Ahad, Mac 24, 2013

Insyirah (IV)

beranak, adalah satu titik pusing yang cukup ketat. dalam hidup yang serba ketat. perasaannya tak selalu kelat, kadang-kadang, apabila beranak itu mencabar ketauhidan.

insyirah kini berusia lapan bulan lebih. semakin aktif. semakin kenal kehidupan dunia. insyirah, bagi diri aku, adalah seorang anak yang hebat dan luar biasa.

hidup aku sebenarnya tidak kompleks. hanya ada ibu, ayah, abang-abang, isteri dan anak. tetapi sebenarnya aku terlupa, yang aku juga ada hidup aku yang satu lagi.

kasihan sahaja tidak cukup untuk aku berikan kepada the qum actors. mungkin salah aku juga yang tiba-tiba menjadi mati tatkala the qum actors baru sahaja bertatih.

namun tidak adil untuk aku menyalahkan diri sendiri. aku lebih mengutamakan anak aku dan isteri aku. ia bukan alasan. ia adalah sebab. sebab untuk aku hidup.

namun tidak adil pula untuk aku menjadikan anak dan isteri sebagai sebab. dengan tugasan kerjaya yang semakin mencabar, cukup untuk aku katakan, manusia tidak pernah berasa dunia ini adil walaupun sebenarnya dunia ini sudah cukup adil kerana ia ditadbir oleh Yang Maha Adil.

aku bukan pejuang keadilan. aku bukan pejuang kemanusiaan. aku bukan pejuang seni. aku bukan pejuang apa-apa pun. aku hanya seorang ayah yang sedang belajar untuk menjadi seorang ayah yang bertanggungjawab.

insyirah kini manja dengan ibunya. tidak keruan bila ibunya tiada di pandangan mata. insyirah hanya rindukan ayahnya bila ayahnya sudah tidak lama memeluk dan menciumnya dan bermain dengannya.

aku telah gagal meneruskan usaha membangunkan the qum actors, lalu aku membiarkan diri aku mati di dalam jiwa sendiri. dan lebih sedih lagi, aku melihatnya sendiri mati terkapai-kapai.

aku harap, ia hanya mati yang sementara.






walaupun jiwa aku kadang-kala terpanggil untuk hidup semula. tetapi insyirah adalah lebih hidup. dan dia adalah sebab untuk aku terus hidup dan meninggalkan yang mati itu.