Jumaat, Ogos 13, 2010

PRA 1 - Prawan Mula Mengawan Setelah Lama

Masa yang terluang tidak banyak mana.
Kurang masa untuk menulis dan berkata apa-apa.
Rutin kerja pejabat memang tidak boleh dibandingkan dengan rutin kerja pentas.
Ah sudah. Aku sudah sebut pentas.

Seminggu dua ini aku menjalani latihan terlebih dahulu sebelum boleh melaksanakan tugas projek sebenar. Jadi kerjanya tidaklah banyak tetapi kerjanya memang praktikal.

Sekarang,
menuju ke alam PRA...
Memang banyak cabarannya.
Memang perlu banyak pengorbanan.
Memang banyak yang kena fikir.
Banyak yang kena rancang untuk masa depan.

Oleh kerana salah sebuah puisi aku "Pop Ular / Ular Pop" telah pecah masuk gegendang telinga orang ramai (terima kasih pada SEFA), suka untuk aku mengulas serba sedikit tentang apa yang aku cuba sampaikan dalam puisi tu. Ini perkara yang biasa aku lakukan.

Puisi "Pop Ular / Ular Pop" ini aku nukilkan tatkala jiwa aku tengah bersemangat api. Berkobar-kobar. Kecamuk dan geram digeruni oleh cacing-cacing dalam hati. Kerana adanya cacing-cacing ini, hati aku berimaginasi yang cacing-cacing itu bila berkumpul dan bercantum banyak-banyak boleh membentuk jadi seekor ular, yang aku gelarkan sebagai Uncle Pop. Nama manjalah kiranya, nama manja ini untuk haiwan peliharaan. Kira dalam hati, ada seekor ular yang dibela.

Secara asasnya, puisi ini adalah luahan jiwa aku tentang populariti artis atau selebriti yang memakan diri. Dek kerana terlalu asyik dan mengejar populariti, sehingga terlupa asal usul dan akhir hidupnya tidak mengasyikkan, mati dalam keadaan terhina.

Lebih teruk, populariti yang diraih adalah dengan cara yang tidak betul. Hal ini ditunjukkan dalam puisi ini tatkala si ular memakan makhluk yang lain yang bertanduk, bersayap, berkaki. Jangan bayangkan makhluk apa-apa. Tanduk hanya satu perlambangan. Sayap juga begitu. Kaki pun sama. Si ular akhirnya yang mengambil dan menggunakan tanduk, sayap dan kaki makhluk lain itu.

Sekarang ni aku tengah cari beberapa peluang untuk TQA bergerak secara sendiri. Gerak kerja TQA memang sedikit perlahan sebab semua pun sibuk dengan kerjaya tetap masing-masing. TQA ni kira separuh masa lah. Tak sampai separuh masa pun. Tak sampai suku masa pun kot?

Apa pun aku memang bersedia untuk gerakkan TQA akan tetapi aku tetap perlukan pertolongan daripada ahli yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan