Ahad, Oktober 05, 2014

Bukan Senang Untuk Jadi Macam Papa

Qaireen Insyirah, dan
Qa'id Irfan

Ini wasiat papa yang kedua, buat kamu berdua:

Hidup ini tidak mudah
Jika kamu jadi macam papa
Jadi jangan ikut papa
Jangan jadi macam papa
Jangan contohi papa
Papa bukan contoh orang yang baik
Jangan jadi macam papa
Kalau kamu mahu hidup kamu mudah

Kalau kamu jadi macam papa
Orang tak akan suka berkawan dengan kamu
Orang akan mengata kamu
Walaupun kamu akan berkata
Peduli apa orang lain kata, biar kita jadi sendiri

Ya, betul
Itu yang papa nak sampaikan
Jadilah diri sendiri
Jangan jadi macam papa
Jangan contohi papa
Jangan ikut macam papa

Kerana
Bukan senang untuk jadi macam papa



Ahad, Mac 24, 2013

Insyirah (IV)

beranak, adalah satu titik pusing yang cukup ketat. dalam hidup yang serba ketat. perasaannya tak selalu kelat, kadang-kadang, apabila beranak itu mencabar ketauhidan.

insyirah kini berusia lapan bulan lebih. semakin aktif. semakin kenal kehidupan dunia. insyirah, bagi diri aku, adalah seorang anak yang hebat dan luar biasa.

hidup aku sebenarnya tidak kompleks. hanya ada ibu, ayah, abang-abang, isteri dan anak. tetapi sebenarnya aku terlupa, yang aku juga ada hidup aku yang satu lagi.

kasihan sahaja tidak cukup untuk aku berikan kepada the qum actors. mungkin salah aku juga yang tiba-tiba menjadi mati tatkala the qum actors baru sahaja bertatih.

namun tidak adil untuk aku menyalahkan diri sendiri. aku lebih mengutamakan anak aku dan isteri aku. ia bukan alasan. ia adalah sebab. sebab untuk aku hidup.

namun tidak adil pula untuk aku menjadikan anak dan isteri sebagai sebab. dengan tugasan kerjaya yang semakin mencabar, cukup untuk aku katakan, manusia tidak pernah berasa dunia ini adil walaupun sebenarnya dunia ini sudah cukup adil kerana ia ditadbir oleh Yang Maha Adil.

aku bukan pejuang keadilan. aku bukan pejuang kemanusiaan. aku bukan pejuang seni. aku bukan pejuang apa-apa pun. aku hanya seorang ayah yang sedang belajar untuk menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

insyirah kini manja dengan ibunya. tidak keruan bila ibunya tiada di pandangan mata. insyirah hanya rindukan ayahnya bila ayahnya sudah tidak lama memeluk dan menciumnya dan bermain dengannya.

aku telah gagal meneruskan usaha membangunkan the qum actors, lalu aku membiarkan diri aku mati di dalam jiwa sendiri. dan lebih sedih lagi, aku melihatnya sendiri mati terkapai-kapai.

aku harap, ia hanya mati yang sementara.






walaupun jiwa aku kadang-kala terpanggil untuk hidup semula. tetapi insyirah adalah lebih hidup. dan dia adalah sebab untuk aku terus hidup dan meninggalkan yang mati itu.


Ahad, Oktober 07, 2012

Qaireen Insyirah (III)

Tidak dapat memikirkan judul entri yang sesuai selain Qaireen Insyirah.
Kali ini, setelah sekian lama menyepi, aku ingin berpuisi.
Walaupun aku sedar, aku sudah tidak mampu berpuisi lagi.
Jadi tidak layak aku labelkan tulisan aku di bawah ini sebagai puisi.
Kerana aku bukanlah seorang pemuisi.


"Andai Papa Pergi Dulu"

Insyirah,
andai papa pergi dulu
berlapanglah dada
berlapanglah hati
berlapanglah fikiranmu
bertenanglah
seolah-olah tiada apa yang berlaku
papa mahu kamu selalu bertenang
dengan orang-orang lain di luar sana
yang bermacam-macam

Insyirah,
saat kamu lahir ke dunia ini
saat pertama kali papa melihat matamu
saat pertama kali papa mendengar suara rengekanmu
papa rasa amat terharu
mulai saat itu
baru papa dapat merasai nikmat sebenar kasih sayang seorang papa kepada anaknya
ya, ia cukup indah
tidak dapat papa gambarkan melalui kata-kata
hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana indahnya perasaan itu

