Jumaat, November 02, 2007

Suara Akin II - Episod 51 - Shhh... Rahsia!

Rahsia orang lain janganlah dibongkar.
Kasihan kat empunya rahsia.
Boleh jadi rahsia itu aibnya.
Boleh jadi bahan umpatan orang pula.
Boleh jadi pencetus sengketa ummah.
Rahsia disimpan, amanah dipegang.
Pecah amanah, mungkirlah janji.
Mungkir janji, munafiklah diri.

Kadangkala terlalu mudah buat mereka yang sudah terbiasa dengan komplikasi yang dipaparkan, sedang yang diwar-warkan pula hanya seperti kacang tanah.
Lebih mudah lagi apabila kacang tanah direbus.
Sedap dimakan jika rebusan betul dan kena cara.
Nasib kurang baik jika termakan yang rosak, yang busuk.

Baiklah, buat yang sedia ada mengetahui cara membaca petikan kefahaman dengan tepat, biarkan entri penuh rahsia ini punya rahsia hingga tidak terbendung lagi.
Saya tidak pasti atau yakin di luar sana, ramai yang mengharapkan sesuatu yang menguntungkan kehidupan mereka, tetapi apabila yang berlaku adalah sebaliknya, kekecewaan melanda secara tsunami.

Di sini saya ingin berkongsi sedikit mutiara kata hikmah yang saya petik dari sebuah situs internet, suatu masa dahulu kala:

"Orang yang terlalu memikirkan akibat dari sesuatu keputusan atau tindakan, sampai bila-bilapun dia tidak akan menjadi orang yang berani."

Teringat pula saya selepas menonton filem Indonesia berjudul "Kiamat Sudah Dekat".
Filem ini agak lama juga tersimpan di dalam cakera keras komputer peribadi saya.
Cuma masanya sahaja tidak ada yang mengizinkan.
Apa pun, malam hari terakhir minggu kuliah di sini, saya berjaya menghabiskan terus hingga ke minit terakhir.
Seperti biasa saya suka berkomentar tentang sesebuah cerita.
Ya. Ia sememangnya hanya cerita.
Dan cerita itu direka.
Bukanlah bererti cerita itu rekaan semata-mata.
Kerana ada juga cerita yang diambil kisahnya dari kehidupan sebenar.
Walhal, cerita banyak yang mengisahkan tentang realiti kehidupan manusia sejagat.
Lihat sahaja drama-drama di televisyen.
Pelbagai nama diberikan khusus untuk slot-slot tertentu, khususnya pada waktu prima.

Kiamat Sudah Dekat membangkitkan isu agama Islam yang sudah tidak ada kaitan dengan gaya hidup masyarakat, padahal itu adalah amat salah.
Namun tema utama itu diserapkan pada tema cinta antara anak muda di mana apabila seorang anak muda yang hanya bercopkan Islam semata, jatuh cinta secara takdirnya pada seorang muslimah.
Muslimah juga berputik cinta dalam hatinya.
Namun bukan mudah hendak meraih tempat dalam hidup si muslimah.
Pelbagai syarat dikenakan oleh bapaknya kepada anak muda rocker.
Sudah pasti, syarat agama.
Sehinggalah syarat terakhir ilmu ikhlas yang sukar diukur oleh tanggapan manusia.
Namun apabila cinta itu tulus pada asalnya, keikhlasan sudah pasti tertanam sejak awal-awal, akhirnya cinta direstu, oleh keluarga, dan juga Pencipta dengan izinNYA.

Saya cukup tersentuh dengan babak anak muda rocker dan si muslimah di tempat berasingan bermonolog dan bermohon pada Tuhan, mohon dengan sangat (macam lagu hit single In-Saff pulak - "Mohon Dengan Sangat" kredit kepada Syafiee, Hafidz Gafa, Mekot, Aizad Faliq atas lagu tersebut) dan aksi menitis air mata yang turut membuatkan kelenjar air mata saya terangsang untuk mengeluarkan titisan jernih itu.
Terharu dan sebak dengan konfesi diri pada Pencipta, pada kekuasaanNYA.
Sesungguhnya diri ini khilaf yang banyak tidak diketahui.
Hanya taubat dan ampun yang dipinta bisa membersih segala dosa noda.
Mohonlah dengan sangat, apa sahaja yang baik di sisi Tuhan.
Semoga berkat dan rahmat Allah sentiasa di kurnia.
Bukan mudah sebuah filem mampu membuatkan saya menangis.

