Jumaat, Ogos 27, 2010

PRA 5 - Prkasgut

Sebuah filem Iran berjudul "The Shoe" adalah antara sebuah filem yang paling aku ingati hingga kini walaupun hanya menontonnya sekali.

Objek kasut sebenarnya sangat dekat dengan diri aku.

Bila aku nak beli kasut, aku akan pilih kasut yang betul-betul sesuai dengan kaki aku. Dan macam biasalah, kalau kasut yang cantik dan sedap dipakai sudah pasti harganya agak mahal.

Sewaktu kasut Crocs masih belum berlambak ciplak dijual, aku sanggup beli yang mahal. Hilang, aku beli lagi yang original satu lagi. Dan baru hilang lagi. Memang aku tiada jodoh dengan kasut Crocs agaknya. Atau mungkin aku terlalu berbaik sangka sewaktu hendak pergi masjid. Takkan aku nak buruk sangka?

Aku sengaja tulis pasal kehilangan kasut Crocs aku sebab macam aku kata tadi, objek kasut memang dekat dengan diri aku.

Kasut kerja yang aku pakai sekarang adalah kasut kerja sewaktu praktikal dulu. Masih elok untuk dipakai jadi aku tak beli baru. Ada beli baru tapi itu tidak boleh dipakai sekarang. Cuma kasut itu tapaknya sudah haus - terlalu haus.

Jadi aku baru saja hantar kasut tu untuk dibaiki tapaknya. Bila tapak kasut aku tu dah cantik, aku berasa lebih yakin memakainya. Terima kasih pak cik tukang kasut.

Kasut hanyalah sebuah objek dunia. Kita pakainya pada kaki. Walaupun tempatnya di bawah bukan di atas kepala, tetapi kita tetap perlukannya untuk melindungi kaki kita. Boleh saja kita berkaki ayam akan tetapi takut-takut boleh tercedera pijak apa-apa yang meluka.

Bila mana objek dunia, tidak haruslah kita terlalu obses. Tapi mungkin juga aku obses dengan kasut. Sedikit. Dan mungkin sebab itu lahirnya karya aku Tukang Kasut Jalan Rogayah yang mengetengahkan tema obsesi pada dunia membawa derita.



p/s: Ekoran kes kehilangan Crocs aku buat kali kedua, aku dengan ini akan lebih berhati-hati apabila pergi ke masjid. Skeptikalkah aku? Ah, Amir Muhammad dah pernah sebut dalam filem pendeknya "Friday". Ada juga di YouTube filem pendek "Capal" pasal perkara yang sama.

Rabu, Ogos 25, 2010

PRA 4 - Jaga Kain

pada sebuah ruang kosong
terapung
di atas sebuah tapak berufuk lurus
sehelai kain tiada butiran jelas
siang malam tetap di situ

lalu ada orang datang
pelik melihat kain itu terapung begitu
tanpa ada apa-apa sokongan
dia pusing keliling kain
memastikan kain itu bukan tipu helah magis
tetapi kain itu tetap begitu
terapung kosong di ruang kosong tanpa ada sokong

bila orang itu sudah putus asa
beredar lalu pergi
tanpa disedarinya
tiada berkain lagi dia
kerana kain itu tadi adalah miliknya


p/s: tak perlu jaga tepi kain orang lain kalau keadaan tidak perlu, takut-takut orang lain tidak suka dan akhirnya berbalik semula pada kita

tetapi...

ada tetapi dan bersambung...

Ahad, Ogos 22, 2010

PRA 3 - Prak Pranda

Sewaktu tadika dulu
aku suka lukis kapal dan warna guna pensel warna atau krayon
itu pun aku tiru kawan aku bernama Pecel (Faisal)
dia memang tangan melukis sampai besar
aku pun boleh melukis juga ikut bakat melukis yang turun daripada mak aku
tapi sampai sekarang aku rasa aku tak pandai sangat melukis
aku lebih suka mewarna

Sewaktu sekolah rendah pula
aku suka pelajaran muzik
setiap ujian bertulis aku dapat 100%
dan sewaktu praktikal pula aku tidak hadapi masalah main alat muzik
dan aku pernah buat persembahan semasa darjah lima di hadapan sebuah dewan

