Ahad, Mac 27, 2011

PRA 40 - Sehelai Tisu Untuk Mengelap

sehelai tisu untuk mengelap
disimpan kemas di dalam kotak
rapat-rapat bersama tisu-tisu yang lain
dibungkus cantik
dipamer cantik
dijual cantik
dibeli oleh orang yang cantik
dan yang tiga suku cantik
dan yang separuh cantik
dan yang suku cantik
dan juga yang tak cantik

tisu dijual oleh orang buta di tepi-tepi jalan
tisu dijual oleh orang buta yang berjalan di pimpin oleh orang celik
tisu dijual dan dibeli dan diletak di dalam tandas tempat orang buang najis
tisu diguna oleh makhluk bertandas
tisu diguna untuk mengelap kekotoran
dan bekas najis makhluk bertandas

yang kotor sudah bersih
tisu dibuang di dalam tong sampah
dibiar kotor dan hina
tetapi kehinaan itu satu kemuliaan
tisu sudah berbakti kepada makhluk bertandas

apakah makhluk bertandas akan berbakti kepada tisu?

Jumaat, Mac 25, 2011

PRA 39 - Teater Untuk Semua

Show Nasi Lemak 10 Sen di UTP sempena Jerit! 9 dan 10 April ini tak jadi. Ditangguhkan. Sebab utamanya komitmen yang sederhana serta persediaan yang masih lemah dan perlahan. Aku setuju. Tapi ada juga sebahagian daripada aku yang kurang bersetuju. Sebahagian itu ego yang yakin menggunung tinggi. Namun majoriti telah bersuara.

Tanpa berfikir panjang, aku terus usahakan untuk mementaskan juga teater ini. Sebenarnya banyak peluang  yang ada untuk buat teater, cuma hendak atau tidak, berani atau tidak untuk memanfaatkan peluang yang ada itu. Bagi diri aku, kalau nak buat, buat betul-betul. Pastikan benda yang kau nak buat tu dibuat. Berjaya atau tidak itu perkara nombor dua. Yang penting, kau kena buat apa yang kau cakap kau nak buat. Sebab itu aku tak mahu batalkan show Nasi Lemak 10 Sen tu, sebaliknya menangguhkannya.

Dan semalam aku dah hantar dua kertas kerja cadangan produksi teater. Maklumatnya aku ingin rahsiakan terlebih dahulu sehingga cadangan itu lulus. Lepas ini pula aku hendak sediakan dua lagi kertas kerja untuk produksi yang lain. Projek rahsia.

Dalam masa yang sama juga aku sedang siapkan dokumen pelan pemasaran untuk memohon apa-apa sumbangan atau tajaan daripada mana-mana pihak. Untuk ini aku perlu ambil lebih masa. Terima kasih pada Fauzan kerana menolong dengan memberi sedikit nasihat dan tunjuk ajar serta cadangan. Walaupun sepatutnya dia yang kena buat pelan pemasaran tu! Ha!

Berlakon teater memang syok. Pancaran lampu profil atau sorot memang mengasyikkan. Bertambah syok apabila penonton memberikan reaksi spontan apabila melihat aksi pentas para pelakon.

Mengarah teater memang syok. Dua kali ganda syok berbanding jadi pelakon. Kerana pengarah syok apabila pelakon dapat beraksi seperti yang pengarah nak dan pengarah akan bertambah syok apabila pelakon berasa syok. Dan pengarah bertambah syok apabila penonton syok menonton.

Menerbit teater memang syok berganda-ganda. Penerbit syok bila seluruh ahli produksi syok, penonton syok dan duit pun syok (sudah tentulah bahagian keuntungan Penerbit paling tinggi!)

Bagaimana dengan Penulis Skrip? Syok atau tidak?

Sedang aku buat sedikit kaji selidik di internet tentang arts, performing arts, performance arts, visual arts untuk persiapan projek rahsia aku tu, aku terjumpa satu rujukan yang menarik.