Saya bagi rating untuk filem ini secara keseluruhan: 8/10

Kiamat memang makin lama makin hampir.
Tetapi sejauh mana sudah kita bersedia untuk menghadapi kehidupan di hari-hari seterusnya?

Suara Akin II - Episod 50 - Kerana Cintaku ....

Saya baru sahaja selesai menonton siri drama Melayu, Kerana Cintaku Saerah.
Sebuah karya dan juga arahan Shahrul Ezad Mohameddin.
Saya tidak kenal siapa dia.

Saya tidak ada intensi secara terus untuk menghabiskan sekalian siri.
Tetapi tertarik kepada tajuknya sendiri, dengan menariknya montaj introduksi beserta lagu temanya, saya tetap menyaksikan, dari siang hingga ke malam.
Ditambah pula dengan cadangan beria-ia dari rakan saya yang mengenali saya hanya sebagai seorang yang menghargai teater, dan bukannya termodinamika.
Saya hargai ilmu lain juga, cuma terlalu teoritikal bukanlah preferens dalam suatu proses pembelajaran.

Kerana Cintaku Saerah merupakan kisah seorang lelaki cacat, yang cinta dan sayang pada temannya sejak kecil hinggalah meningkat dewasa.
Malangnya oleh sebab dia cacat, perempuan itu dengan jadi bodoh dan buta mata hati apabila seorang pelakon ekstra lelaki datang mencemarkan maruahnya secara sukarela ataupun istilah yang lain, berzina, yang mana sangat banyak berlaku baik di UTP mahupun di IPTA/IPTS lain mahupun di luar sana, di dalam Malaysia ini, yang mengangkat (kononnya) agama Islama agama rasmi dan wujudlah pula Islam Hadhari yang pada saya hanyalah omong kosong.

Perempuan bodoh buat keputusan ke KL.
Maklumlah, di KL, semua ada, kata orang.
Orang kampung ke KL sebab hendak cari rezeki katanya.
Akhirnya menjadi artis.
Boleh jadi kaya juga ya jadi artis ni.
Tapi kena lihat dulu lah, sama ada murahan atau tidak.
Artis murahan banyak kat sini.
Artis mangga, artis akademi(K), dan lain-lain artis seposen.
Berbalik kepada cerita, hidupnya sebagai artis tidak difokuskan dalam siri drama ini.
Hanya dikisarkan ketika kareer artisnya berada di tahap kemerosotan.

Antagonis yang dipaparkan oleh watak Mak Cik Ros dan anak lelaki kesayangannya, Jenal terlalu tidak berhati perut dan saya rasa, pengkarya ingin menyedarkan orang-orang Melayu ada yang sampai sebegitu rupa hati dan perut mereka, jika dibedah, padan dengan antagonism mereka, sungguh putih di luar, hitam di dalam siapa yang tahu?
Namun, watak itu jika sudah hitam perlu dilakukan sehitam yang mungkin supaya penghayatan dari satu sudut penonton dapat terhasil dengan semaksimum mungkin.

Sememangnya hidup ini sebahagian besar darinya adalah untuk membuat keputusan.
Sebetul mana pilihan dan keputusan kita, bergantung kepada sedalam/sejauh/semasak mana kita berfikir.

Wahai penghuni alam fana', fikirlah terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

Rating drama "Kerana Cintaku Saerah":
Jalan cerita: 7.5/10
Lakonan: 7.85/10
Mesej: 8/10
Sinematografi: 6.25/10


Apa lagi ya boleh diratingkan?

