Isnin, Julai 30, 2007

Suara Akin II - Episod 3

"Penghargaan Pada Kenangan"

Minggu kedua di semester baru.
Nampaknya setiap hari Isnin kali ini agak meletihkan badan.
Dari pagi hingga ke petang.
Berjalan pergi dan balik dari bilik ke kelas dan sebaliknya.
Itu sahaja pun sudah cukup untuk memenatkan.
Namun hari-hari yang lain agak lapang sedikit kecuali hari Khamis yang merupakan hari khas untuk ujikaji makmal semester ini.
Tetapi apa boleh buat, itulah kehidupan seorang penuntut di universiti.
Sama sahaja keadaannya setiap semester.
Dan sudah masuk semester kelima pun melalui gaya hidup yang lebih kurang sama.
Tetapi banyak juga yang berbeza dan yang telah berubah.
Maklumlah, manusia semakin dewasa semakin berfikiran matang dalam menjalani kehidupan.
Lebih-lebih lagi bila usia sudah meningkat ke 20-an.

Rakan-rakan yang lain ada yang sudah mula belajar dari awal.
Baguslah untuk mereka dalam mengejar cita-cita.
Tetapi setiap orang punya cara tersendiri.
Ada orang yang mahu mengikut cara orang lain yang dianggap baik.
Dan ada orang yang tetap dengan caranya sendiri, kerana yakin itulah yang terbaik untuk dirinya.
Dan saya adalah antara golongan yang kedua itu.


Dua hari yang lalu, pada waktu malamnya, bulan purnama cukup indah dan cantik.
Subhanallah menjadi ucapan yang terlintas di fikiran, terlafaz di bibir sebaik sahaja mata yang masih dapat melihat ini keindahan alam sebagai bukti kekuasaan ALLAH di semesta ini.
Namun boleh saya katakan bahawa bulan purnama pada malam itu adalah yang paling indah sekali pernah saya lihat sepanjang hidup.
Bentuk bulatnya cukup sempurna dan besar.
Cahayanya cukup terang.
Dan dapat dilihat sinaran yang lebih terang terpancar di sekeliling bulan itu.

Namun, dalam mengkagumi keindahan alam ciptaan ALLAH, sebagai seorang manusia yang lemah dan tak lepas dari melakukan kesalahan dan dosa, hati ini terkenang akan peristiwa silam yang menggamit hatiku waktu itu.
Seolah-olah, bulan itu sudah menjadi lampu 'followspot' yang menumpukan cahaya ke atas seseorang pelakon di atas pentas teater, menerangi seluruh tubuh badan, menampakkan seri muka di wajah, segala ekpresi dan emosi diri dapat ditampilkan secara lebih berkesan.

Oh, baru sahaja menerima satu SMS beberapa saat yang lepas.
SMS yang agak mengejutkan aku, iaitu SMS daripada bekas buah hatiku.
Khabar daripadanya, dia sudah pun masuk belajar di UNITAR.
Sebelumnya, dia ke Universiti Malaysia Sabah (UMS) selama seminggu.
Oleh sebab terlalu jauh dari kampung halamannya, dia bertukar ke UNITAR.
Begitulah ceritanya.
Setelah sekian lama dia tidak berkhabar berita pada diriku, akhirnya hati ini lega dan segala keresahan yang selama ini telah ku sembunyikan di satu sudut di kamar hatiku, jika tidak banyak, sedikit pun sudah mampu terubat dan seterusnya membuatkan aku tersenyum.
Semoga kamu berjaya dengan apa yang kamu lakukan dalam hidupmu.
Kamulah insan pertama yang telah memberi kesan yang sangat mendalam pada diriku ini.
Kamu mungkin kekasihku yang awal, tetapi aku tidak dapat mengetahui sama ada kamu juga kekasihku yang terakhir.
Aku serahkan sahaja semuanya pada takdir ILLAHI, setelah aku berusaha bermacam-macam dalam menyayangi dirimu....

...sehingga kini.

Ahad, Julai 29, 2007

Suara Akin II - Episod 2

"Energi"

Symphony Fest - 28 Julai 2007
Satu event yang terawal dalam semester ini.
Selain itu, ada juga event Invitational Debate Competition (IDC-UTP), iaitu sebuah pertandingan debat yang melibatkan beberapa IPTA lain.
Cuma simfoni tersebut mungkin lebih dikomersialkan.
Penaja-penaja pun boleh tahan.

Apa pun, pada pagi hari ada pertandingan okestra mini antara sekolah menengah.
Ada 4 buah sekolah yang bertanding, sepatutnya, akan tetapi hanya 3 sahaja hadir pada hari pertandingan ini, STAR, SERATAS dan MCKK.
Secara umumnya, SERATAS telah menunjukkan persembahan yang terbaik.
Mereka 'enjoy' semasa membuat persembahan.
Begitu juga dengan konduktornya.
Emosi, ekpresi; semuanya ditampakkan.
Jadi tak hairanlah mereka yang menang.


Asylum 50 dipentaskan lagi pada petangnya.
Tak berapa ramai penonton yang hadir.
Mungkin sebab dah ramai yang dah pernah tengok Asylum.
Kalau nak harapkan budak intake baru, mungkin depa masih belum mengambil peduli akan hal ehwal agenda di UTP.
Yelah, masih baru, masih mahu menyesuaikan diri dengan persekitaran dan budaya.
Apa pun, tak kira penonton yang hadir hanya hampir memenuhi dua 'island' di Chancellor Hall itu, kami tetap meneruskan persembahan.
Aku pula, lain jadinya bila dah pening kepala secara mendadak sebelum show bermula.
Jadi agak terganggu sedikit di situ.
Tahap konsentrasi, seterusnya tahap energi sedikit terganggu.
Namun, berjaya menghabiskan persembahan dengan baik, walaupun tak sebaik sewaktu festival tempoh hari secara keseluruhannya.