Insyirah,
papa ingin menjadi seorang papa yang terbaik buat diri kamu
di dunia, sehingga ke akhirat sana
jika papa gagal untuk menjadi seorang papa yang terbaik sekalipun
ketahuilah bahawa papa telah cuba untuk menjadi papa yang terbaik buat kamu

Insyirah,
andai papa pergi dulu
jagalah diri kamu baik-baik
jagalah diri mama kamu baik-baik
jagalah jiwa seni papa ini baik-baik
bacalah puisi-puisi merapu papa yang telah papa karang selama ini
dan
papa wasiatkan laman blog ini buat kamu
username: myusufa8192@gmail.com
kata laluan: nama mainan pertama yang papa belikan untuk kamu (dalam huruf kecil kesemuanya) diikuti dengan empat digit terakhir nombor pengenalan diri kamu

Insyirah,
andai papa pergi dulu
ketahuilah bahawa papa sayangkan kamu dari saat kamu dilahirkan sehingga ke alam abadi

Terima kasih, Qaireen Insyirah.

Khamis, Ogos 09, 2012

Qaireen Insyirah (II)

Hampir 5 bulan aku tidak menulis di sini. Bukannya tiada niat untuk menulis, cuma situasi hidup tidak berapa mengizinkan. Sudah pasti, ada perkara lain yang lebih penting daripada menulis di dalam blog mahupun melayari laman sosial.

Entri terakhir aku sebelum ini berjudul Qaireen Insyirah. Alhamdulillah, sekarang, itu adalah nama rasmi cahaya mata sulung aku bersama isteri. Ketika ini, Qaireen Insyirah sudah genap berusia satu bulan. Siang tadi sudah mendapatkan imunisasi Hepatitis B. Aku sendiri pun tak pasti sama ada aku pernah dapat imunisasi itu atau tidak. Yang penting, Qaireen Insyirah membesar dengan sihat sejahtera.

Menjadi seorang bapa adalah satu keseronokan buat diri aku. Berbekalkan pengalaman hidup yang tidak seberapa - tidak pernah pegang bayi kecil sepanjang hidup, tidak pernah tukar lampin, tidak pernah mandikan bayi dan sebagainya - aku merasakan itu adalah satu cabaran dan pengalaman baru yang menyeronokkan.

Qaireen Insyirah adalah seorang anak perempuan yang baik dan kuat. Dia tidak banyak meragam tak tentu fasal. Hanya menangis bila mahu menyusu dan mahu tukar lampin selepas buang air. Selain daripada itu, dia lebih cenderung untuk menyimpan suara dan tenaganya untuk perkembangan otak dan fizikalnya.

Menjadi seorang ibu dan bapa ini juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap keluarga, terutamanya dari segi agama. Keimanan ibu dan bapa sudah pasti teruji. Satu pengalaman baru yang aku lalui adalah terlalu banyak 'adat' atau 'petua' orang-orang tua yang sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam, sejak dari hari pertama Qaireen Insyirah dilahirkan. Aku amat memandang serius hal ini dan seringkali memberi pesanan dan mengingatkan isteri aku supaya tidak terpengaruh dengan semua 'adat-adat' itu dan jangan sesekali melakukannya. Alhamdulillah, aku dikurniakan seorang isteri yang baik, yang mendengar kata-kata suami. Semoga syurga buat isteri yang mentaati suaminya.

InsyaAllah, aidilfitri tahun ini lebih manis buat diri aku, bersama isteri dan anak tercinta.



Sabtu, Mac 17, 2012

Qaireen Insyirah

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Hidup ini penuh dengan nikmat Allah. Jadi kita kena sentiasa bersyukur. Tidak dapat dinafikan lagi, jiwa aku selepas hampir setengah tahun berkahwin ini semakin tenteram. Hari-hari aku dipenuhi dengan kebahagiaan rumah tangga bersama isteri. Kandungan isteri aku juga sudah berusia 5 bulan. InsyaAllah bulan Ramadan ini aku akan naik pangkat menjadi seorang ayah pula. Semuanya berlaku secara pantas. Dan secara pantas juga aku perlu mempersiapkan diri aku untuk menjadi seorang suami yang baik kepada isterinya, dan seorang ayah yang baik kepada anaknya.