Suara Akin II - Episod 49 - Nun Aliff Berkuasa II

Ingatlah), ketika Yusuf berkata kepada ayahnya: "Wahai ayahku, sesungguhnya aku bermimpi melihat sebelas bintang, matahari dan bulan; kulihat semuanya sujud kepadaku." (12:4)


Saya pernah disarankan oleh sahabat saya suatu masa dahulu, agar diamalkan ayat suci di atas ini, atas tujuan dan dasar niat yang murni.
Oleh kerana sahabat saya itu punya keluarga berlatar belakangkan agama, saya mempercayainya, dan terus mengamalkannya kerana pada waktu itu pun, saya sudah terlalu terbawa-bawa oleh mainan akal dan minda yang lantas mempengaruhi gelodak jiwa, perasaan dan emosi nurani.
Setelah mengamalkan, saya berserah pada Allah Yang Kuasa.

Saya percaya bahawa setiap yang berlaku di dunia ini, atas musabab pelakunya iaitu manusia, di atas takluknya takdir dan tentuNYA, yang telah dicatat dan dicatit azali.
Oleh sebab itu, bila sesuatu, tidak kira yang baik yang buruk, yang suka cita yang duka lara, semuanya itu sudah pun terbentang di hadapan, cuma kita tidak ada kuasa mengerti, mengetahui sebelum ianya terjadi.
Lantas, manusia berfikir yang tidak berilmu, ataupun berilmu duniawi tidak rohaniah, ataupun yang ikut emosi atau hawa nafsu, menghukum dengan tidak endah akan pedulinya insan sekeliling pada diri mereka yang tersayang.

Saya dedikasikan khas entri-entri ini dan selepas ini, yang berbaur atau berbunyi berunsur-unsurkan sebegini, kepada seorang yang bernama Nun Aliff.
Dengan itu, saya fikir (dan rasa dengan perasaan), Nun Aliff berkuasa dua.

Bagi menutup;

Cinta datang kepada orang yang masih mempunyai harapan walaupun mereka telah
dikecewakan. Kepada mereka yang masih percaya, walaupun mereka telah dikhianati.
Kepada mereka yang masih ingin mencintai, walaupun mereka telah disakiti
sebelumnya dan kepada mereka yang mempunyai keberanian dan keyakinan untuk
membangunkan kembali kepercayaan.

Khamis, November 01, 2007

Suara Akin II - Episod 48 - Hang Tuah Kembali Beraksi.

Entah ide siapa yang bernas menganugerahkan gelaran Hang Tuah pada satu majlis makan malam di sini.

Saya tidak tahu.
Yang saya pasti, saya bahagia bersama insan tersayang buat masa ini.

Walaupun saya pelakon gagal (di cubaan pertama!), tetapi saya tetap pelakon yang mempunyai misi dan visi tersendiri untuk perjalanan teater nusantara.
Saya telah terjebak dengan dunia sastera sejak sebelum kareer teater bermula.
Saya telah mencampur adukkan segala-galanya dengan aktiviti logikal dalam otak saya, dengan kesusasteraan Melayu yang begitu menduga kesabaran sang pemikir dari Tronoh.

Oh makhluk bertandas.
Oh perfeksionis.
Oh sang pemikir siang.
Oh sang pencinta malam.
Oh Karam Singh Walia Melayu.
Oh Matahari Tuhan.
Oh manis gula kurang garam.
Oh, oh, oh...Oh hang pi mana???
Oh Hang Jebat... Oh Jebat..
Oh Hang Tuah.. Oh Dr HM Tuah...
Oh aktivis itu aktivis ini..
Oh pelakon murahan...
Oh puisi ciplak plagiat palsu bertopeng-topengan...
Oh, Oh, Oh...

Seperti mati hidup kembali, hukum karma tidak peduli.
Seperti murai kena cili padi, cakap lepas sesuka hati.