Malamnya pula adalah Gala Night.
Pelbagai persembahan yang terdiri daripada Classical & Jazz, Chinese Orchestra, Indian Orchestra, Gamelan, Keroncong, Choir dan Dance.
Selepas itu pula ada persembahan oleh Cheryl Samad dan Altimet.
Kedua-duanya menyanyikan dua buah lagu.
Altimet pula tampil dengan rapnya.
Peminat rap bolehlah layan.
Apa pun, penonton di bahagian tempat duduk yang disedia khas untuk performers pula paling hidup dan meriah.

Aku enjoy dengan apa yang telah dipertontonkan.
Dan yang lebih menggembirakan bila masuk percuma untuk performers. Huhu~


Energi itu penting untuk sesiapa yang membuat persembahan.

Jumaat, Julai 27, 2007

Suara Akin II - Episod 1

"Episod Juruterbang"

Salam simfoni.


Jadi semester baru telah pun membuka tirainya.
Segala tensi sudah dapat dirasakan bagi mereka yang berfikir positif dan negatif.
Bukan setakat tensi tetapi kegembiraan.
Suka duka lah senang kata.


Kali ni tidak mahu berbicara secara mendalam.
Sebab ramai yang tidak faham.
Sebab kali ni pun mahu ramai orang faham.


Sejak kebelakangan ni aku lebih suka menyendiri.
Walaupun memang asalnya aku seorang yang bersendiri, tetapi menyendiri yang dimaksudkan di sini adalah dari segi komunikasi.
Aku lebih suka berdiam walaupun dengan rakan-rakan yang baik.
Entahlah.
Tiba-tiba rasa kehilangan yang amat.
Akibatnya, sedikit rasa sedih telah melanda diri.
Setelah sebulan lamanya aku merasai detik-detik kegembiraan bersama rakan-rakan seperjuangan teater aku.
Biasalah.
Dah gembira, mesti rasa sedih.
Lepas tu, dah lama-lama gembira semula, pastu sedih balik.
Dan begitulah seterusnya.
Dan pula, semua senior teater sudah pun selesai pengajian.
Cuma menunggu masa sahaja untuk bekerja.
Bila dah bekerja, sudah pasti susah untuk mereka bersama-sama memperjuangkan dan mengangkat sesuatu skrip.
Macam senior-senior yang sebelumnya jugak.
Lebih-lebih lagi mereka yang tinggal jauh.
Tetapi tak tahulah kalau mereka mampu memberikan komitmen yang 'super'.
Jika tidak pun, mereka masih boleh meneruskan perjuangan di tempat lain, tempat yang berhampiran dengan tempat kerja mereka suatu hari nanti.


Kehilangan itu ditambah lagi dengan kehilangan yang lainnya.
Kehilangan yang lebih amat dirasai, sejak beberapa kala yang lampau.
Mungkin ada yang terkurang.
Atau mungkin sebab ada yang terlebih.
Ataupun mungkin juga sebab kelemahan diri ini.
Ataupun mungkin juga sebab kelebihan diri ini yang menguatkan benteng diri.
Tak tahulah.
Mungkin masanya sudah tiba untuk kebenaran mengambil tempatnya.
Mungkin sahaja semuanya.
Sebab yang pasti dan yang tahu pasti sudah tentu Pencipta.


Justeru, dapat disimpulkan seperti yang lazimnya bahawa hidup itu ibarat roda.
Di satu titik tumpu kita berada di situ.
Tatkala ia bergerak dan bergolek.
Titik tumpu akan berada di atas dan di bawah sama ada mengikut kadar atau kala ataupun tidak.


Dan lagi, aku ni bukanlah jenis orang yang suka meluahkan perasaan kat orang lain.
Seperti lumrahnya kejadian aku, aku lebih suka menyimpan segala perasaan tersebut dalam diri sendiri.
Entahlah.
Tak suka nak susahkan orang nak dengar luahan itu luahan ini.

Tetapi bukannya aku tak sedar bahawa perbuatan itu kurang elok.
Aku sendiri yakin bahawa seorang kaunselor tidak mahu perkara sebegini berlaku terhadap diri seorang, lebih-lebih lagi seorang yang sedang menuntut ilmu duniawi di samping akhirat.

Kerana sudah pasti ada tahap batasnya, bukan?
Jadi bila sudah melampaui tahap batasannya, pasti sesuatu yang kurang baik akan menguasai diri.
Sama ada amarah ataupun nafsu nafsi yang lain.


Setiap kali aku memukau diri sendiri di depan cermin.
Aku terpaku kaku membuntu seribu.

Difikirnya mati di depan mata.

Tetapi hidup ke hujung dunia.


Sabtu, 28 Julai 2007 ada pementasan teater "Asylum 50" (lagi) sempena Symphony Fest di Chancellor Hall, UTP, mulai pukul 2.30 ptg hingga 4.00 ptg.
Baru sahaja dipentaskan (dan dipertandingkan) di Festival Teater Perak 2007 pada 17 Julai 2007 yang lalu.
Dapatlah tempat ketiga dan satu anugerah pelakon harapan wanita terbaik.
Jika difikirkan, buat sakit hati sahaja tentang keputusan festival tersebut.
Banyak yang menjadi pertikaian dan persoalan.
Akan tetapi malas nak cerita.

Pentas Chancellor Hall tersebut sebenarnya kurang sesuai untuk sesebuah teater dipentaskan, lebih-lebih lagi Asylum.
Tetapi apakan daya, kami akan tetap pentaskan yang terbaik untuk semua yang akan hadir menonton.

Layannnnnnn~~~