Tanggungjawab seorang suami dan ayah adalah berat. Ia tidak semudah yang disangka. Dalam hidup berumah tangga dan berkeluarga, perlu banyak disiplin diri yang perlu dipupuk. Perlu banyak bersabar, perlu banyak berkorban, perlu rajin - pendek kata, perlu kuat mental dan fizikal, rohani dan jasmani. Sudah tentu kita mahukan yang terbaik dalam hidup kita, bukan?

Buat masa kini, tiada yang lebih penting dalam hidup aku selain keluarga dan kerjaya. Walaupun terselit di antara dua itu jiwa seni teater yang tidak akan padam, namun aku merasakan keluarga dan kerjaya adalah lebih berbaloi untuk aku berikan tumpuan buat masa ini. InsyaAllah jika semuanya sudah stabil, memang aku akan membawa isteri dan anak aku nanti untuk menonton pementasan teater produksi aku, dan tidak mustahil, melihat sendiri ayahnya beraksi di atas pentas.

Sedang dunia ini semakin banyak kezaliman dan kekejaman manusia ditonjolkan, aku dan isteri aku telah membeli set buku pelajaran Bahasa Inggeris untuk anak kami nanti. Yakin bahawa ilmu itu adalah 'kuasa', sudah tentu set pelajaran Bahasa Inggeris sahaja tidak cukup. Set-set buku pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Agama juga harus disediakan. Walaupun anak kecil nanti akan lebih suka dengan permainan, tetapi pelajarannya tidak boleh diabaikan. Set buku pula yang dibeli dahulu. Kelengkapan bayi belum beli lagi. Minggu depan baru nak pergi beli. 

Mungkin sebab aku tidak mahu anak aku jadi macam aku waktu kecil dahulu. Sudah masuk sekolah rendah tapi masih tidak pandai membaca. Masuk tadika tak belajar apa-apa kot. Nyanyi, main, melukis sahaja yang aku ingat. Pernah juga cikgu tadika test suruh budak-budak baca surah al-Fatihah sorang-sorang depan cikgu tapi masa tu aku rasa takut sangat kalau cikgu panggil aku suruh baca al-Fatihah sebab aku tak reti. Tapi nasib baik masa tu dah nak balik. Aku juga masih ingat waktu Darjah 1 cikgu suruh sambungkan suku kata tapi aku tak pandai. Sejak dari peristiwa itu yang masih segar lagi dalam ingatan aku (bayangkan betapa kuatnya impak peristiwa itu pada aku), mak aku mengambil inisiatif mengajar aku membaca. Dan sudah tentu aku masih ingat buku yang mak aku guna untuk ajar aku membaca tu: Pak Mat Teksi. Kebetulan pula bapak aku Pak Mat, dan bapak aku pemandu teksi. Sekarang teksi tu masih di bengkel sejak awal bulan 11 tahun lepas dek dilanggar belakang oleh sebuah lori.

Hidup ini terlalu singkat untuk kita bazirkan dengan sesuatu yang tidak berbaloi.


Isnin, Februari 20, 2012

Kembali Lagi Selepas Kembali

Memang semakin sukar sekarang ini untuk aku ambil sedikit masa menulis sesuatu di sini. Namun memang aku pilih untuk mendiamkan diri buat sementara waktu, jadi pasif, jadi penonton, berselindung di sebalik bayang aku sendiri, jadi orang biasa, kutip pengalaman bersama waktu dan seumpamanya. Kerjaya aku biasa-biasa sahaja. Ia tetap ibadat yang perlu dilakukan kerana Allah. Keluarga aku pula semakin lama semakin aku hargai dan sayang. Seorang isteri sememangnya pelengkap kepada seorang lelaki. Jika sudah ada anak pula nanti, sudah tentu keluarga bahagia. Kebahagian di dunia dan di akhirat adalah matlamat. Teater pula, sedikit sukar untuk aku gerakkan The Qum Actors seaktif dua tahun yang lepas. Mungkin sahaja orang lain yang perlu gerakkan dengan lebih agresif. Sejak tahun baru 2012 ini, aku hanya sempat tonton dua buah teater setakat ini, dan pergi pameran seni sekali. Walaupun aku suka untuk mengulas tentangnya tapi sudah tentu aku tidak punya masa (ulasannya hanya siap sekerat sahaja). Di fikiran aku sudah tentu banyak idea dan perancangan projek dan aktiviti teater tetapi hanya Tuhan sahaja yang tahu bila aku dapat laksanakannya. Tetapi yang pasti aku akan buat juga.