Isnin, Oktober 29, 2007

Suara Akin II - Episod 47 - Regenerasi Motivasi Untuk Satisfaksi Berintensikan Duniawi

Minggu ini merupakan minggu terakhir kuliah sebelum memasuki minggu belajar dan seterusnya peperiksaan akhir semester.
Boleh dikatakan semester ini agak singkat.
Mungkin banyak cuti.
Mungkin saya sendiri yang memperbanyakkan cuti sendiri.
Mungkin juga terlalu banyak beban kerja yang dikenakan pada bahu pelajar.
Dan mungkin juga dunia ini semakin hampir pada penghujungnya.
Siapa yang tahu melainkan ALLAH?
Kita hanya menunggu masanya.

Di minggu terakhir ini saya mampu menjalankan tanggungjawab sebagai seorang pelajar dengan sempurna, akhirnya.
Testimoni tentang itu boleh didapati daripada kawan-kawan serumah saya mahupun seangkatan dengan saya.
Walau bagaimana pun, sudah pasti saya berasa sedikit gundah akan jatuhnya prestasi akademik saya.
Ini tanggapan dan pemikiran yang kurang positif, mungkin, tetapi berdasarkan pengalaman hidup yang dilalui, saya tahu setinggi mana mahupun serendah mana saya dapat capai dalam satu jangka masa yang singkat.
Apa yang saya dapat harapkan adalah semuanya berjalan dengan lebih baik dan lancar sepanjang minggu belajar bermula 3 November dan diteruskan sehingga selesai peperiksaan pada 24 November ini.
Seperti biasa, cara belajar saya yang biasa, akan saya implemenkan.

Regenerasi motivasi perlu diinitiatifkan oleh diri kita sendiri, utamanya, sebelum ada pihak lain yang membantu.
Dalam jangka waktu yang pendek ini, motivasi untuk satisfaksi diri saya sendiri perlu diserapkan seefisien yang mustahil ke dalam jiwa menuntut ilmu dunia.
Satisfaksi saya dalam peperiksaan akhir.
Jenuh sudah saya berasa hambar dengan prestasi kerja kursus buat kebanyakkan subjek, di akhirnya haruslah saya mendapatkan, sekurang-kurangnya satisfaksi dalam proses pembelajaran.
Seperti sebelum ini juga.
Perkara yang sama atau hampir sama berlaku.
Oh ya. Bukan yang berlaku itu perkara akademika, tetapi perkara-perkara remeh, kecil dan tidak mustahak turut menerjah ruang hidup yang sempit untuk perkara atau benda sedemikian.
Oh kali ini saya ada berita baik untuk diri sendiri!
Saya harap kali ini ia memang-memang benar memperbaiki peribadi insani.
Dengan izin Yang Maha, sudah tentunya.


Sewaktu monolog dan mime.


Regenerasi Motivasi Untuk Satisfaksi Berintensikan Duniawi.
Tingkatkan kualiti dari pelbagai segi.
Bukan sekadar ilmiah.
Aqidah, ibadah, akhlak.
Daya mahir, daya fikir, daya saing, daya maju.
Semoga para pejuang di bumi ALLAH berjaya di bawah naungan rahmatNYA.

Ahad, Oktober 28, 2007

Suara Akin II - Episod 46 - Monolog & Mime

Ahad. 28 Oktober 2007. 10 pagi - 3 petang. MPH.

Pertandingan monolog dan 'mime' yang diadakan secara tertutup di antara para pelakon TTS telah pun berlangsung dengan jaya dan lancarnya.
Walaupun kebanyakkannya beralas-alasan (terutamanya yang dah agak tua, tetapi semua tetap memberi komitmen, tetap melakukan apa-apa persembahan sekalipun secara solo, sama ada monolog atau mime.

Seramai 17 pelakon yang masih aktif berstatus pelajar UTP telah membuat persembahan.
Jadi suka saya ingin berkomentar sedikit, satu demi satu, agar dapat diberi sedikit gambaran pada publik tentang persembahan para pelakon.