Diambil daripada http://www.english.emory.edu/DRAMA/newmap.htm

Peta di atas menunjukkan perkembangan pergerakan dan pengaruh seni khususnya teater. Yang menjadi tumpuan aku adalah pergerakan pengaruh Dadaism yang seterusnya mempengaruhi bentuk teater surrealism dan absurdism (memandangkan memang ini niat aku untuk bentukkan Nasi Lemak 10 Sen).

Apa pun aku masih perlu belajar banyak lagi tentang Dadaism, surrealism dan absurdism kalau aku nak buat bentuk teater macam tu.

Jangan putus asa.

Jangan berhenti buat teater. (Tak mengapa untuk berasa kecewa, lemah semangat - ia akan terubat secara mudah dengan hanya berehat!)

Jangan berhenti belajar buat teater. Jangan berhenti untuk mencuba.

Dan.. jangan cakap sahaja pandai. Buatnya tidak.

Buat! Buat! Buat! Kah kah kah!


Yang gila,

Akin Muhammad
Diktator Agung
The Qum Actors
(001848149-M)

Khamis, Mac 17, 2011

PRA 38 - Nota Penerbit "Ash In The Ashes - The Mime Show"

Alhamdulillah selesai sudah produksi sulung The Qum Actors iaitu "Ash In The Ashes - The Mime Show" yang telah berlangsung pada 12 dan 13 Mac 2011 di Taman Budaya Kuala Lumpur. Sesungguhnya langkah pertama memang sukar. Namun tanpa ada langkah pertama, tiadalah langkah seterusnya.

Dari segi pementasan, saya amat berpuas hati dengan prestasi yang telah ditonjolkan oleh kedua-dua tunjang utama teater mime ini iaitu Asyraf Nazmie (Ash) dan Asyraf Maskan (Acab). Bagi saya, mereka berdua telah berjaya melakar sejarah tersendiri apabila berjaya melakonkan sebuah pementasan penuh mime yang membentuk sebuah cerita yang lengkap. Ash telah berjaya menjadi seorang watak wanita yang penuh dengan emosi. Sejujurnya sewaktu pertama kali saya melihat persembahan sewaktu raptai tempoh hari, saya berasa terkesan dan sebak dengan cerita Ash In The Ashes ini. Acab pula telah memainkan peranan yang baik lebih-lebih lagi dia telah membawa lebih daripada satu watak. Acab, dengan penampilannya tersendiri (rambut lah asetnya), berjaya memikat hati saya sebagai penerbit bersama teater mime ini.

Kredit juga harus diberikan kepada pengarah teater mime ini iaitu Dr.Shark yang telah berjaya memenuhi kehendak penerbit bagi mewujudkan kesesuaian cerita dengan tajuk "Ash In The Ashes" yang telah saya tetapkan dari awal penerbitan. Walaupun banyak piece lama yang telah dipentaskan semula, namun jalinan piece tersebut bagi membentuk jalan cerita yang baik harus diberikan pujian.

Sambutan terhadap pementasan teater mime ini kurang memberangsangkan. Pada malam pertama kami hanya menerima kunjungan 20 orang penonton manakala pada malam kedua hanya 3 orang penonton sahaja. Saya tidak sedih atau kecewa dengan situasi ini dan saya tidak perlu merasa malu. Saya juga tidak merasakan bahawa ini adalah kegagalan buat diri saya khususnya dan The Qum Actors, amnya. Bagi saya, show ini berjaya namun sudah pasti banyak lagi aspek-aspek yang perlu diperbaiki khususnya dari aspek pengurusan projek. Ya, pementasan ini mengalami kerugian dari segi wang ringgit dan saya merasakan antara faktor utama adalah seperti berikut:


1. Pengurusan projek yang kurang bagus.
Tiada pengurusan yang berstruktur. Tiada pembahagian tugas yang betul. Tiada sesiapa melantik sesiapa.


