Assalamualaikum.
Alhamdulillah. Hidup ini penuh dengan nikmat Allah. Jadi kita kena sentiasa bersyukur. Tidak dapat dinafikan lagi, jiwa aku selepas hampir setengah tahun berkahwin ini semakin tenteram. Hari-hari aku dipenuhi dengan kebahagiaan rumah tangga bersama isteri. Kandungan isteri aku juga sudah berusia 5 bulan. InsyaAllah bulan Ramadan ini aku akan naik pangkat menjadi seorang ayah pula. Semuanya berlaku secara pantas. Dan secara pantas juga aku perlu mempersiapkan diri aku untuk menjadi seorang suami yang baik kepada isterinya, dan seorang ayah yang baik kepada anaknya.
Tanggungjawab seorang suami dan ayah adalah berat. Ia tidak semudah yang disangka. Dalam hidup berumah tangga dan berkeluarga, perlu banyak disiplin diri yang perlu dipupuk. Perlu banyak bersabar, perlu banyak berkorban, perlu rajin - pendek kata, perlu kuat mental dan fizikal, rohani dan jasmani. Sudah tentu kita mahukan yang terbaik dalam hidup kita, bukan?
Buat masa kini, tiada yang lebih penting dalam hidup aku selain keluarga dan kerjaya. Walaupun terselit di antara dua itu jiwa seni teater yang tidak akan padam, namun aku merasakan keluarga dan kerjaya adalah lebih berbaloi untuk aku berikan tumpuan buat masa ini. InsyaAllah jika semuanya sudah stabil, memang aku akan membawa isteri dan anak aku nanti untuk menonton pementasan teater produksi aku, dan tidak mustahil, melihat sendiri ayahnya beraksi di atas pentas.
Sedang dunia ini semakin banyak kezaliman dan kekejaman manusia ditonjolkan, aku dan isteri aku telah membeli set buku pelajaran Bahasa Inggeris untuk anak kami nanti. Yakin bahawa ilmu itu adalah 'kuasa', sudah tentu set pelajaran Bahasa Inggeris sahaja tidak cukup. Set-set buku pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Agama juga harus disediakan. Walaupun anak kecil nanti akan lebih suka dengan permainan, tetapi pelajarannya tidak boleh diabaikan. Set buku pula yang dibeli dahulu. Kelengkapan bayi belum beli lagi. Minggu depan baru nak pergi beli.
Mungkin sebab aku tidak mahu anak aku jadi macam aku waktu kecil dahulu. Sudah masuk sekolah rendah tapi masih tidak pandai membaca. Masuk tadika tak belajar apa-apa kot. Nyanyi, main, melukis sahaja yang aku ingat. Pernah juga cikgu tadika test suruh budak-budak baca surah al-Fatihah sorang-sorang depan cikgu tapi masa tu aku rasa takut sangat kalau cikgu panggil aku suruh baca al-Fatihah sebab aku tak reti. Tapi nasib baik masa tu dah nak balik. Aku juga masih ingat waktu Darjah 1 cikgu suruh sambungkan suku kata tapi aku tak pandai. Sejak dari peristiwa itu yang masih segar lagi dalam ingatan aku (bayangkan betapa kuatnya impak peristiwa itu pada aku), mak aku mengambil inisiatif mengajar aku membaca. Dan sudah tentu aku masih ingat buku yang mak aku guna untuk ajar aku membaca tu: Pak Mat Teksi. Kebetulan pula bapak aku Pak Mat, dan bapak aku pemandu teksi. Sekarang teksi tu masih di bengkel sejak awal bulan 11 tahun lepas dek dilanggar belakang oleh sebuah lori.
Hidup ini terlalu singkat untuk kita bazirkan dengan sesuatu yang tidak berbaloi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan