalwat, isu pegawai agama serkap jarang, isu Melayu selalu lambat tak tepati masa, dan sedikit isu politik.


"Pratt Prett Prutt"
Karya SEFA

Teater pendek ini ringkas, mudah tetapi menarik. Mengikut pengetahuan aku skrip ini ditulis oleh SEFA sebagai salah satu penyertaan Short + Sweet Theatre Festival 2010 tetapi tidak terpilih.
Sejujurnya ini kali pertama aku melihat SEFA cuba melarikan dirinya daripada klise atau kebiasaannya sendiri. Teater ini cuba memudahkan sesuatu yang tidak semudah itu. Misalnya kehidupan seorang insan itu digambarkan hanya sebagai menaiki dan memandu sebuah kereta permainan. Oleh kerana ia hanya permainan dan aturan jalannya ditetapkan sebagai LURUS sahaja dan pemandu perlu memandu lurus sahaja, idea cerita ini masih aku dapat terima walaupun hakikatnya, semua manusia di dunia ini tidak mampu melalui jalan yang lurus sepanjang masa. Pasti akan ada bengkang bengkoknya, pasti akan ada terbabasnya. Jadi pada hemah aku, cerita ini idealistik, tetapi tidak realistik. Ia hanya sekadar mahu mengajak manusia supaya mengikut jalan yang lurus dan mematuhi arahan yang ditetapkan. AMAR MAKRUF NAHI MUNGKAR adalah kata-kata kuncinya.


"The Witty Mouse & The Bear That Don't Care"
Karya SEFA

Karya ini berat dengan isu sosial, ekonomi dan politik. Agaknyalah. Dan oleh kerana lumrah manusia itu sendiri, karya yang berat sukar untuk difahami oleh penonton dalam masa yang singkat. Tambahan pula, ia dilakukan dalam bahasa Inggeris. Penonton perlu menggandakan deria mereka untuk memahami karya ini. Jika tidak, karya ini hanya sia-sia begitu sahaja. Ditambah lagi dengan aku yang sibuk menangkap gambar, sudah tentu aku hanya dapat faham isi cerita ini melalui watak yang dimainkan oleh Mohd Mekhi, pelakon baru dari Sudan.



Mime Monolog "Haram Jadah"
Karya SEFA

Karya SEFA yang ini setahu aku adalah antara yang terbaru. Jadi, aku dapat lihat perkembangan yang lebih matang dan menarik dalam karya-karyanya, dan terbukti menerusi monolog + mime Haram Jadah ini.
Mime-Monolog ini bercorak, seperti monolog Kemarau Musim Tengkujuh yang aku baru tonton tempoh hari. Dengan adanya pattern atau corak ini, tiada plot cerita yang membentuk cerita dari awal hingga akhir, tetapi membentuk cerita daripada sesuatu elemen. Misalnya dalam Haram Jadah ini, elemen setiap huruf dalam kalimah "ALLAH" (Alif, Lam, Lam, Ha) dibentuk menjadi sebuah cerita dengan isu-isunya yang berlainan. Walaupun isu-isunya tidak berkait, akan tetapi monolog ini ditamatkan dengan perkaitan kesemuanya, iaitu kealpaan manusia kepada pencipta iaitu ALLAH. Mesej monolog ini amat jelas dan terus kepada penonton. Kerana ada penulis yang sengaja tidak menjelaskannya.



Dual-log "Bapak"
Oleh Dr.Shark

Show ini adalah dedikasi untuk graduan-graduan TTS, ahli-ahli TTS yang lama dan yang baru.