2. Pelan strategi promosi yang lemah.
Bergantung harap kepada promosi di internet seperti Facebook, blog, dan laman web seni malah iklan di surat khabar sekalipun tidak dapat menarik perhatian orang ramai kerana siapalah kami? Siapa The Qum Actors? Ya, profil TQA masih rendah dan oleh itu, pelan strategi yang unik dan sesuai perlu difikirkan pada masa akan datang.


Selesai projek show mime ini, saya semakin bersemangat hendak menerbitkan lebih banyak show untuk The Qum Actors. Produksi Nasi Lemak Seposen menanti, akan tetapi keputusan menangguhkan produksi ini yang sepatutnya berlangsung pada 9 April 2011 baru sahaja dibuat secara rasmi semalam dan dipersetujui oleh majoriti ahli produksi.

Hal ini menjadikan saya lebih bersemangat untuk mencari seberapa banyak ruang dan peluang untuk The Qum Actors menaikkan profilnya ke tahap yang lebih tinggi dalam bidang teater di Malaysia.

Saya dalam proses membuat persediaan dari segi bahan kertas kerja (proposal) untuk beberapa projek pada tahun ini. Saya juga sedang membuat kaji selidik terhadap tempat-tempat yang bersesuaian dengan program teater.


Saya mahu jadi seorang Penerbit Teater yang bagus. Tak hebat pun tak apa, yang penting bagus. Bajet bagus pun boleh lah.

Selasa, Mac 08, 2011

Ash In The Ashes / Debu Dari Debu-Debu

Aku dan rakan-rakan pentas aku dari The Qum Actors dan juga Tronoh Theatre Shop akan berfoya-foya di atas, bawah, tepi, depan dan belakang pentas pada hujung minggu ini.




Show ini juga merupakan show pertama terbitan The Qum Actors, menggunakan nama syarikat untuk menerbitkan persembahan, berbanding sebelum ini di mana kami hanya 'menumpang' show yang diterbitkan atas nama Tronoh Theatre Shop. Oleh sebab itu, bagi pihak TQA sendiri, aku ingin memohon maaf atas sebarang kekurangan dari segi pengurusan projek ini. Di sebalik kekangan masa saya dan rakan-rakan TQA yang sibuk dengan kerja masing-masing, kami tetap usahakan yang terbaik bagi melangkah tapak pertama TQA menerbitkan show pertama kami. Sudah tentu, kami tidak akan dapat merealisasikan projek ini tanpa bantuan TTS.

Sejak minggu lepas aku sibuk di tempat kerja. Banyak tuntutan datelines kerja yang perlu dituruti. Adakalanya aku rasa sangat penat tapi aku nak buat kerja teater ni tapi tak terbuat sebab tak bertenaga. Namun sebab itulah wujudnya sifat manusia iaitu TIDUR.

Untuk show hujung minggu ini, aku tak jangkakan show akan full house atau tiket habis dijual. Cukuplah sekadar ramai yang datang dapat lebih mengenali bentuk persembahan mime ini.

Dalam masa yang sama juga aku perlu berikan perhatian kepada perkembangan latihan Nasi Lemak Seposen aku yang masih bergerak perlahan. Biasanya aku akan rasa amat risau bila persediaan buat show tak cukup, tapi kali ini aku rasa macam aku masih boleh relaks. Sama ada aku terlalu yakin akan kemampuan pelakon-pelakon aku, atau aku memang tak terniat nak buat latihan berat-berat.

Cukuplah sekadar di sini. Kepada kawan-kawan aku di KL khususnya, jemputlah datang menonton show mime ni nanti ya!

Isnin, Mac 07, 2011

era kejatuhan itu sesuatu yang berlaku

bayangkan kalau

sebatang pokok

tiba-tiba akar dia hilang entah ke mana, begitu sahaja

apa akan jadi?

pokok jatuh?

pokok tumbang?

pokok mati?

atau pokok terapung-apung?

hanya Allah Maha Tahu

dan kalau sebatang pokok itu adalah aku?

jeng jeng