Sewaktu percubaan UPSR
aku telah gagal dalam mata pelajaran Sains
sebab aku tak suka lantas tak tahu menjawab hipotesis, inferens dan sebagainya

Semua ini walaupun perkara kecil
tetapi bagi aku, bila dah besar ni baru aku sedar
bahawa sudah ada sisi-sisi seni dalam diri aku sejak kecil

Walaupun jiwa aku kini porak peranda sains seni
jiwa memberontak mahu berseni
tetapi hati kata perlu bekerja jadi engineer untuk dapatkan wang sara hidup sebab itu kelayakan degree

Jadi buat masa sekarang aku masih dalam fasa sesuaikan diri
kerana jiwa dan hati porak peranda sains dan seni
mungkin bila aku sudah stabil nanti
aku akan jadi engineer dan dalam masa yang sama aku dapat berseni

Dan ya
memang aku sedang dilanda isu 'terperangkap dalam gaung ini'

Dan ya
terima kasih pencuri Crocs asli aku yang kedua yang baru saja hilang hari ini
di tempat biasa, di masjid
aku sudah biasa dan tak hairan
kerana aku sedang berada di Malaysia, negara pelbagai kaum
mungkin yang curi Crocs aku tu bukan orang Islam

Rabu, Ogos 18, 2010

PRA 2 - Pratu, Ratu Kutu Dalam Sepatu

Puisi Aluan

Sepatu pada kaki
Rambut pada kepala
Kutu di celah jari kaki
Kematu pada kulit kepala

Kaki pakai sepatu
Kutu diam di situ
Kematu menggatal
Kutu mengeras

Hanya kutu satu di situ
Diam di situ jadi ratu
Ratu Pratu si Ratu Kutu
biak kutu-kutu pada kaki dalam sepatu bersarang

Kaki penuh kutu-kutu
Kulit kepala makin kematu
Bukan salah sepatu
Bukan salah Ratu Kutu
Salahkan 'Aku' (salahkan diri sendiri)


Cerita Pasal Nilai

Lain rasanya bila pergi kompleks membeli-belah untuk beli barang-barang kahwin berbanding pergi untuk jalan-jalan tengok wayang. Lain dari segi matlamat dan hala tuju. Jika sebelum ini pergi jalan-jalan hanya untuk bersuka ria menghabiskan wang ringgit, kali ini menghabiskan duit secara berobjektif dan subjektifnya, sudah pasti nilai dalam dan pada barang-barang hantaran tu, sebelum dan selepas pernikahan nanti.

Ada orang mungkin lihat barang hantaran sebagai sesuatu yang tidak penting dan ada yang melihatnya sebagai satu kemestian. Itu semua bergantung kepada individu itu sendiri. Jika kita memberi dan melihat nilai yang positif, positiflah ia. Inilah yang aku maksudkan tentang nilai dalam dan pada barang hantaran itu. Mahal atau murah harga barang hantaran itu, jika nilai dalam dan pada barang-barang itu tidak dilihat sebagai positif oleh pembeli, tiada guna juga. Hanya mahal dan berharga dalam nilai mata wang, tetapi nilai subjektifnya tiada.

Dari dulu aku memang selalu sebut pasal nilai sesuatu itu. Sebab akronim N pada nama aku pun adalah Nilai.

Begitu juga nilai seseorang itu menyertai TTS.



Cerita Pasal HelHal.

Aku terpanggil untuk bercerita tentang HelHal sebab nilai yang ada padanya.

Mula dikenali sejak dia bersembang di atas talian melalui kotak chat di blog TTS dengan nama samaran Pemerhati Penang, HelHal yang pada awalnya segan-segan untuk masuk TTS telah pun berjaya masuk TTS pada semester terakhirnya di UTP. Seperti kebiasaaan, show sulungnya adalah Asylum.

Walaupun dia tidak dapat menimba pengalaman yang banyak jika dibandingkan dengan ahli TTS yang lain, namun kesungguhan dan minat yang mendalam yang ada padanya amat mengagumkan aku. Ini dibuktikan lagi apabila dia menerima tawaran berlakon menggantikan watak Hang Lekir dalam produksi THJ-KL yang lalu.