Ahad, Januari 29, 2012

(Bayi) Tabung Uji

Sejak beberapa tahun dahulu, sudah bermain-main di fikiran aku untuk mencipta sebuah karya teater berjudul "Tabung Uji" yang mengisahkan seorang bayi yang menjalani kehidupan sewaktu di dalam kandungan seorang ibu - dari saat persenyawaan sehinggalah bayi itu keluar dan menangis. Tetapi ianya masih belum berhasil kerana imaginasi aku belum cukup tinggi untuk membayangkan kehidupan seorang bayi itu.

Mungkin tidak lama lagi, dengan izin Allah, sekurang-kurangnya aku boleh mengerti kehidupan seorang bayi dan implikasinya terhadap ibunya dan bapanya.


Ahad, Disember 04, 2011

Kembali

Sejak beberapa bulan yang lalu, aku sangat sibuk. Masa untuk bersenang lenang, bergoyang kaki dan berhibur memang tiada. Selain sibuk dengan urusan perkahwinan, sibuk juga dengan tugasan di tempat kerja. Jika ada masa luang pun, aku gunakannya untuk berehat sahaja.

Kahwin memang seronok, tetapi ia bukan perkara main-main, bukan suka-suka. Ia perlukan komitmen. Sama macam main teater juga lah. Berlakon teater memang seronok, tetapi ia bukannnya perkara main-main, mungkin juga ada yang buat kerana suka-suka tetapi ia tetap perlukan komitmen.

Sebut pasal teater, aku memang dah lama tak bergiat dalam teater. Dah lama juga tak menonton teater. Perkembangan teater di Kuala Lumpur ini pun aku tidak ikuti sejak beberapa bulan yang lepas. Baru sekarang aku ada kesempatan untuk kembali mengikuti perkembangan teater. Oleh itu, suka untuk aku mulakan dengan sebuah teater terbaru berjudul "Maharaja Beruk" yang akan dipentaskan oleh Tronoh Theatre Shop di UTP pada 17 & 18 Disember 2011 ini. Karya dan arahan Dr. Shark, sifu teater aku.


Dr. Shark masih tetap dengan konsep kebinatangannya sejak teater Mahkamah Lorong yang lalu. Mungkin dia masih belum puas dengan kebinatangan itu. Kebinatangan itu sebenarnya sesuatu yang mudah. Kemanusiaan pula sesuatu yang kompleks. Jika kita lihat seekor kucing dari kaca mata seorang manusia, ia hanya seekor kucing yang makan, tidur, kencing, berak dan mengawan. Tidak perlu memikirkan soal pemerintahan negara atau sebagainya. Walaupun manusia juga melakukan perkara yang serupa makan, tidur, kencing berak dan mengawan, tetapi dari kaca mata kucing pula memandang manusia itu begitu kompleks. Manusia terlalu subjektif untuk ditafsirkan. Boleh jadi manusia itu nampak baik dan cantik tetapi hatinya busuk. Boleh jadi manusia itu nampak tak cantik atau nampak jahat tetapi hatinya mulia.

Namun si kucing tetap mengakui bahawa manusia adalah sebaik-baik kejadian. Jadi seharusnya manusia juga sedar akan hakikat sebaik-baik kejadian itu.

Pada poster terpampang muka pelakon bagi watak utama Maharaja Beruk iaitu Nik. Bila Nik berlakon watak utama sudah tentu aku rasa teruja untuk menonton kerana pembawaan watak Nik sepanjang penglibatannya dalam teater tidak mengecewakan aku. Aku harap aku dapat tengok teater ini. Jika tak ada rezeki untuk tengok di UTP, harap-harap dapat tengok di KL nanti.

The Qum Actors pula seperti biasa. Ada terima beberapa undangan untuk mempersembahkan mime dalam beberapa acara. Mungkin sedikit perlahan perkembangannya buat masa kini. InsyaAllah aku akan cuba yang terbaik menguruskan masa untuk kerjaya, keluarga dan teater.


Ahad, Oktober 23, 2011

Satu Titik Plot Kehidupan


Alhamdulillah. Aku telah diijabkabulkan dan kini bergelar suami kepada pasangan pilihan aku.
Mungkin ada sedikit kejutan budaya tetapi ia tidak menjadi masalah jika telah bersedia mental dan fizikal.
Satu lagi titik pusing dalam kehidupan aku, satu lagi titik plot klimaks kehidupan. 
Tetapi tidak terus menuju kepada perleraian jalan cerita kehidupan manusia.
Perleraian cerita ini sudah pasti kematian.