Baju batik lengan panjang warna hijau adalah satu simbol yang cukup mendalam maksudnya.
(Walaupun aku yakin Dr.Shark tak fikir sedalam ini pun, tapi aku fikir sedalam ini lah)
Baju lengan panjang itu adalah sesuatu yang kita pakai sehari-hari dalam hidup kita. Jika kita berlenggeng tidak pakai baju, kita akan berasa malu di khalayak ramai. Boleh nampak perut kita yang buncit, puting tetek kita yang hitam dan berbulu, lemak-lemak berlebihan, tompok-tompok hitam atau sebagainya. Ya, baju lengan panjang itu adalah sebagai ilmu dan amal untuk seorang manusia.
Warna hijau adalah seperti kebiasaan simbol terjemahan daripada warna bendera Arab Saudi, mahupun Parti Islam Semalaysia. Ya. ISLAM.
Lagu Ayah & Ibu itu maksudnya Dr.Sharklah ayah, Dr.Shark jugalah ibu. Ha ha!
Ayie sebagai anak Bapak, mula sebagai bayi yang baru lahir. Si Bapak menjaganya, mengasuhnya, menyusukannya dengan segala keperluan bagi bayi itu bersedia untuk hidup apabila sudah besar nanti.
Si anak yang sudah besar akhirnya sudah bersedia untuk hidup berdikari di dunia luar.
Si anak sudah pandai bermain emosi.
Bayi itu adalah niat perjuangan seni TTS yang tulus dan suci.
Baju itu adalah ilmu seni teater.

Penamat dual-log ini sedikit tragis tetapi ia juga sebahagian daripada realiti. Si anak pergi meninggalkan bapaknya.. dengan cara yang kasar.

Dialog-dialog dedikasi khas adalah sebagai penghargaan kepada jasa dan bakti graduan-graduan TTS sepanjang berada di TTS sejak dari dulu sampai sekarang.


Aku tak pandai berlakon.
Aku tak reti menulis.
Aku tak bagus mengarah.
Kerana aku adalah seorang manusia.
Seorang manusia sudah pasti tidak sempurna 100%.

Ahad, Oktober 03, 2010

PRA 10 - 10 - 10 - 10

Kebetulan ini adalah entri PRA ke-10.
Jadi pada 10-10-10 ini, aku akan melalui fasa PRA-perkahwinan.
Bertunang lah senang kata.

Semakin sibuk dengan kerja.
Sememangnya perlukan art treatment - rehat dan rawat seni - setelah perah otak logik yang tak berapa logik ni. Pameran seni percuma dan persembahan teater percuma atau yang berharga rendah adalah sasarannya buat masa sekarang.

Ada bengkel dikendalikan oleh The Qum Actors untuk Tronoh Theatre Shop secara percuma pada hujung minggu ini. Aku yang cadangkan tarikh pada hujung minggu ini tapi aku sendiri yang tidak dapat hadir.
Ironik. Tetapi tak mengapa.

Masih ada lagi persediaan pertunangan yang perlu diselesaikan.
Lepas selesai PRA-perkahwinan ini, dan lepas selesai konvokesyen nanti mudah-mudahan aku punya hujung minggu boleh diisi dengan kegiatan seni, sama ada di luar atau di dalam rumah sahaja.

The Bundle Show pada 9 dan 10 Oktober ini pula kemungkinan besar aku tidak dapat hadir menonton lagi.
Jadi selamat berjaya kepada semua cast dan crew.
Dan aku doakan semoga AEROSOUL berjaya dipentaskan dengan baik.

Selain RAMBANG, aku baru mula menulis RAPOLOG, sebuah siri monolog dengan bait-bait dialog rentak rap dan ada juga puisi.
MANBINTANG juga perlu dimulakan untuk tahun hadapan.
NASI LEMAK 10 SEN versi panjang juga perlu dimulakan. Juga untuk tahun hadapan.
Filem pendek NASI LEMAK 10 SEN juga boleh dibuat. Kalau ada kamera boleh rakam video dalam tangan aku.
Baru keluar dari ketuhar pula adalah teater NYA, yang mencari-mencari sesuatu untuk mengisi kekosongan hidup. Jadi apakah yang boleh mengisi kekosongan hidup para hamba sekalian?

