Ahad, Oktober 07, 2012

Qaireen Insyirah (III)

Tidak dapat memikirkan judul entri yang sesuai selain Qaireen Insyirah.
Kali ini, setelah sekian lama menyepi, aku ingin berpuisi.
Walaupun aku sedar, aku sudah tidak mampu berpuisi lagi.
Jadi tidak layak aku labelkan tulisan aku di bawah ini sebagai puisi.
Kerana aku bukanlah seorang pemuisi.


"Andai Papa Pergi Dulu"

Insyirah,
andai papa pergi dulu
berlapanglah dada
berlapanglah hati
berlapanglah fikiranmu
bertenanglah
seolah-olah tiada apa yang berlaku
papa mahu kamu selalu bertenang
dengan orang-orang lain di luar sana
yang bermacam-macam

Insyirah,
saat kamu lahir ke dunia ini
saat pertama kali papa melihat matamu
saat pertama kali papa mendengar suara rengekanmu
papa rasa amat terharu
mulai saat itu
baru papa dapat merasai nikmat sebenar kasih sayang seorang papa kepada anaknya
ya, ia cukup indah
tidak dapat papa gambarkan melalui kata-kata
hanya Tuhan sahaja yang tahu bagaimana indahnya perasaan itu

Insyirah,
papa ingin menjadi seorang papa yang terbaik buat diri kamu
di dunia, sehingga ke akhirat sana
jika papa gagal untuk menjadi seorang papa yang terbaik sekalipun
ketahuilah bahawa papa telah cuba untuk menjadi papa yang terbaik buat kamu

Insyirah,
andai papa pergi dulu
jagalah diri kamu baik-baik
jagalah diri mama kamu baik-baik
jagalah jiwa seni papa ini baik-baik
bacalah puisi-puisi merapu papa yang telah papa karang selama ini
dan
papa wasiatkan laman blog ini buat kamu
username: myusufa8192@gmail.com
kata laluan: nama mainan pertama yang papa belikan untuk kamu (dalam huruf kecil kesemuanya) diikuti dengan empat digit terakhir nombor pengenalan diri kamu

Insyirah,
andai papa pergi dulu
ketahuilah bahawa papa sayangkan kamu dari saat kamu dilahirkan sehingga ke alam abadi

Terima kasih, Qaireen Insyirah.

Khamis, Ogos 09, 2012

Qaireen Insyirah (II)

Hampir 5 bulan aku tidak menulis di sini. Bukannya tiada niat untuk menulis, cuma situasi hidup tidak berapa mengizinkan. Sudah pasti, ada perkara lain yang lebih penting daripada menulis di dalam blog mahupun melayari laman sosial.

Entri terakhir aku sebelum ini berjudul Qaireen Insyirah. Alhamdulillah, sekarang, itu adalah nama rasmi cahaya mata sulung aku bersama isteri. Ketika ini, Qaireen Insyirah sudah genap berusia satu bulan. Siang tadi sudah mendapatkan imunisasi Hepatitis B. Aku sendiri pun tak pasti sama ada aku pernah dapat imunisasi itu atau tidak. Yang penting, Qaireen Insyirah membesar dengan sihat sejahtera.

Menjadi seorang bapa adalah satu keseronokan buat diri aku. Berbekalkan pengalaman hidup yang tidak seberapa - tidak pernah pegang bayi kecil sepanjang hidup, tidak pernah tukar lampin, tidak pernah mandikan bayi dan sebagainya - aku merasakan itu adalah satu cabaran dan pengalaman baru yang menyeronokkan.

Qaireen Insyirah adalah seorang anak perempuan yang baik dan kuat. Dia tidak banyak meragam tak tentu fasal. Hanya menangis bila mahu menyusu dan mahu tukar lampin selepas buang air. Selain daripada itu, dia lebih cenderung untuk menyimpan suara dan tenaganya untuk perkembangan otak dan fizikalnya.

Menjadi seorang ibu dan bapa ini juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap keluarga, terutamanya dari segi agama. Keimanan ibu dan bapa sudah pasti teruji. Satu pengalaman baru yang aku lalui adalah terlalu banyak 'adat' atau 'petua' orang-orang tua yang sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam, sejak dari hari pertama Qaireen Insyirah dilahirkan. Aku amat memandang serius hal ini dan seringkali memberi pesanan dan mengingatkan isteri aku supaya tidak terpengaruh dengan semua 'adat-adat' itu dan jangan sesekali melakukannya. Alhamdulillah, aku dikurniakan seorang isteri yang baik, yang mendengar kata-kata suami. Semoga syurga buat isteri yang mentaati suaminya.

InsyaAllah, aidilfitri tahun ini lebih manis buat diri aku, bersama isteri dan anak tercinta.



Sabtu, Mac 17, 2012

Qaireen Insyirah

Assalamualaikum.

Alhamdulillah. Hidup ini penuh dengan nikmat Allah. Jadi kita kena sentiasa bersyukur. Tidak dapat dinafikan lagi, jiwa aku selepas hampir setengah tahun berkahwin ini semakin tenteram. Hari-hari aku dipenuhi dengan kebahagiaan rumah tangga bersama isteri. Kandungan isteri aku juga sudah berusia 5 bulan. InsyaAllah bulan Ramadan ini aku akan naik pangkat menjadi seorang ayah pula. Semuanya berlaku secara pantas. Dan secara pantas juga aku perlu mempersiapkan diri aku untuk menjadi seorang suami yang baik kepada isterinya, dan seorang ayah yang baik kepada anaknya.