Bagi yang mengenali diri aku, jemput hadir ke majlis perkahwinan aku:

Pada 12 NOVEMBER 2011
Alamat No. 49, Jalan Inai 5, Seksyen BB3, Bukit Beruntung, 48300 Rawang, Selangor.

Pada 19 NOVEMBER 2011
Alamat Pos 19, Kampung Parit Samijan, Parit Raja, 86400 Batu Pahat, Johor.


Selepas berkahwin, tanggungjawab dan komitmen aku semakin bertambah.
Tetapi itu tidak bermakna aku harus berhenti terus daripada berteater. Mungkin masa untuk teater akan berkurang. Tetapi aku masih boleh hasilkan karya aku dan pentaskannya. Kemungkinan besar aku hanya akan jadi penerbit atau pengurus sahaja.

Sudah tentu bila sudah berkahwin aku punya perancangan masa hadapan.
Perkembangan kerjaya dan keluarga adalah yang utama.

Rabu, Ogos 24, 2011

Ekslusif: theXpert

Entri kali ini ekslusif sedikit. Cadangnya aku tidak mahu menulis apa-apa langsung sampai aku selesai dengan perkahwinan aku nanti. Malah aku memang sedang berehat daripada melakukan aktiviti luar selain kerjaya. Fokus aku terhadap diri aku dan perkembangan diri aku.

Waktu aku di sekolah menengah dulu, aku ada 3 orang kawan baik: Adnan, Uzair dan Solehen. Kami menggelarkan diri kami atau geng kami ini sebagai "theXpert" atau singkatannya "TX". Aku tak ingat siapa punya idea bagi nama theXpert tu. theXpert tu sebenarnya melambangkan keyakinan diri kami yang tinggi yang setiap seorang daripada kami ada 'expertise' atau kepakaran tersendiri. Aku pun dah tak pasti apa 'kepakaran-kepakaran' tu. Biasalah, budak-budak baru nak meningkat naik. Syok sendiri saja ni.

Dari kiri: Uzair, Solehen, aku, Adnan

Dalam theXpert, kami ada nama samaran masing-masing. Nama gelaran aku adalah "drkines", Adnan pula "alien46", Uzair pula "whizkid" dan Solehen pula "zint". Tengok gaya lebih kepada nama nickname di mIRC dulu-dulu. Uzair dulu pengawas sekolah, manakala aku, Adnan dan Solehen pula pembimbing rakan sebaya.

Kami jugak ada beli baju-T yang sama. Baju tu aku masih ada dan kadang-kadang aku pakai buat basahan di kampung.

Sebenarnya aku terpanggil untuk menulis tentang kisah ini sebab tahun ini, 3 orang daripada ahli-ahli TX ini menamatkan zaman bujangnya.

Adnan baru sahaja berkahwin pada bulan Jun yang lalu bersama pasangan pilihannya sejak dari sekolah menengah lagi. Alhamdulillah jodoh mereka berdua sampai juga akhirnya. Adnan merupakan graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dari UTHM.

Uzair pula akan berkahwin pada bulan September ini, juga dengan pasangan pilihannya sejak dari sekolah menengah lagi. Alhamdulillah jodoh mereka berdua akan sampai juga akhirnya. Uzair pula graduan Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Elektrik / Elektronik (ke Mekatronik? aku tak berapa pasti) dari UTHM.

Aku pula insyaAllah akan berkahwin pada bulan November ini, dengan pasangan pilihan aku yang aku kenal sejak tahun dua pembelajaran aku di UTP. Jadi sekarang memang sedang sibuk dengan persiapan kahwin.  Kami berharap semuanya akan berjalan dengan lancar.

Tahun ini, ketiga-tiga orang dalam gambar ni tidak teruna lagi

Jadi sekarang ini sedang menunggu berita gembira daripada Solehen, yang sekarang masih bercinta dengan pasangan pilihannya sejak dari sekolah. Semoga jodoh mereka akan sampai insyaAllah.

Kepada Adnan dan Uzair (walaupun kebarangkalian besar mereka tidak membaca entri blog ini), tahniah aku ucapkan dan semoga perkahwinan berkekalan hingga ke syurga.