Malam ini pula aku telah menonton monolog berjudul KEMARAU MUSIM TENGKUJUH di Taman Budaya KL. Sempena Manifestasi Teater Malaysia 2010. Dan monolog ini adalah johan di KL tahun lalu.

(Ya, sewaktu Muzikal Tun Mahathir sedang hangat dipentaskan di Istana Budaya, di Taman Budaya yang serba rendah diri ini tetapi penuh erti, sebuah monolog yang juga merendah diri dipentaskan. Mana satu yang lebih berbaloi? Itu semua terpulang kepada individu. Jika bertuah dapat menonton dua-dua, boleh nilai sendiri...)

Aku pergi lepas Maghrib. Sengaja tak bawa payung walaupun aku tahu sekarang musim TENGKUJUH. Bukan sebab payung aku hilang diambil orang, bukan bukan! Tapi sebab aku nak berlenggang pergi ke Taman Budaya. Hanya pakai baju-T lusuh dan jeans lusuh. Rambut tak bergel. Dan tak gunting lagi. Tunggu nak tunang baru nak gunting nak trampil kononnya. Dan pakai selipar kotor. Selipar Crocs dah hilang buat apa nak meratapi lagi pemergiannya?

Aku gembira duduk di KL ini sebab aku senang nak pergi tonton teater atau tengok pameran seni apa-apa. Sebab tempat-tempatnya pun banyak yang strategik dekat dengan stesen LRT. Dengan masa lebih kurang setengah jam, aku sudah boleh sampai di Taman Budaya atau Panggung Bandaraya. Kalau di tempat lain tu mungkin sedikit jauh nak pergi menapak seperti ISTANA BUDAYA yang GAH itu, Stor Teater yang memang macam stor itu, Black Box ASWARA atau ET ASWARA yang aku tak pernah-pernah sampai lagi, MAP Solaris, PJ Live Arts, KLPAC yang memang susah nak pergi kalau tak naik kereta, The Actors Studio di Lot 10 yang akan berusia setahun di situ pada 10-10-10 ini, Auditorium DBP, Audi. DBKL, Annexe Central Market, mana lagi? hah mana lagi? mana mana?

Aku masuk Taman Budaya tepat pukul 8.30 malam. Tak ramai orang pun. Memang tak hairan. Semua pergi Istana Budaya. Rakyat Malaysia kaya raya. Alhamdulillah syukur nikmat. Apa kelas pergi nonton teater percuma? Kat TAMAN Budaya pulak tu... Ada Istana, buat apa pergi taman? Walaupun biasanya bila ada Istana, adalah Tamannya... Tapi tak mengapa, itu isu yang tak perlu diisu-isukan pun.

Nostalgia. Memori menggamit.
Jun 2010. Adalah kali terakhir aku berteater. Dah agak lama.
Yang pasti itu bukanlah kali terakhir. Selagi ada ruang nafas dan pentas, akan aku hidupkan teater dalam hidup aku dan teaterkan hidup aku dalam teater aku.

Dah panjang lebar sangat aku melalut. Jadi ini sedikit hasil tontonan aku pada malam itu.


Monolog "KEMARAU MUSIM TENGKUJUH"
Produksi KELAB KILAT KUALA LUMPUR
Karya dan arahan NAZRI AHMAD
Lakonan NAZRI AHMAD