Persembahan dimulakan oleh Khairul Anwar.
Mime tentang pembedahan.
Dapat disaksikan sense of illogical dalam sebuah piece mime.
Nak buka perut hendak bedah sangat susah hingga akhirnya perlukan chainsaw.
Dia juga mengeluarkan jantung, bola dan tali usus yang panjang.
Tetapi satu sahaja yang cukup jelas apabila dia tidak melepaskan tangan dari badan mayat apabila beralih tempat sedikit.

Seterusnya, oleh Ainifadhilah dengan mime aksi di bahagian dapur.
Syafiq Faliq dengan monolog tentang cinta pada diri, keluarga, agama, bangsa dan negara.
Kemudian, Izzi dengan monolog tentang lalat.
Fauzan dengan Sumpah Si Tuah.
Diteruskan pula dengan saya sendiri yang sangat mengecewakan.
Hanif dengan mime yang saya tidak beri perhatian tentang apa.
Khairil dengan mime yang bergaya dan gerakan yang tajam, dengan muzik latar melankolik dengan ending yang juga melankolik.
Nisa dengan mime beraya di rumah orang.
Yasmin dengan mime beranak tak jadi.
Tasha dengan versi mami jarum monolog beraya di rumah orang.
Zul dengan monolog pengemis seposen. Cik... seposen cik... seposen...
Hafiz dengan mime orang kurus angkat berat yang cukup ilogik dan humorus.
Asyraf dengan monolog Bersama Profesor Samion dengan ujikaji penambahan ketinggian.
Azizi dengan monolog ala-ala Chef Wan tentang bapa mithali punya tiga anak.
Sabrina dengan monolog artis amatur rancangan realiti TV.

Saya rasa ada 17 peserta.
Tetapi di atas saya hanya menyebut 16 orang sahaja.
Siapakah yang tertinggal?

Dan pertandingan secara internal ini telah diadili oleh Cik Md Haris, Mr Rahmat Iskandar dan Dr Shark selaku ketua juri yang gila murai.

Walau apa pun, saya sebagai salah seorang ahli TTS berasa berbangga di atas komitmen pelakon junior dan sehingga dapat menewaskan kesemua pelakon lama TTS (yang lebih banyak pengalaman rasanya) kecuali Khairil.
Nasib baik ada wakil pemenang dari pelakon senior. (hehe..)
Saya berharap para pelapis ini dapat meneruskan perjuangan teater naungan Dr Shark, dan seterusnya mencari para pelapis yang berikutnya dan begitulah seterusnya.

Untuk persembahan monolog dan mime secara solo ini, apa yang penting adalah jalan cerita atau isi yang hendak disampaikan hendaklah tidak meleret, pendek, dan tepat.
Saya gagal membuat persembahan seperti biasa.
Jalan cerita yang tidak difahami, penghayatan watak yang teruk, gaya lakonan dan ekspresi yang palsu, tidak ada energi dan emosi yang sebenar dan lontaran suara yang lemah dek kurangnya faktor-faktor utama yang sebelumnya.

Persediaan mental adalah yang penting.
Gangguan emosi tidak boleh dibawa naik ke atas pentas.
Depresi, frustrasi dan seumpamanya.

Tahniah kepada pemenang.
Kalungan syabas dan pujian saya ucapkan kepada:

Anugerah Juri:
Pertama: Hafiz "Half"
Kedua: Asyraf "Acap"
Ketiga: Khairil

Anugerah Pilihan Orang Ramai (Pelakon TTS yang lain juga evaluasikan):
Pertama: Hafiz "Half"
Kedua: Khairil
Ketiga: Sabrina

Kepada yang tak menang, anda memang tak layak menang. (Hoho~)

Sabtu, Oktober 27, 2007

Suara Akin II - Episod 45 - Remedi 1,2 Saat

Marilah kita bersama-sama berehat sebentar.
Berehat di persinggahan.
Perhentian ke berapa entahnya.
Namun sekali aku berkata melodi, selantas itu jua gelora saraf aku bermain.
Semula.
Itulah cara Remedi Sensasi!,
aku.