Bagi aku, nilai sebenar dalam teater bukanlah bakat atau sebagus mana lakonan kita, tetapi setinggi mana kesungguhan kita dan sedalam mana minat dan passion kita dan sejauh mana kita mampu menghargai seni itu sendiri.

Alumni TTS yang juga perintis TTS, iaitu Syafiee Ali (Ee) pernah berkata pada aku semasa berborak melalui Yahoo! Messenger, yang bakat adalah perkara nombor dua, yang penting komitmen dan kesungguhan.

Kesungguhan itu bukan melalui kata-kata semata. Tetapi perlu dibuktikan melalui hasil kerja teater kita, dan tidak ada alasan-alasan apabila bekerja.

Memang ada benarnya kata-kata dan pesanan orang tua, walaupun lapok, kolot, ketinggalan zaman, tidak moden, tradisional dan konvensional dan kadang-kala menyusahkan dan tidak disukai oleh orang muda, tetapi orang-orang tua lebih berpengalaman dan lebih dulu dan banyak makan garam, gula, cuka, hempedu dan PARACETEMOL.

Kalau ada orang tanya aku siapa TTSian of The Year 2010, aku akan pilih HelHal. Ha ha ha.

Jumaat, Ogos 13, 2010

PRA 1 - Prawan Mula Mengawan Setelah Lama

Masa yang terluang tidak banyak mana.
Kurang masa untuk menulis dan berkata apa-apa.
Rutin kerja pejabat memang tidak boleh dibandingkan dengan rutin kerja pentas.
Ah sudah. Aku sudah sebut pentas.

Seminggu dua ini aku menjalani latihan terlebih dahulu sebelum boleh melaksanakan tugas projek sebenar. Jadi kerjanya tidaklah banyak tetapi kerjanya memang praktikal.

Sekarang,
menuju ke alam PRA...
Memang banyak cabarannya.
Memang perlu banyak pengorbanan.
Memang banyak yang kena fikir.
Banyak yang kena rancang untuk masa depan.

Oleh kerana salah sebuah puisi aku "Pop Ular / Ular Pop" telah pecah masuk gegendang telinga orang ramai (terima kasih pada SEFA), suka untuk aku mengulas serba sedikit tentang apa yang aku cuba sampaikan dalam puisi tu. Ini perkara yang biasa aku lakukan.

Puisi "Pop Ular / Ular Pop" ini aku nukilkan tatkala jiwa aku tengah bersemangat api. Berkobar-kobar. Kecamuk dan geram digeruni oleh cacing-cacing dalam hati. Kerana adanya cacing-cacing ini, hati aku berimaginasi yang cacing-cacing itu bila berkumpul dan bercantum banyak-banyak boleh membentuk jadi seekor ular, yang aku gelarkan sebagai Uncle Pop. Nama manjalah kiranya, nama manja ini untuk haiwan peliharaan. Kira dalam hati, ada seekor ular yang dibela.

Secara asasnya, puisi ini adalah luahan jiwa aku tentang populariti artis atau selebriti yang memakan diri. Dek kerana terlalu asyik dan mengejar populariti, sehingga terlupa asal usul dan akhir hidupnya tidak mengasyikkan, mati dalam keadaan terhina.

Lebih teruk, populariti yang diraih adalah dengan cara yang tidak betul. Hal ini ditunjukkan dalam puisi ini tatkala si ular memakan makhluk yang lain yang bertanduk, bersayap, berkaki. Jangan bayangkan makhluk apa-apa. Tanduk hanya satu perlambangan. Sayap juga begitu. Kaki pun sama. Si ular akhirnya yang mengambil dan menggunakan tanduk, sayap dan kaki makhluk lain itu.

Sekarang ni aku tengah cari beberapa peluang untuk TQA bergerak secara sendiri. Gerak kerja TQA memang sedikit perlahan sebab semua pun sibuk dengan kerjaya tetap masing-masing. TQA ni kira separuh masa lah. Tak sampai separuh masa pun. Tak sampai suku masa pun kot?

Apa pun aku memang bersedia untuk gerakkan TQA akan tetapi aku tetap perlukan pertolongan daripada ahli yang lain.