Tanggungjawab seorang suami dan ayah adalah berat. Ia tidak semudah yang disangka. Dalam hidup berumah tangga dan berkeluarga, perlu banyak disiplin diri yang perlu dipupuk. Perlu banyak bersabar, perlu banyak berkorban, perlu rajin - pendek kata, perlu kuat mental dan fizikal, rohani dan jasmani. Sudah tentu kita mahukan yang terbaik dalam hidup kita, bukan?

Buat masa kini, tiada yang lebih penting dalam hidup aku selain keluarga dan kerjaya. Walaupun terselit di antara dua itu jiwa seni teater yang tidak akan padam, namun aku merasakan keluarga dan kerjaya adalah lebih berbaloi untuk aku berikan tumpuan buat masa ini. InsyaAllah jika semuanya sudah stabil, memang aku akan membawa isteri dan anak aku nanti untuk menonton pementasan teater produksi aku, dan tidak mustahil, melihat sendiri ayahnya beraksi di atas pentas.

Sedang dunia ini semakin banyak kezaliman dan kekejaman manusia ditonjolkan, aku dan isteri aku telah membeli set buku pelajaran Bahasa Inggeris untuk anak kami nanti. Yakin bahawa ilmu itu adalah 'kuasa', sudah tentu set pelajaran Bahasa Inggeris sahaja tidak cukup. Set-set buku pelajaran Bahasa Melayu, Matematik dan Agama juga harus disediakan. Walaupun anak kecil nanti akan lebih suka dengan permainan, tetapi pelajarannya tidak boleh diabaikan. Set buku pula yang dibeli dahulu. Kelengkapan bayi belum beli lagi. Minggu depan baru nak pergi beli. 

Mungkin sebab aku tidak mahu anak aku jadi macam aku waktu kecil dahulu. Sudah masuk sekolah rendah tapi masih tidak pandai membaca. Masuk tadika tak belajar apa-apa kot. Nyanyi, main, melukis sahaja yang aku ingat. Pernah juga cikgu tadika test suruh budak-budak baca surah al-Fatihah sorang-sorang depan cikgu tapi masa tu aku rasa takut sangat kalau cikgu panggil aku suruh baca al-Fatihah sebab aku tak reti. Tapi nasib baik masa tu dah nak balik. Aku juga masih ingat waktu Darjah 1 cikgu suruh sambungkan suku kata tapi aku tak pandai. Sejak dari peristiwa itu yang masih segar lagi dalam ingatan aku (bayangkan betapa kuatnya impak peristiwa itu pada aku), mak aku mengambil inisiatif mengajar aku membaca. Dan sudah tentu aku masih ingat buku yang mak aku guna untuk ajar aku membaca tu: Pak Mat Teksi. Kebetulan pula bapak aku Pak Mat, dan bapak aku pemandu teksi. Sekarang teksi tu masih di bengkel sejak awal bulan 11 tahun lepas dek dilanggar belakang oleh sebuah lori.

Hidup ini terlalu singkat untuk kita bazirkan dengan sesuatu yang tidak berbaloi.


Isnin, Februari 20, 2012

Kembali Lagi Selepas Kembali

Memang semakin sukar sekarang ini untuk aku ambil sedikit masa menulis sesuatu di sini. Namun memang aku pilih untuk mendiamkan diri buat sementara waktu, jadi pasif, jadi penonton, berselindung di sebalik bayang aku sendiri, jadi orang biasa, kutip pengalaman bersama waktu dan seumpamanya. Kerjaya aku biasa-biasa sahaja. Ia tetap ibadat yang perlu dilakukan kerana Allah. Keluarga aku pula semakin lama semakin aku hargai dan sayang. Seorang isteri sememangnya pelengkap kepada seorang lelaki. Jika sudah ada anak pula nanti, sudah tentu keluarga bahagia. Kebahagian di dunia dan di akhirat adalah matlamat. Teater pula, sedikit sukar untuk aku gerakkan The Qum Actors seaktif dua tahun yang lepas. Mungkin sahaja orang lain yang perlu gerakkan dengan lebih agresif. Sejak tahun baru 2012 ini, aku hanya sempat tonton dua buah teater setakat ini, dan pergi pameran seni sekali. Walaupun aku suka untuk mengulas tentangnya tapi sudah tentu aku tidak punya masa (ulasannya hanya siap sekerat sahaja). Di fikiran aku sudah tentu banyak idea dan perancangan projek dan aktiviti teater tetapi hanya Tuhan sahaja yang tahu bila aku dapat laksanakannya. Tetapi yang pasti aku akan buat juga.


Ahad, Januari 29, 2012

(Bayi) Tabung Uji

Sejak beberapa tahun dahulu, sudah bermain-main di fikiran aku untuk mencipta sebuah karya teater berjudul "Tabung Uji" yang mengisahkan seorang bayi yang menjalani kehidupan sewaktu di dalam kandungan seorang ibu - dari saat persenyawaan sehinggalah bayi itu keluar dan menangis. Tetapi ianya masih belum berhasil kerana imaginasi aku belum cukup tinggi untuk membayangkan kehidupan seorang bayi itu.

Mungkin tidak lama lagi, dengan izin Allah, sekurang-kurangnya aku boleh mengerti kehidupan seorang bayi dan implikasinya terhadap ibunya dan bapanya.