Marilah kita bersama-sama mengimpikan cita-cita tinggi.
Menggunung tinggi menggapai langit biru.
Biru jadi putih sehingga sampai kayangan sebenar.
Bukan kayangan
Marilah kita bersama-sama menggunakan waktu terluang.
Untuk Remedi.
Hidup Remedi.
Demi Remedi.

Remedi Satu Saat.
Setelah begitu banyak tekanan demi tekanan dalam proses berulang.
Cara terbaik adalah Remedi.
Remedi oh Remedi...
Walaupun kau tiada di sisi namun kau tetap berbakti.
Remedi tiada di sini. Hatiku tetap semadi di halaman murni.

Khamis, Oktober 25, 2007

Suara Akin II - Episod 44 - Abrakadabra!

Ada magis tragedis depan mata!
Baru aku tonton dengan dua mata tertutup
manusia boleh memandang
Tapi itu bukan realistik!
Neuron aku hanya terima fakta
tak terima mitos, fantasi, mimpi
karut-marut dongeng susuk sepelusuk tanah air
tanah elemen semakin terkuasa
oleh air
air sejuk
dingin, panas jika haba, bazir jika biar
buang jika kena
titis bila tangis
pejal jadi ais
air mudah tukar sifat, karakteristik
tanah jadi harta
tapi neuron aku ada bilang
tanah sudah rata
sudah gondol gendala
sudah jadi tandas makhluk
makhluk bertandas!
tandas lawa dan mahal-mahal
tapi sia-sia
macam kencing atas tanah
kasihan duhai tanah
nasib dikau telah terpesong

Abrakadabra! Penghuni dunia fantasia
wujud akademi jadi agung
tapi alpa mana yang betul agung?
keliru sudah?
buntu sudah? tak tahu arah tuju, kelabu, hitam, putih?
atau berwarna-warni?
oh pelangi warna warni hidup sekejap
mati sewaktu
tiada pangkal tiada hujung bertemu
adilkah dikau pada pemuja?
bodohkah pemuja pada alam?
adilkah aku bertanya-tanya?

Seketika sahaja tamat magis sadis.
Telah aku tonton dengan mata-mata dan mata yang terbuka
tapi bodoh Kasim Selamat
celik-celik di siang hari, malam buta membuta ke pagi.

Selasa, Oktober 23, 2007

Suara Akin II - Episod 43 - Nun Jauh Nun Dekat

Ibarat bulan purnama terbelah dua.
Di bawah sinarnya itulah aku meratapi.
Hening yang panjang
siang yang kelam
setiap zarah darahku mengalir
pada itu jua rinduku terpinggir
pada yang sepi
sudah lama pergi
yang dinanti tidak menanti
yang ditunggu tidak menunggu
yang pergi pasti tidak kembali
yang kembali pasti mati
tidak mengenali
tidak dikenali

Perinya sekeping hati bak lembutnya hembusan bayu pagi
hembus nafas lemah
satu demi satu
satu itulah tanda
satu itulah benda
satu itulah perkara
sudah tentu satu itu dari esanya sesuatu yang satu
sudah pasti satu itu dari satunya Yang Maha Esa

Nun jauh nun dekat
jua mata pemandang
dekat jua mata
si kaki temberang
nun alif di hadapan
sedar tidak di belakang alif nun


Pena tidak berfikir, kalam tidak mengukir
hati yang menunduk, nurani yang merukuk
walhal cukuplah sedikit sapaan
cukuplah jua membentuk senyuman

