Khamis, Ogos 09, 2012

Qaireen Insyirah (II)

Hampir 5 bulan aku tidak menulis di sini. Bukannya tiada niat untuk menulis, cuma situasi hidup tidak berapa mengizinkan. Sudah pasti, ada perkara lain yang lebih penting daripada menulis di dalam blog mahupun melayari laman sosial.

Entri terakhir aku sebelum ini berjudul Qaireen Insyirah. Alhamdulillah, sekarang, itu adalah nama rasmi cahaya mata sulung aku bersama isteri. Ketika ini, Qaireen Insyirah sudah genap berusia satu bulan. Siang tadi sudah mendapatkan imunisasi Hepatitis B. Aku sendiri pun tak pasti sama ada aku pernah dapat imunisasi itu atau tidak. Yang penting, Qaireen Insyirah membesar dengan sihat sejahtera.

Menjadi seorang bapa adalah satu keseronokan buat diri aku. Berbekalkan pengalaman hidup yang tidak seberapa - tidak pernah pegang bayi kecil sepanjang hidup, tidak pernah tukar lampin, tidak pernah mandikan bayi dan sebagainya - aku merasakan itu adalah satu cabaran dan pengalaman baru yang menyeronokkan.

Qaireen Insyirah adalah seorang anak perempuan yang baik dan kuat. Dia tidak banyak meragam tak tentu fasal. Hanya menangis bila mahu menyusu dan mahu tukar lampin selepas buang air. Selain daripada itu, dia lebih cenderung untuk menyimpan suara dan tenaganya untuk perkembangan otak dan fizikalnya.

Menjadi seorang ibu dan bapa ini juga perlu lebih bertanggungjawab terhadap keluarga, terutamanya dari segi agama. Keimanan ibu dan bapa sudah pasti teruji. Satu pengalaman baru yang aku lalui adalah terlalu banyak 'adat' atau 'petua' orang-orang tua yang sebenarnya bercanggah dengan ajaran Islam, sejak dari hari pertama Qaireen Insyirah dilahirkan. Aku amat memandang serius hal ini dan seringkali memberi pesanan dan mengingatkan isteri aku supaya tidak terpengaruh dengan semua 'adat-adat' itu dan jangan sesekali melakukannya. Alhamdulillah, aku dikurniakan seorang isteri yang baik, yang mendengar kata-kata suami. Semoga syurga buat isteri yang mentaati suaminya.

InsyaAllah, aidilfitri tahun ini lebih manis buat diri aku, bersama isteri dan anak tercinta.