Sinopsis:
Hujan adalah nikmat keramat tanda tanah air ini subur dan mewah di bumi merdeka. Manusia bersaing mencari kehidupan. Berlumba mencapai cita. Negara maju makmur rakyat menikmati sejahtera. Tapi sayang masih ada anak bangsa yang merempat di bumi bertuah ini. Lupa daratan, lupa diri, mengikut kata hati, kerana takdir barangkali, atau mungkin terjerumus ke arah itu. Kemarau adalah barah yang mencengkam tamadun kemakmuran. Ia dipengaruhi persekitaran dan keadaan semasa. Ketentuan takdir juga menentukan watak-watak dalam realiti kehidupan. Ada yang mahu menjadi seperti itu. Ada yang tidak mahu menjadi itu, dan ada yang tidak tahu apa-apa yang dia mahu itu. Manusia menggunakan fikiran untuk berfikir, tapi ada juga yang tidak menggunakan fikiran. Ada yang menjadi tuan ada yang menjadi hamba. Dalam kemewahan dan kestabilan, ada yang sengaja menyeksa diri. Ada yang gila, ada yang mahu gila. Ada yang tergila-gila. Manusia bergerak mengikut kata orang lain, dan ada yang hanya mengikut kata hati......


Technical glitch - termain audio sewaktu emcee sedang membaca sinopsis monolog. Mungkin bagi sesetengah orang pandang perkara ini sebagai spoiler atau bad start atau seumpamanya, tapi bila tirai mula buka aku dah lupa dah pasal glitch itu. Waktu tulis ni lah baru ingat balik.

Tetapi hanya satu itu sahaja tech. glitch yang berlaku. Lagipun ia berlaku sebelum tirai dibuka. Tak payah kiralah!

Suka untuk aku ulas monolog ini secara umum. Monolog ini secara keseluruhannya menampilkan sebuah gaya pementasan yang berulang, ada pattern (corak) dan tiada plot cerita yang jelas dan biasa seperti adanya permulaan, perkembangan, klimaks dan penamat. Gaya monolog ini mengingatkan aku kepada monolog terpanjang dalam Malaysia Book of Records yang aku tonton di Pulau Pinang awal tahun ini. Gaya pementasan sebegini sesuai untuk monolog yang pendek berdurasi kurang satu jam. Ya lah, kalau dah ulang banyak kali sudah tentu akan wujudnya rasa bosan.

Monolog ini bermula dengan sedikit perlahan akan tetapi semakin rancak dan menarik sehingga tamat. Setnya pula sederhana (produksi ini memang rendah diri tapi tinggi nilai budi), akan tetapi sedikit kompleks dari sudut pandang pengamal minimalism, dan sedikit ringkas dari sudut pandang pengamal teater kaya atau bangsawan (kah kah?). Ah, apa pun, aku tak pentingkan set dalam menilai sesebuah teater. Aku pentingkan NILAI dalam MENILAI sesebuah teater. Dah nama pun kau nak MENILAI, mestilah cari NILAI.

Dalam pattern (corak) yang sama, aku dapat cungkil beberapa bahagian yang terasing tetapi di bawah satu perasaan yang sama : MARAH BERONTAK.

Tiada senarai watak yang ditulis atau disebut di akhir pementasan, jadi aku anggap watak pelakon memakai serba putih itu sebagai ELEMEN SUCI. haha.

(0)
ELEMEN SUCI masuk membawa sebuah kotak. Kotak itu berisi pakaian untuk pemain menukar pakaian terus di atas pentas untuk watak-watak berlainan sepanjang pementasan. Gaya sebegini juga pernah aku tonton sebelum ini dalam teater KL : Peluang, Impian, Harapan. Gaya buka baju juga pernah aku tonton. Gaya bogel (literally) saja aku belum pernah tonton di Malaysia ini.
Apa pun, ELEMEN SUCI ini seperti buntu dan mencari-mencari, penat dan lelah dalam pencarian. ELEMEN SUCI membongkar pakaian-pakaian yang ada dalam kotak itu dan mengenakannya satu per satu, seolah-olah pada setiap pakaian itu, terdapat sesuatu yang menggamit memori silam ELEMEN SUCI itu, atau pakaian itu memberikan imbasan akan kisah-kisah kehidupan sang pemakai pakaian itu di dunia... Yang pasti, aku tidak pandang ELEMEN SUCI ini sebagai manusia.

