Ahad, Julai 31, 2011

Berehat (Buat Satu Jangka Masa Yang Lama)

Bila kita semakin memiliki kehidupan yang lebih 'real' di 'real life', secara tanpa sedar dan automatis fokus kita tidak lagi pada kehidupan lain yang kurang 'real' atau memang tidak 'real', seperti kehidupan alam maya di internet.

Begitu jugalah yang berlaku kepada aku. Aku akan berhenti dan berehat daripada menulis dan mencatat sesuatu di sini buat satu jangka masa yang lama.

Dan itu adalah ayat terakhir aku sebelum Ramadan esok.
Sekiranya aku tidak muncul-muncul lagi, Salam Ramadan, Selamat Hari Raya Aidilfitri, Selamat Hari Kemerdekaan, Selamat Hari Malaysia, Selamat Hari Deepavali, Selamat Hari Natal dan apa-apa sahaja hari yang punya makna.

Assalamualaikum.



Sabtu, Julai 02, 2011

PRA 51 - PARAH (PARIAH)

Mulai minggu lepas dan beberapa minggu akan datang, aku sangat sibuk dengan kerja di pejabat. Terpaksa kerja lebih masa hampir setiap hari. Bukan nak kata terpaksa. Tetapi sudah jadi tanggungjawab dan amanah untuk aku siapkan kerja dan tugasan yang diberi dalam masa yang ditetapkan. Kerjaya dalam industri minyak dan gas adalah sesuatu yang realistik dan boleh dirasai dengan perasaan yang jujur, bukan seperti ketika zaman belajar di universiti hanya bermain-main dan berimaginasi dengan teori-teori dan rumusan-rumusan (itu pun kalau belajar lah, ini ada sahaja budak-budak masuk universiti kejuruteraan bukannya belajar sangat tapi pergi main teater HA HA). 

Oleh sebab kerja jurutera memang pakai banyak otak logik, otak aku sudah tidak seimbang. Bila aku rasa begitu, aku harus cari rawatan otak yang aku sendiri gelarkan art treatment supaya aku dapat meneruskan hidup seharian aku dengan berfikiran waras. Dan art treatment aku adalah dengan pergi menonton teater. Dan malam semalam aku telah menonton teater PARAH, ditulis oleh Alfian Saat, diarahkan oleh Jo Kukathas dan dipersembahkan oleh The Instant Cafe Theatre Company di Annexe Gallery, Central Market. Disampaikan dalam Bahasa Malaysia dan teater ini pertama kali dipersembahkan di Drama Centre Black Box, Singapore pada 23-25 Jun 2011 yang lalu dengan judul yang lebih jujur iaitu PARIAH. Tetapi bila dipersembahkan di Malaysia, judulnya ditukar sedikit menjadi PARAH, tetapi tetap memberi maksud yang tepat dan sesuai dengan pengisian cerita.

Sebelum mengulas dengan lebih lanjut, satu perkataan untuk teater PARAH ini: GENIUS!

Cerita PARAH ini adalah sebuah 'mash-up' iaitu gabungan interpretasi penulis daripada filem terakhir Yasmin Ahmad "Talentime" dan juga novel kontroversi Abdullah Hussain "Interlok". Apa yang aku dapat lihat, penulis mengadaptasikan bentuk dan corak cerita daripada Talentime dan isi utamanya pula lebih menjurus kepada isi-isi daripada novel Interlok. Sebagaimana aku amat meminati mash-up seperti yang ditunjukkan dalam drama TV bersiri Glee, aku juga meminati mash-up dalam bentuk teater seperti PARAH ini. Menggabungkan dua buah karya yang mantap akan menghasilkan satu ledakan. Dan PARAH berjaya meledakkan jiwa, menghancurkan tembok perbezaan bangsa yang wujud dalam benak jiwa dan pemikiran masyarakat khususnya di Malaysia. Pendek kata, PARAH mampu mendidik penonton yang hadir supaya tidak menjadi rasis.

Elemen yang menghiburkan dan humor berjaya disuntik secara bersederhana dalam teater ini. Kerana aku percaya bahawa penulis mahu membawa sebuah karya yang berat dengan isu perkauman tetapi tidak mahu ianya jadi terlalu serius, atau tidak mahu ianya jadi terlalu menghiburkan sehingga penonton tidak dapat menggarap idea dan mesej yang harus diserap masuk ke dalam diri kerana asyik terhalang dengan gelak ketawa yang terbahak-bahak berserta air liur yang terpercik-percik. Kerana mahukan keringanan dalam menyampaikan sesuatu yang berat, watak-watak pelajar sekolah menengah ditonjolkan. Kebetulan juga, watak-watak berusia belasan tahun ini memberitahu secara tersirat tentang 'dilema'. Remaja meningkat dewasa sememangnya melalui banyak dilema dalam mencari hala tuju hidup apabila dewasa nanti. Begitu juga dengan isu perkauman di Malaysia ini, melalui banyak dilema sejak dari dahulu lagi dan masih mencari-cari hala tuju, apa akan terjadi pada masa hadapan? Apakah dilema perkauman ini akan terus berpanjangan hingga musnahnya dunia? Atau akan tiba masa di mana tiada lagi perbezaan taraf antara pelbagai bangsa?

Beberapa petikan yang menimbulkan sensitiviti perkauman di dalam novel Interlok telah disebut dan diulang sebut berkali-kali di dalam teater ini sebagai penekanan isi penting cerita ini. Dan sudah tentu, perkataan seperti 'keling' dan 'kasta pariah' ada disebut, tidak kurang juga perkataan 'cina babi'. Realiti kehidupan klise masyarakat seperti Melayu yang tak pandai berniaga dan malas belajar serta tidak pentingkan pendidikan; Cina yang pandai berniaga tetapi tamak harta, kedekut; dan India yang suka buat kacau juga ada disebutkan. Realiti kehidupan sebegini juga dipaparkan pada latarbelakang watak-watak yang telah mengembangkan cerita dan memasukkan emosi ke dalam setiap watak.

(Nak tulis lagi, tetapi aku harus bersiap pergi kerja pada hari Sabtu ini)

Akhir kata, PARAH adalah hasil karya yang jujur dan dipenuhi dengan rasa cinta pada manusia. Aku mengagumi kejujuran serta keberanian pengkarya teater PARAH ini. Pulang dari menonton teater PARAH ini aku telah belajar banyak perkara dan menambahkan lagi input sebagai rujukan aku untuk buat teater pada masa akan datang. Aku tidak mahu berhenti belajar teater. Kerana ilmu aku masih cetek dalam bidang ini.