Khamis, Oktober 18, 2007

Suara Akin II - Episod 42 - Edisi Raya - Komentaris

Suka saya berkomentar tentang filem Melayu yang baru ditayangkan mulai 1 Syawal tempoh hari iaitu Otai.
Arahan Prof Madya Abd Razak Mohaideen.
Filem itu macam biasalah.
Masih stail beliau.
Dan sebab sudah banyak juga filemnya yang saya dah tonton, jadi Otai kali ini difikirkan dan dirasakan sudah lapok.
Saya bosan menontonnya.
Malang sekali hanya sekali dua sahaja saya dapat tersenyum dan sengih dengan komedinya itu.
Nak gelak ketawa jauh sekali.
Walaupun ada Saiful Apek.
Tambah kurang lagi dengan tidak berkesannya lakonan heroin dalam filem ini, yang menjadi kedua isteri Aiman (Saiful Apek).
Aznil dan teman pengacaranya pula tidak sebaik Aznil sendiri dalam talkshow terbaik Asianya itu.
Dengan itu, saya bagi 3/10.
Entah berapa sekejapnya filem ini dibikin.

Sebut tentang bosan tengok filem, filem melayu paling bosan pernah saya tonton adalah Cinta Yang Satu.
Filem baru tahun ini juga.
Bosan sangat sehingga saya terpaksa tengok dengan melompat-lompat dari babak ke babak dan terus ke kesudahan cerita itu.
Nasib baik tidak tengok di pawagam.
Tidak mahu bagi rating kerana tidak ada rating bagi saya.

Setakat ini yang paling membasahkan gusi saya adalah filem Senario yang awal-awal dahulu, bukan yang terbaru.
Selain itu juga filem Ahmad Idham, Tentang Bulan.
Maklumlah, gelagat anak-anak kecil.
Mesti saya gembira.

Saya banyak juga beli beberapa keping VCD/DVD filem melayu klasik dan juga yang baru.
1. Sumpah Orang Minyak.
2. Hang Jebat.
3. Setinggan.
4. Kami.
5. Sayang Salmah.
6. Buai Laju-laju.
7. Gong.
8. Diva.
9. Impak Maksima.
10. Kayangan.

Saya ingat hendak beli Puteri Gunung Ledang yang baru, tetapi terlupa pada awalnya jadi bajet pun sudah lari tidak dapat membelinya.

Saya sudah tonton Sumpah Orang Minyak, Kami dan Impak Maksima.
Saya tengok filem Sumpah Orang Minyak (SOM - Strength of Materials? Duh~) pun disebabkan tidak lama lagi akan ada filem baru Orang Minyak.
Jadi kenalah tengok cerita yang diinisiatifkan terlebih dahulu.
Filem Kami pula dengan penampilan Sudirman.
Rasanya saya pernah tengok cerita ini dahulu di TV.
Apa pun, ceritanya bagus.
Maksud saya, dari segi pengisian dan pengajarannya.
Filem Impak Maksima boleh dikatakan seperti Pantas & Ghairah: Malaysia Drift.
Ada adegan aksi perlawanan kereta 'Drag' dan 'Drift'.
Namun, saya katakan ia masih di peringkat awal.
Masih banyak lagi yang perlu diperbaiki.
Filem klasik Setinggan juga saya sudah tengok.
Kelakar cerita ini. Lebih-lebih lagi bila tengok dengan rakan-rakan teater saya. Waktu latihan pentas pun masih meniru aksi komedinya. Haha!

Selepas ini saya menanti untuk menonton filem animasi baru Budak Lapok (animasi Bujang Lapok waktu kecil mereka).
Dan juga filem baru Suhaimi Baba akan datang iaitu 1957: Hati Malaya.
Dengan penampilan para pelakon utama yang sudah pernah memenangi anugerah.
Filem arahan dan lakonan Pierre Andre pula iaitu 9 September tidak akan saya lepaskan.
Mana tidak teruja saya hendak menyaksikan Pierre Andre dalam filem Box-Office Jangan Pandang Belakang berlakon dalam filem arahannya sendiri!
Macam Aziz M Osman dalam filem XX Ray nya..
Ataupun Afdlin Shauki dalam filem-filemnya.
Saya tidak tahu lagi bagaimana sukarnya berlakon utama sambil mengarah.

Wishlist:
1. VCD Puteri Gunung Ledang (2004).
2. Filem-filem P. Ramlee.
3. Filem-filem klasik yang lain seperti lakonan Wahid Satay.