(1)
ELEMEN SUCI kini jadi ORANG MABUK. ORANG MABUK tak ingat apa balik rumah lewat malam marah-marah bini dan akhirnya halau bini keluar rumah. Kemudian ORANG MABUK marah-marah pada penonton (orang ramai) mengatakan yang dia berhak buat apa yang dia suka. Dan dia juga ada bangkitkan isu lama dia sewaktu dia susah dulu tak ada pun orang tolong dia, bila dia dah senang baru orang nak dekat-dekat. Aksi minum arak (bukan arak betul) dan hisap rokok secara betul di atas pentas mungkin kurang sesuai untuk budak kecil yang ada hadir menonton yang masih bertanyakan pada pengiringnya (kakak atau mak entahlah) apa maksud 'TENGKUJUH'.
Lepas tu ORANG MABUK pergi ke sebuah pohon di tengah pentas berwarna merah kelam dengan lima lilin dan meniup memadamkan satu lilin. Dan pattern ini berterusan untuk watak-watak berikutnya.

(2)
ELEMEN SUCI kini jadi PENGEMIS. PENGEMIS mengemis tetapi dihalau oleh pegawai kuatkuasa. Kemudian PENGEMIS marah dan memberontak dengan takdirnya sendiri dan yang paling menarik apabila dia membaling duit-duit syiling dari bekas duitnya ke arah penonton.

(3)
ELEMEN SUCI kini jadi EKSTRIMIS AGAMA. EKSTRIMIS AGAMA hendak keluar berdakwah selama dua bulan dan meninggalkan isterinya di rumah bersama anak-anaknya. Si suami memesan isterinya supaya jangan keluar rumah tanpa izin suami kerana itu perbuatan yang berdosa. Dan memesan kepada isterinya supaya jangan melayan jiran-jiran kerana pada pandangannya kata-kata jiran-jiran mendorong kepada umpatan dan fitnah dan akhirnya menjerumus ke neraka dan suami tidak mahu isterinya masuk neraka. Nampak apa isu sebenarnya? Dan dia akhirnya menghadap ke arah penonton (orang ramai) yang mempersoalkan caranya yang dilihat sebagai melupakan dunia 100% tetapi dibidas semula olehnya yang dia juga menjaga kebajikan keluarganya. Menarik bukan? Mesej islami bagi bahagian karakter ini adalah terang dan jelas. Tahniah untuk usaha yang murni ini. (Produksi ini juga selamat kerana tiada pelakon perempuan yang membuka aurat dan sekaligus melenyapkan kemungkinan persentuhan antara pelakon lelaki dan perempuan.)

(4)
ELEMEN SUCI kini jadi ORANG GILA. Okay. Aku memang suka karakter orang gila kerana asas aku sendiri pun adalah kegilaan. ORANG GILA dalam monolog ini jadi kononnya polis trafik suruh orang jalan dan ada dialognya yang menarik: "Kau tak nak jalan? Kalau tak nak jalan, aku yang jalan! Kau tak nak bodoh? Kalau kau tak nak bodoh, biar aku yang bodoh! Kau tak nak mati? Kalau tak nak mati, biar aku yang mati" Lebih kurang macam inilah.

(5)
ORANG GILA kemudian terus tukar pakaian jadi MAK NYAH. Karakter MAK NYAH yang ditonjolkan tidak terlalu menonjol. Macam aku kata tadi, produksi ini secara keseluruhannya rendah diri tapi tinggi nilai budi. Aksi MAK NYAH tidak keterlaluan atau sengaja dibuat-buat keterlaluan. Malah, watak ini pun bukan untuk penonton bergelak ketawa terhibur, tetapi untuk menonjolkan isu dan permasalahan sebenarnya.

(6)
MAK NYAH terus bertukar semula menjadi ORANG GILA. ORANG GILA kini konon-konon seorang cikgu, seorang lelaki lembut. Nak mengajar budak-budak 1, 2, 3 dan A, B, C. Yang paling menarik bila dia suruh penonton sebut huruf dari J sampai A. Kalau kira terbalik dari 10 ke 1 senanglah. Tapi kalau sebut huruf terbalik dari Z sampai A, boleh ke sebut laju-laju tanpa fikir dulu? Cuba buat. Haha.
Kemudian, ORANG GILA menghadap dan berdialog dengan penonton (orang ramai) tentang GILA. Tagline monolog ini yang ditulis di brosur dan juga kain rentang berbunyi "GILA itu apa sebenarnya.. gila itu adalah nafsu, nafsu ada pada semua orang yang mengaku tidak gila.. tapi sebenarnya mereka memang gila, gila melayan nafsu yang tidak pernah puas". Tagline inilah kekuatan monolog ini. Ada lagi dialog ORANG GILA yang mempersoalkan KEGILAAN dan juga ada provokasi pada orang yang siuman yang orang siuman ini sebenarnya GILA, dan orang gila ini sebenarnya yang tidak gila. GILA DUNIA lah maksudnya tu.. ORANG GILA katanya tidak gila mengejar dunia. Hidupnya ringkas tidak perlu berumah katanya, tidak perlu perempuan cantik katanya. Menarik bukan?

Dan akhirnya lilin terakhir ditiup.

ELEMEN SUCI kini sedar dan bertambah gundah dan lelah. Mungkin risau dengan permasalahan atau pun 'kemarau' yang melanda walaupun musim tengkujuh (hujan itu rahmat, iaitu negara aman makmur dan maju) tetapi sudah pasti akan ada kemarau (ada penyakit sosial). Dan inilah yang menyebabkan ELEMEN SUCI tidak senang duduk, tidak senang tidur.

Penamat monolog ini:
ELEMEN SUCI tersedar dan amat takut. Mungkin dunia sudah hampir kiamat. Dan akhirnya ELEMEN SUCI mati. Pohon-pohon dunia mati. Dan yang tinggal, pohon di tengah pentas itu yang menempatkan lilin-lilin. Yang berwarna merah itu.

Secara umumnya, aku dapat lihat penulis dan pengarah cuba tonjolkan isu-isu yang membabitkan penerimaan dan persepsi masyarakat terhadap golongan-golongan yang dikarakterkan dalam monolog ini.

Soalan:
Apakah persepsi masyarakat kita terhadap golongan-golongan ini:
Orang Islam yang minum arak.
Pengemis yang mengemis di tepi jalan.
Pendakwah yang meninggalkan keluarga dalam tempoh masa yang lama.
Orang kurang siuman.
Mak nyah.

Lima karakter yang memang wujud nyata dalam dunia realiti inilah yang telah ditonjolkan dalam monolog ini. Lima karakter / lima isu ini adalah lima batang lilin yang dinyalakan pada awalnya, dan ditiup padam oleh ELEMEN SUCI. Kontradiknya, lilin menyala menerangi kegelapan, akan tetapi dalam monolog ini, lilin yang menyala adalah satu masalah dalam masyarakat, dan ELEMEN SUCI memadam lilin itu sebagai satu perlambangan yang ELEMEN SUCI dapat menyelesaikan masalah tersebut.

Pada hemah aku juga, monolog ini kuat dan mesejnya sampai pada diri aku sendiri. Variasi mesej yang tersurat dan tersirat ini menjadikan monolog ini cukup indah serinya.

Dua ibu jari untuk monolog ini!


p/s: Mungkin esok akan dapat rawatan seni lagi. Teater "Sirih Bertepuk Pinang Menari". Karya SN Noordin Hassan. Arahan Norzizi Zulkifli. Di Audi DBP. Hujung minggu depan pula, 8 Oktober aku cadang mahu nonton bangsawan "Bunga Sakti Cinta Malam", adaptasi Shakespeare "Mid Summer's Night Dream", produksi Alumni ASWARA. (Alumni TTS bila lagi nak buat show sendiri???)